Sunday, December 13, 2009

Tangisan Buat Keluarga Nabi di Kemboja


Dimuzium sejarah kezaliman Pol Pot dipaparkan tanda-tanda bukti kekejaman dalam bentuk tengkorak, tulang-tulang, bekasan darah, lubang pembunuhan, pokok tempat kepala-kepala manusia dihempak, alat-alat penyiksaan dan juga bilik-bilik kurungan dan penyiksaan.
Itu yang tercatit. Namun sejarah seringkali menipu dan tertipu akibat dinamik politik. Sebagai contoh kematian sahabat Nabi yang mengetuai 60 penghafaz quran di Bir Maunah, yang kematiannya disebut Nabi memperlihatkan cahaya menembusi langit, namun berapa ramai dari kita mengenali tokoh tidak ternama itu.
Begitu juga lawatan di muzium sejarah kezaliman Pol Pot. Saya mendapat pelajaran bagaimana kesan selawat saya dalam solat kepada keluarga nabi. Mereka tidak ternama, namun mereka diuji oleh tuhan dengan pembunuhan. Tengkorak dan tulang mereka entah kemana, mungkin digonggong oleh binatang buas. Namun merekalah yang membawa Islam ke bumi Kemboja. selawat dan salam saya buat Rasulullah dan Keluarga baginda, khususnya keturunan keluarga nabi di Kemboja.

Yayasan Amal Beramal ke Kemboja


Rombongan Yayasan Amal kali ini berjumlah 14 orang termasuk ahli keluarga bekas ahli parlimen Rantau Panjang, Dr Daeng Sanusi Mariok. Perwakilan Yayasan Amal Kelantan, Johor dan Selangor berada dalam pasukan ke Kemboja. Pasukan lain beramal ke selatan Thailand dan Mindanao.


Bertolak pada pagi 21 November dan berlepas balik pada 26 November 2009. Selain daripada mengadakan amal sembelihan korban, turut termasuk dalam aktiviti adalah berkunjung ke muzium sejarah kezaliman Pol Pot dan ziarah penduduk minoriti muslim.


Kami juga berkesempatan berkunjung ke penempatan terawal muslim di Kemboja. Kini hanya tinggal sekitar 800 orang, akibat kekejaman Pol Pot ramai yang berpindah daripada medan pembunuhan berkenaan. Kebanyakan penduduk asal ini adalah merupakan keturunan ahlul bait. wajah-wajah penduduk disini putih dan memperlihatkan ciri-ciri wajah yang jernih. Disini satu daripada sejuta penderitaan yang ditanggung oleh keluarga Nabi. Tangisanku untuk mu wahai keluarga Nabi. Selawat.

Tuesday, December 1, 2009

Berbogel di Pagi Aidiladha


Kemboja menyerlahkan bagaimana tingginya nilai pengorbanan manusia. Saat kita membeli belah sakan baju raya anak-anak. Di kemboja, masih banyak kanak-kanak yang tak berpakaian berkeliaran di laman rumah. Disitu kita boleh nampak dosa-dosa pembaziran dan 'jolly' kita.


Jsuteru pengorbanan apakah yang dinamakan jika kita terus melahap hidangan korban sehingga buncit perut, Pengorbanan apakah jika kita sampai sakit, akibat makan hidangan daging korban hari raya pertama, kedua dan ketiga. Pengorbanan jenis apakah yang kita namakan, jika kita terus bermegah dengan pakaian-pakaian raya.


Anak-anak yang bertelanjang di Kemboja, menelanjangkan apa yang saya namakan pengorbanan Aidiladha.

Kereta Lembu Ku


Kereta lembu dan kuda merupakan pengangkutan utama di kampung Bahagia, Kemboja. Jerutan kemiskinan membuatkan rata-rata penduduk disini menjadi mangsa kepada diskriminasi pererintah. Jangan diharap kemudahan infra yang baik disini.


Mempunyai kereta lembu disini menunjukkan taraf ekonomi yang lebih baik dikalangan penduduk. Justeru disaat penderitaan penduduk Islam Kemboja dihimpit kemiskinan, saya pula mengambil kesempatan bergembira menaiki kereta lembu?


Ya hati saya bercampur baur, seronok menaiki kereta lembu yang tidak pernah saya naiki, namun kebencian saya menebal kepada para pemerintah yang zalim. Simpati saya mendalam kepada nasib mereka yang tertindas.

Monday, November 30, 2009

Mimpi Yang Tak Habis


Aidiladha kali ini, saya beraya di Kemboja, bersama YB Su Perhubungan, Pengarah Nisa Kelantan dan rombongan Yayasan Amal. Kali kedua tidak beraya dengan suami dan anak2.

Kali ini saya ingin berkongsi dimensi baru sambutan korban. Setiap kali kita menyambut aidil adha, kita seringkali diingatkan akan mimpi Nabi Ibrahim as.

Mimpi seorang nabi adalah benar semuanya. Namun bagaimanakah Ibrahim as mimpi menyembelih Ismail as yang kemudiannya sebenarnya menyembelih seekor kibasy.

Bukanlah mimpi Ibrahim itu tidak benar. Cuma mimpi itu tidak disambung oleh Tuhan. Nescaya kalau disambung mimpinya, pasti Ibrahim as melihat Kibasy yang disembelih dalam mimpinya.

Justeru apabila kita melihat haiwan korban, seharusnya kita mengait pelajaran-pelajaran quran tentang Ibrahim as dan Ismail as. Adakah kita menjadikan mimpi sebagai sebahagian daripada pedoman kita? Justeru belajarlah bagaimana Islam melayani soal mimpi. Antara kitab mimpi yang saya cadangkan untuk dijadikan rujukan adalah : 1. Tafsir Mimpi Imam Jaafar 2. Tafsir Mimpi Menurut Al Quran dan Assunnah- Ibnu Sirrin.

Thursday, November 19, 2009

Penting Pendedahan Kepada Adik Nisa


Kita bercakap soal pentingnya sokongan orang muda, namun dalam pergerakan politik kita, adakah kita benar2 membuka ruang kepada orang muda meneroka dunia politik bersama bimbingan kita.


Adik2 Nisa harus dari awal dididik bagaimana asas-asas kerja politik. Kemahiran mengendalikan sidang media, bagaimanakan sesuatu kenyataan media itu dibuat, apakah teknik berdepan dengan pihak media. Bagaimanakah permainan media. Merupakan sebahagian kerja-kerja politik yang perlu diajar kepada adik2.


Jika kita mementingkan masa depan, kita pastinya menyayangi adik-adik Nisa dan berkesanggupan mendidik mereka dalam pergerakan politik.


Kepada mereka yang suka mengongkong dan mengeksploitasi, fikirlah antara kepentingan politik peribadi dengan kepentingan politik ummah!

Mendidik Pelapis Pimpinan Nisa


Kawan-kawan, bagaimana keadaannya jika kita pergi main bowling tanpa pengalaman atau tanpa bimbingan pemain terlatih. Kebiasaannya:

1.bola yang kita gelek meluncur ke laluan'parit'

2.Ketidakyakinan diri tinggi

3. Kita memang main dengan main-main


Baru-baru adik2 Nisa pi main bowling di Perdana Superbowl, best gak. Walaupun saya sendiri tak pandai main, tapi yang lebih penting dapat bersama keluarga dan adik-adik yang lain.
Bermula dengan pemilihan house ball 11,12,13 lbs mengikut kemampuan, adik2 Nisa harus membuat pilihan apa kerja jemaah yang sesuai dengan mereka. Dalam pejabat, aktiviti luar menganjur program, politik, menyediakan kertas kerja dsb.
Berjalan ke approah(bukannya berlari, yea), adik2 Nisa perlu melaksanakan kerja dengan metodologi yang betul dan berasaskan ilmu pergerakan, bukan main tangkap muat, atau buat ikut suka aku, mahupun syok sendiri
Lihat pada lane..terdapat hint disitu seperti dot dan arrow untuk mengkonsistenkan balingan, adik2 Nisa perlu mendapatkan bimbingan dari pimpinan yang berpengalaman dan rajian menelaah buku2 pergerakan. Jangan cuba2 terjun ke bidang yang kita tidak buat persediaan.

Wednesday, November 18, 2009

Teh Kg Dato' Pattani Thailand


Rasa nya sedikit pahit dan payau. Namun mengesankan, kerana dapat menghayati lidah penduduk Kg Dato' Pattani, wilayah bergolak selatan Thailand. Meneguk teh pahit ini membuatkan jiwa kita seolah-olah merasai pahit maung nasib yang dihadapi oleh orang melayu Islam Pattani. Bentuk gelasnya istimewa, tiada kedapatan di Kelantan. Berkunjung ke Pattani pastinya membolehkan orang Kelantan menyusuri budaya asal usul kita.

Ops Sikap, Ops Maut atau Ops Rasuah


Sudah menjadi bahan lelucon ops sikap yang dilancarkan oleh PDRM. Kematian dijalanraya umpama matinya katak dan kucing yang melintas dijalanan. Kematian hanyalah menambah jumlah statistik.


Puas sudah komen dan analisis dibuat punca kemalangan di jalanraya. Namun bagi saya apakah sebenarnya persepsi rakyat terhadap PDRM yang bertanggungjawab melancarkan ops sikap. Yang jelas persepsi rakyat terhadap polis sangat dekat dengan rasuah, hampir2 sinonim. Hampir-hampir tiada yang percaya, tiada polis yang tidak menerima rasuah. Itu persepsinya, faktanya, entah.


Pemerhatian saya di Rantau Panjang, polis lebih pro aktif bertugas di awal pagi bagi berurusan dengan van-van membawa barangan dagangan. Persepsi orang ramai, memang dah kerja polis kutip duit daripada pemandu-pemandu van tu.


Ingin rasanya saya menyergah perbuatan rasuah yang saya syakki, tapi tunggulah masa yang sesuai. Bukan apa, saya nak tahu apakah betul persepsi yang sedia ada, polis kuat makan rasuah. Dalam kereta saya sudah saya sediakan risalah SPRM, menunggu untuk diedar kepada polis-polis yang saya syakki terlibat dengan rasuah.


Gambar diatas adalah kemalangan maut dilebuhraya Pasir Mas -Rantau Panjang. Berlaku didepan mata, semasa saya melintas mangsa telah meninggal, manakala rakannya sedang meraung menangis.
Saya percaya mangsa yang mati adalah mangsa kepada pelakuan rasuah polis yang tidak profesional menjalankan tugas. Mangsa juga adalah mangsa kepada kerajaan rasuah yang gagal membina lebuhraya yang baik dan undang-undang yang berkesan.
Tidak pelik beberapa negara seperti China dan iran, melaksanakan hukuman bunuh kepada perasuah. Malaysia bila lagi? Pelaku rasuah terus bermaharajalela, mangsa rasuah terus bertambah jumlah kematiannya.

Saturday, October 24, 2009

Menyeberangi Sungai Golok


Dalam satu majlis anjuran Majlis Keselamatan Negara Ketua Polis Negeri Kelantan dilaporkan menegur penduduk di kawasan sempadan kerana sering melakukan kesalahan keluar masuk sempadan secara tidak sah, padahal penduduk dinegeri sempadan yang lain boleh mematuhi undang-undang.

Tinjauan rambang yang dibuat oleh saya membuktikannya, keadaan sungai golok yang sempit sekitar 10-20 meter memudahkan lagi aktiviti penyeberangan dilakukan. Bayaran RM 1 diperlukan bagi tambang perahu penambang. Kemudian bayaran sekitar RM3 bagi menaiki motorsikal tambang di sekitar pekan Golok.

Baru-baru ini terjadi pengeboman di sebuah restoran berdekatan Hotel Merlin. Restoran tersebut mungkin menjadi sasaran kerana ianya bersebelahan dengan balai polis dan menjadi tempat lepak anggota polis. 2 kematian dilaporkan. Letupan bom tersebut turut di dengari oleh penduduk Rantau Panjang.

Semasa kejadian hampir 1 hari laluan sungai ditutup atas faktor keselamatan. Namun esoknya, keadaan pulih seperti biasa. Kehidupan diteruskan seperti biasa. Melalui bacaan hansard parlimen yang dapat tahu bahawa ukuran sempadan negara yang dipisahkan melalui sungai ditentukan garis tengahnya pada dasar sungai yang paling dalam. Beberapa bahagian di Malaysia sudah dibuat tambakan sungai sekitar contohnya di Jeram Perdah. Namun usaha penambakan ini tidak sahaja dibuat oleh oleh kerajaan Malaysia, ianya turut 'dibantu' oleh ' jurutera penyeludup' bagi menyempitkan dan mencetekkan sungai Golok

Friday, October 23, 2009

Bantuan kepada Ibu Mengandung Anak Luar Nikah


Dalam mengendalikan kes ibu mengandung anak luar nikah, terdapat 8 aspek bantuan yang saya beri:

1. Menghubungkan kes dengan agensi kerajaan berkaitan seperti JKM, Polis, Pejabat Kadi, One Stop Crisis Centre (Hospital terpilih) dan pemimpin masyarakat setempat.
2. Menyediakan tempat perlindungan sementara.
3. Menyiapkan keperluan ibu untuk menghadapi saat kelahiran.
4. Membantu keperluan saat bersalin sehingga habis tempoh pantang.
5. Membantu si ibu mendapatkan pekerjaan.
6. Menyelesaikan kes dengan keluarga kedua-dua pihak( Keluarga perempuan dan lelaki)
7. Membantu mendapatkan keluarga tumpang @ angkat jika si ibu enggan memelihara anaknya.
8. Membantu si ibu mendapatkan jodoh

Antara tekanan yang dihadapi oleh si ibu adalah bagaimana menangani perubahan dalam dirinya. Ini bermula dengan perubahan fizikal apabila kandungan mula membesar. Kebiasaannya si ibu akan cuba menutupi masalah dengan melarikan diri daripada anggota keluarga atau tindakan lebih kejam cuba membunuh kandungan dengan menggugurkan kandungan.

Nasihat saya jika mana-mana perempuan yang menghadapi masalah ini, pertama sekali kembalilah kepada kasih sayang dan ampunan tuhan. Ambil masa untuk menenangkan diri, jangan ada putus harapan daripada kasih sayang Tuhan, pintu taubat senantiasa terbuka, pergilah cari pelukan Tuhan dalam solat, doa dan zikir. Bercakap lah dengan tuhan, tiada siapa yang memaksa anda bertaubat, biarlah penyesalan tumbuh dari hati anda yang tulus.

Kedua, adu masalah anda kepada keluarga anda, Ibu, ayah, abang dan kakak, bapa/ibu saudara atau orang yang anda percaya boleh membantu anda. Namun ingat jangan terjerat dengan lelaki yang berupa malaikat, pertolongan dihulur umpama umpan. Ambil masa anda yang sesuai untuk menyatakan perkara yang berlaku, bina kekuatan untuk menyatakan apa yang berlaku kepada keluarga terdekat.

Ketiga, jika anda tiada kekuatan untuk mengadu kepada keluarga, carilah pejabat JKM Daerah, minta bertemu dengan kaunselor atau dengan pegawai akhlak. dan untuk tambahan jika anda perlu bantuan , boleh menghubungi saya melalui emel salwatinisa@gmail.com. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai sebuah rumah perlindungan khusus untuk Ibu Mengandung Anak Luar Nikah iaitu di Batu Gajah, Perak.

Tuesday, August 25, 2009

Expo Amazing Thailand

18 Ogos 2009, saya berkesempatan singgah di Expo Amazing Thailand di Royal Thai Consulate General, Kota Bharu.
Sebenarnya saya tengah mencari idea berkenaan projek pemprosesan makanan, kebetulan expo tersebut dibuat, membolehkan saya menambah rangkaian perniagaan dengan pengusaha warga thai dan juga muslim warga Thai.
Mukhriz, timbalan menteri perdagangan antarabangsa, pernah memberi galakan bagi mengembangkan perniagaan di selatan Thai, justeru galakan tersebut saya sahut.
Gambar di atas, menunjukkan air botol susu kambing produk muslim thai daripada Hatyai.

Sunday, August 23, 2009

Nasib Polis Pencen


Beberapa malam lepas saya dikunjungi anggota polis pencen, beliau mengadu tekanan ekonomi yang dihadapi oleh beliau. Beliau bertanyakan apakah yang boleh beliau buat untuk jana ekonomi.


Mengenali latar beliau, merupakan seorang anggota polis yang jujur. Kehidupan beliau sangat sederhana dengan berkereta proton saga lama.


Rutin beliau pula, bersama ibunya yang uzur berjemaah di masjid berhampiran rumah setiap waktu. Kasihnya pada masjid mendorong beliau mencari pekerjaan yang tidak menggangu rutin ibadah beliau.


Beliau saya sertakan dalam projek penanaman nenas dan cendawan. Harapan saya, beliau dapat menjana ekonomi, dan yang paling besar beliau dapat merapatkan diri dengan tuhan.


Apakah lagi tanda kecintaan seseorang hamba jika hatinya senantiasa terpaut pada rumahNya..

Saturday, August 15, 2009

Tok Guru dan Ayatullah


Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Ayatullah Khomeini. Saya adalah peminat kedua-dua tokoh Islam ini. Yang pertama adalah tokoh Islam Sunni. Yang keduanya adalah tokoh Islam Syiah.


Membaca buku yang ditulis oleh kedua tokoh ini berkenaan solat, banyak persamaannya. Kedua-dua buku solat mereka ini banyak memberi pengaruh dalam peningkatan kualiti solat para pembaca.


Tulisan dan ulasan kedua-dua tokoh ini juga mirip. Dalam ceramah dan tulisan, mereka ini lebih banyak membuat huraian dan ulasan sendiri, berbanding ceramah dan tulisan yang penuh dengan ayat al Quran.


Pendekatan ini lebih memudahkan rakyat biasa paham apakah mesej Al Quran, dalam situasi dan senario semasa. Jika anda membelek Harakah, anda boleh menganalisa tulisan Tok Guru, dalam ruangan mauidzah , tidak banyak ayat quran digunakan. Ini sama dengan kaedah Ayatullah Khomeini.


Banyak saya perhatikan tulisan dan ceramah pimpinan yang lain, terlalu banyak ayat Al Quran dibawakan, sehingga ceramah dan tulisan tersebut lebih sesuai dinyatakan sebagai bacaan quran ataupun terjemahan quran.


Tulisan ceramah Tok Guru dan Ayatullah juga mencerahkan minda, mengajak kita berfikir, kritis, membuka dimensi baru, memuaskan jiwa, selalu ada perkara baru, membuatkan diri rasa berdosa dan membawa seribu satu kesan tersendiri kepada para pembaca pendengar.


Banyak saya perhatikan tulisan dan ceramah pimpinan yang masih ditakuk yang lama, lebih banyak mengulang perkara yang sama dan kadang-kadang kontradik dengan pelakuan mereka sendiri.

Tuesday, August 11, 2009

Muslimah Thai Membonceng Motorsikal


Berada di Rantau Panjang, bersebelahan bandar Golok, Thailand, membolehkan saya memerhati budaya muslimah melayu warga Thai.
Yang ketara, cara mereka membonceng motorsikal yang lebih menjaga kesantunan wanita.
Cara membonceng seperti gambar sebelah lebih menjaga aurat seseorang wanita. Walaupun nampak kekok, namun saya tidak mendengar apa-apa masalah ketara yang dihadapi oleh pembonceng.
Sedar atau tidak cara membonceng yang selalu kita amalkan terdedah kepada terbukanya aurat. Bahagian betis bahkan kadang-kadang paha seringkali terdedah, bila kita naik motorsikal. Bagi yang memakai seluar, situasi ini dapat dielakkan.

Kahwin Siam


Kahwin di Thailand menjadi lumrah bagi mana-mana pasangan yang ingin menambah bilangan isteri atau berkahwin secara sulit.

Menurut sumber, perbezaan sangat ketara amalan nikah kahwin di selatan Thai yang lebih mudah dan ringkas, berbanding amalan di Malaysia.

Amalan kahwin di selatan Thai umpama zaman 70an di Malaysia. Yang diperlukan hanyalah persetujuan pasangan dan wali, kemudiannya pendaftaran.

Memahami latar politik, ekonomi dan sosial masyarakat melayu Islam selatan Thai, membolehkan kita lebih memahami kenapa proses perkahwinan menjadi begitu mudah dan ringkas.

Bachok Kelantan, Bachok Narathiwat


Gambar disebelah diambil di pekan Bachok Narathiwat. Menurut sumber, akibat ancaman bom, setiap motorsikal yang diletak kawasan panas, dimestikan membuka tempat duduk, bagi diperiksa dan dipastikan tiada bom diletak.
Berbeza dengan pekan Bachok, Kelantan, yang aman damai. Masyarakat pula hidup dengan harmoni. Bahkan di Bachok 'Ketik' Patung Budha berdiri megah melepasi pohon nyiur lambang kebebasan beragama dibawah pemerintahan tuan guru.
Manakala Bachok Narathiwat, keharmonian masyarakat Budha dan Islam, sering digugat dengan pembunuhan sami dan imam.

Bandar Golok

Gambar disebelah adalah pemandangan bandar Golok dari tingkat 11 Hotel Marina, Golok.
Menurut sumber, kini hotel tersebut merupakan pilihan no.1 bagi para pelanggan untuk aktiviti seks dengan pelacur. Selain daripada itu bandar Golok juga terdapat 2 hotel besar yang lain, Hotel Genting dan Hotel Venice.
Golok dianggarkan mempunyai 1000 pelacur, tidak seramai Danok. Akibat daripada serangan kumpulan pemisah, industri seks di Golok berpindah ke Danok.
Kebanyakan pelacur-pelacur di Golok datangnya daripada Mynmar, Laos dan Vietnam. Jumlah warga Thai yang bekerja sebagai pelacur sudah mulai berkurangan. Kebanyakan memilih untuk menjadi pelacur kerana kesempitan hidup dan memilih jalan cepat untuk mewah.
Daripada bandar Rantau Panjang, masa yang diambil untuk ke Golok hanyalah 5-10 minit, bergantung jumlah kesesakan di pusat imigresen. Imigresen Malaysia hanya memerlukan anda memasukkan pasport ke mesin untuk di imbas ( tanpa cop), manakala imigresen Thailand memerlukan anda mengisi borang Arrival, yang boleh didapati percuma, namun kebiasaanya ramai 'sukarelawan' yang membantu menulis dengan bayaran RM2.
Menurut sumber, sejak Abhisit memerintah, jelas ketara pengunduran tentera daripada kawasan bandar. Jika anda merenung gambar, Golok dikelilingi oleh banjaran Gunung Budu, disitulah tentera Thai mengepung bandar Golok, kebanyakan puak pemisah mula beralih ke pergunungan hutan.

Monday, August 3, 2009

Penghormatan Rasul Terhadap Orang Miskin


Minggu pertama Ogos 2009, saya sibuk membuat persiapan latihan dan pembinaan infra , bagi projek basmi miskin tegar ECER. Projek vermikompos terus saya perhalusi, melalui perkembangan perusahaan yang ada.


Banyak pengusaha cacing yang lingkup, ada pula yang terus dapat bertahan. Kesimpulan yang mudah, mereka yang menjual baja, terus dapat bertahan, hanya mereka yang bergantung kepada jualan cacing sahaja yang cepat lingkup.


Melalui hansard parlimen, saya mendapat tahu nilai keperluan baja negara menjangkau 12 biliion setahun. 90% digunakan di ladang kelapa sawit. Justeru permintaan baja dalam negara sangat tinggi.


Menteri pertanian juga sedang merangka akta baja, mungkin rang akta baja dibentangkan pada sidang parlimen akan datang, 19 Oktober hingga 15 Disember nanti.


Saya bertemu dengan pegawai jabatan pertanian bagi menyempurnakan latihan kepada para pengusaha, melibatkan 15 wanita miskin yang disaring melalui temuramah dan kunjungan ke rumah. Latihan tersebut dijangka dibuat awal minggu ini.


Mengapakah kita sebagai aktivis perlu rapat, berdamping dan membela golongan fakir miskin? Disini saya ingin kongsi kisah terkenal Rasulullah tatkala tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah.


Kepada sahabat, baginda Rasul mengatakan biarkanlah unta baginda berjalan, dan baginda akan berhenti dimana unta tersebut berhenti.


Sudah menjadi kelaziman, penduduk madinah pasti berebut untuk mendapat keistimewaan mendapat tetamu Rasulullah di rumah masing-masing, tambahan saat itu, Rasulullah sudah dianggap pemimpin kota Madinah.


Namun Rumah Abu Ayub Al Ansari menjadi pilihan unta Rasulullah. Unta Rasulullah dipilih oleh tuhan bagi memberi pelajaran kepada manusia.


Siapakah Abu Ayub Al Ansari? Beliau merupakan penduduk Madinah yang paling miskin. Apakah sifat paling miskin beliau, yang menarik unta rasulullah ke sana, bukan itu sahaja, bahkan kecintaan dan keimanan beliau kepada Rasulullah, membolehkan beliau mendapat keistimewaan sedemikian rupa.


Tuesday, July 28, 2009

Masjid Yang Menangis


Jun 2008, dalam kepadatan program yang menghimpunkan aktivis muslimah sedunia, di Tehran. Para rombongan aktivis di bawa melawat ke Masjid Jamkaran, Qum, Iran. Ada keunikan yang saya lihat di masjid ini

Ianya dipenuhi dengan tangisan. Para jemaah kebanyakannya solah dan berdoa dalam keadaan menangis.

Pemandangan ini sangat menyentuh perasaan saya, bukankah nabi senantiasa menyuruh kita perbanyakkan tangisan dan kurangkan ketawa.

Kenapakah masjid-masjid di Malaysia, yang tidak kurang keindahannya, tidak dihiasi dengan tangisan. Keindahan senibina masjid di Malaysia harus diturutsertakan keindahan tangisan takut dan harap pada Allah oleh pengunjungnya.

Bukankah tangisan kita kerana Allah, mempunyai sakti memadamkan sambaran api neraka?

Monday, July 27, 2009

Tapak Cadangan Rumah Perlindungan Wanita

27 Julai 2009, saya bersama 4 orang AJK rumah perlindungan wanita Kelantan, berkunjung ke tapak cadangan rumah perlindungan wanita Kelantan.

Ianya terletak di Kg Permatang Pusu, Melor. Berlatarbelakangkan bukit Gunong, tali air dan sawah padi. Terdapat dua blok bangunan. Blok utama, terdiri daripada bangunan dua tingkat dengan keluasan 40x70. Blok kedua merupakan bangunan bilik air, yang terletak bersebelahan.

Terletak di tanah wakaf. Bangunan tersebut juga lengkap berpagar. Untuk tujuan pembesaran akan datang, tuan tanah sanggup menjual/menyewa tanah bersebelahan seluas 2 ekar.


Saturday, July 25, 2009

Bertemu Revolusioner Dr SunYat Sen

April lepas saya bersama rombongan Koperasi Wanita Islam Kelantan (KOWANIS) mengadakan lawatan ke China. Turut bersama, pimpinan dewan muslimat PAS pusat dan kakitangan kastam negeri Kelantan.


Bertemu dengan revolusioner Dr Sun Yat Sen menambah pengalaman dan semangat saya dalam melakukan perubahan sosial, walaupun berupa patung kaku, namun jasa dan ketokohan beliau seolah-olah bercakap dengan saya.

Usaha beliau membasmi kemiskinan dan melakukan perubahan sosial, sangat saya kagumi.


Daripada memimpin pasukan bersenjata, menghasilkan karya teori pembangunan negara hinggalah menerbitkan 10 akhbar pembaharuan, dan akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Qing.

Beliau mengorbankan diri untuk negara, manakala saya hanyalah pelancong politik.

Bengkel Ramadhan di rumah

Lagi sebulan puasa, bagi yang masih berbaki puasa tahun lepas, mula sibuk mengganti.

Sebagai persediaan menyambut ramadhan, saya mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Ramadhan di rumah, dengan mengajak rakan-rakan yang lain.

Pelajaran fikh puasa disegarkan, diperhalusi dan ditekuni kembali. Aspek spiritual puasa juga disyarahkan. Moga-moga dengan kesempurnaan syariat dan pemanduan ruh yang betul, puasa pada tahun ini lebih membekas dan mendekatkan diri kepada tuhan.

Rupa-rupanya Bengkel Ramadhan selama 5 jam masih tidak mengcukupi. Bengkel Ramadhan kedua dirancang minggu terakhir menjelang bulan ramadhan.

Saya menyeru kepada adik-adik nisa, untuk mengoreksi kembali kefahaman dan amalan puasa. Bengkel Ramadhan boleh dibuat dirumah masing-masing, jemput mana-mana ustazah yang berkelayakan, jemput sama jiran dan kawan terdekat, kutip duit untuk sumbangan pengkuliah dan kos tuan rumah, juga pengangkutan bagi yang kurang mampu.


Selamat menyambut ramadhan.

Projek Lada 14 ekar, Ayuh Mahasiswi

Projek tanaman lada 14 ekar merupakan usahasama PPK Bachok bersama Peladang Nita. Alhamdulillah majlis solat hajat telah dibuat dalam minggu lepas. Anak-anak pokok lada telahpun ditanam oleh para peserta terpilih disekitar kg Wakaf Aik dan Tawang.
Jika ianya berjalan secara lancar, ia bakal menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1000 sebulan, bagi keluasan 1 ekar.
Kebanyakan pengusaha utama yang dipilih adalah wanita. Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan membekalkan anak pokok, baja, membayar sewa membajak, menyediakan sistem pengairan. Para peserta hanya memberi tumpuan kepada usaha penanaman dan pemeliharaan.
Setelah mengeluarkan hasil, PPK akan membeli balik daripada para petani. Lada yang selebihnya para petani boleh menjualnya kepada peraih mahupun dipasarkan sendiri.
Saya ingin mengajak para mahasiswi terutamanya, datang berkunjung ke Paladang Nita, untuk bersama-sama mengembangan industri pertanian bagi membantu para petani wanita. Jangan biarkan kepandaian yang diperolehi di universiti terbuang begitu sahaja.

Wednesday, July 22, 2009

Peranan Sebagai Pegawai Khas YB Parlimen


Apabila Pakatan Rakyat mengumumkan jawatankuasa yang terdiri daripada 3 MP, bagi setiap kementerian, ianya merupakan persediaan awal PR bagi mengambil alih pemerintahan.

YB Zailah, dilantik bagi memantau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) , sebuah kementerian yang diketuai oleh Ketua Wanita UMNO, YB Shahrizat Abdul Jalil.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem west minster demokrasi, mempunyai sistem parlimen yang terdiri daripada pihak kerajaan dan pembangkang, peranan YB pembangkang adalah sangat penting sebagai semak imbang kepada kerajaan.

Peranan YB pembangkang adalah memastikan dasar dan undang-undang negara digubal dan berjalan menurut yang sepatutnya.

Bahkan dalam sistem pilihan dua parti, antara kerajaan BN dan Pakatan Rakyat, seharusnya YB Pakatan Rakyat mesti membuktikan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan BN, adalah dasar dan pelaksanaan yang gagal!

Justeru apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pegawai khas ahli parlimen.
1. Memahami sistem politik negara.
2. Memahami apakah strategi Pakatan Rakyat
3. Melaksanakan tugas dalam kerangka strategi yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, jika saya bertanggungjawab membantu YB , dalam memantau (KPWKM), saya harus mampu memberikan butiran maklumat yang mengcukupi bagi YB membahasnya di parlimen. Setiap program, agensi, pelaksanaan polisi, profesionalisme pegawai, dibawah KPWKM perlu saya pantau, dan melaporkan sebarang isu signifikan bagi usaha penambahbaikan bagi kesejahteraan rakyat.

Rakyat pula harus memahami bahawa pejabat ahli parlimen bukan hanya tempat memohon sumbangan, bahkan lebih tepat pusat mengendalikan aduan rakyat.

Bahkan bukan setakat menerima laporan di pejabat, saya menggerakkan NGO saya sendiri melalui, Nisa Resources (NR), yang berurusan langsung dengan KPWKM dan JKM.

Justeru saya banyak menghabiskan masa membaca laporan-laporan berkaitan, berurusan sambil memantau KPWKM/JKM dan menyediakan input perbahasan kepada YB.

Anda dan JKM


Satu petang saya mendapat panggilan daripada JKM, memaklumkan bahawa saya tidak dibenarkan menemani kes ibu mengandung anak luar nikah ke Pusat Jagaan Sinar Kasih, Batu Gajah, Perak.


Padahal sebelum itu saya dimaklumkan oleh kaunselor JKM, bahawa seorang peneman dibenarkan. Alasan diberi oleh staf JKM itu:

1. Sudah ada 2 pegawai JKM yang mengiring

2. Ibu tersebut sudah besar

3. Ahli keluarga JKM pun tidak dibenarkan naik kenderaan JKM


Meneliti jawapan tersebut, saya meragui bahawa itu memenuhi prosidur dan piagam pelanggan JKM.


Ini kerana dalam pertemuan saya dengan kaunselor JKM, melalui rujukan pada dokumen, beliau menyebut secara jelas, seorang peneman dibenarkan.


3 sebab yang diberikan di atas lebih bercirikan alasan dan ada usaha menghalang saya mengiring.


Ya, saya boleh paham, mengapa ada segelintir pegawai JKM yang mungkin tidak menyukai saya, sebabnya sebarang kecuaian dan salah laku, tidak akan saya biarkan berlaku begitu sahaja.


Saya kemudiannya berbincang dengan ibu tersebut, bertanyakan adakah ia merasa perlu ditemani, beliau menjawab ya.


2 surat telah dihantar ke JKM. Pertama surat mohon peneman oleh ibu tersebut. Kedua surat mohon penjelasan daripada JKM apa sebab peneman tidak dibenarkan.


Sebenarnya banyak perkara yang memerlukan penyertaan dan kepekaan serta kerjasama masyarakat bagi memenuhi objektif JKM.


Justeru saya menyeru kepada anda, lawatilah pejabat JKM terdekat, tengok apa aspek yang boleh anda bekerjasama dalam urusan kebajikan. JKM memerlukan anda.


Berikut adalah petikan piagam pelanggan JKM;


1. membantu Pertubuhan-Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO's) dalam khidmat mereka kepada kumpulan sasar;


2. membangunkan kesedaran masyarakat ke arah penglibatan dan penyertaan dalam kerja kebajikan;

Tuesday, July 21, 2009

Basmi Miskin Tegar Bersama ECER


Setelah setahun bertungkus lumus bersama ECER, kelmarin saya menghadiri mesyuarat jawatankuasa projek vermicompos melibatkan ECER Pusat, ECER Kelantan, PKINK, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) , perunding projek/binaan ECER dan Peladang Nita. Mesyuarat tersebut di buat di bilik mesyuarat, ECER Kelantan.


Saya mewakili peladang nita. Sebuah persatuan di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang.


Mengimbas pengalaman setahun bekerjasama dengan ECER, bermula dengan proses pencarian projek, melawat pengusaha cacing, penyediaan kertas kerja, pertemuan dengan agensi-agensi kerajaan, mesyuarat, perbincangan melalui telefon, pencarian kumpulan sasar miskin tegar, temuramah peserta projek hinggalah kepada proses perjanjian.


Pengalaman ini, sangat menarik buat diri saya. Pada kali ini saya ingin berkongsi bagaimana kumpulan sasar dicari.


Kebiasaanya, usaha pencarian keluarga miskin tegar ini dibuat melalui sistem E-Kasih. Bagaimanapun data bank E-Kasih ini ada kelemahan kerana masalah kemaskini dan ketepatan laporan.


Bersama perunding lantikan ECER, kami turun ke kampung menyiasat kumpulan sasar. 30 keluarga miskin. Yang kemudiannya kami pecahkan kepada 3 kumpulan. 1. Miskin 2. Mudah Miskin 3. Miskin Tegar.


Perunding lantikan ECER mengadu kepada saya, penat betul bekerja dengan Peladang Nita. Saya tersenyum, kerana saya faham untuk menghasilkan yang terbaik, usaha juga mesti sepadan dengan apa yang kita inginkan.


Saya berazam untuk memastikan projek ECER membasmi kemiskinan ini, menjadi yang terbaik di Malaysia, modul ikutan bagaimana pembasmian kemiskinan dapat dibuat.






Cantik Membawa Padah


Kecantikan yang tuhan anugerahkan kepada seseorang wanita, pasti mengundang perhatian kaum lawannya. Perempuan yang cantik mudah menggoda lelaki. Lelaki yang mempunyai 9 akal sering kalah dengan perempuan yang berakal satu. Lelaki yang bernafsu 1 sering mengejar perempuan yang bernafsu 9.


Bagi lelaki hampir setiap sudut tubuh perempuan menjadi tarikan. Perempuan boleh menggunakan tarikan ini untuk 1001 tujuan.


Ada satu kes yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Saya namakan beliau sebagai Merpati Putih.


Merpati Putih merupakan seorang perempuan yang cantik. Menurut pandangan suami saya, memang mana-mana lelaki yang tengok dia, akan meleleh air liur.


Merpati Putih saya ambil bagi menyelamatkan dia daripada lelaki-lelaki buas di luar sana. Akibat aktiviti seks luar nikah, beliau telah ditangkap khalwat dan kemudiannya mengandung.


Lelaki yang berseronok dengan Merpati Putih enggan mengambilnya sebagai isteri. Lelaki tersebut hanya mahu berseronok diluar ikatan pernikahan.


Akibat sarat mengandung, Merpati Putih terpaksa menyembunyikan diri daripada pengetahuan keluarga. Bahkan boy friend-boy friend beliau juga mula melarikan diri. Beliau pernah bermalam di masjid akibat tiada tempat untuk bermalam. Kes beliau pada mulanya diambil oleh satu keluarga, yang kemudiannya mengambil kesempatan sebab tak tahan melihat kecantikan beliau. Perkara sumbang berlaku.


Merpati Putih kemudiannya saya ambil. Saya bawa dia ke usrah, cari keluarga angkat untuk anak yang bakal dilahirkan, mendaftar beliau ke hospital, sehinggalah beliau sempurna melahirkan bayi yang secantik ibunya.


Merpati Putih kemudiannya saya bantu mengikuti kursus anjuran kerajaan pusat bagi membolehkan beliau mendapat kemahiran dan lesen bagi mengusahakan perniagaan, kursus tersebut diberi percuma ( sepatutnya dibayar RM1000), khusus untuk ibu-ibu tunggal yang susah.


Namun Merpati Putih tidak tahan dengan umpan lelaki. Beliau ponteng kursus, dan mula mengikuti lelaki. Ini saya dapati dalam pemantauan yang dibuat.


Apakah Merpati Putih tidak sedar, bahawa beliau telah menafikan hak ibu tunggal miskin yang lain untuk hadir ke kursus tersebut?


Apakah Merpati Putih tidak sedar, bahawa dengan mengikuti kursus tersebut beliau akan mampu berdikari dengan sokongan kerajaan dan teman-teman wanita beliau?


Adakah Merpati Putih tidak sedar, bahawa dengan memperbaiki diri, beliau satu masa nanti mampu untuk hidup sebagaimana keluarga yang lain.


Namun beliau lebih memilih untuk kaya cepat. Beliau lebih memilih musang daripada manusia.

Friday, July 17, 2009

Tangisan Buat Teoh Beng Hock

Kematian Teoh Beng Hock begitu menyayat hati saya. Kematiannya sangat misteri, dipenuhi pelbagai teori konspirasi dan pasti membakar setiap hati nurani manusia.

Namun sejauhmanakah kepekaan muslimah dalam menghadapi soal ini. Melihat video-video klip berkaitan, ternampak wajah YB Dr Halimah Ali, hadir dalam protes di Plaza Masalam. Cukupkah dengan kehadiran pimpinan semata.

Adakah kita hanya boleh bersikap tunggu dan lihat? Petaka sebesar mana yang kita mahukan agar hati kita terbakar marah pada kezaliman?

Saya ingin bertanyakan rakan-rakan muslimah dalam parti Islam. Adakah kita hanya prihatin pada bukan Islam menjelang saat pengundian? Berbondong-bondong meraikan dan menziarahi kaum tiong hua, siam dan India.

Adakah kita hanya mampu menghantar kad Gong Xi Fa Cai kepada para pengundi cina? Memberi hadiah limau kepada sasaran pengundi yang kita ada kepentingan? Sejak bila Islam mengajar kita membantu yang lain atas dasar kepentingan?

Saya menyeru kepada rakan-rakan muslimah untuk turut berkongsi kesedihan dengan kaum tiong hua yang terdekat dengan kita. Nyatakan kesedihan kita, nyatakan perlawanan kita terhadap sebarang kezaliman dan buktikan kita tidak berbual besar.

Muslimah juga harus menyusun usaha memantau peranan SPRM. Jangan biarkan anggota SPRM bekerja dengan cincau, apatah lagi menyalahgunakan kuasa mereka. Jangan hanya harap YB Salahuddin ( yang dilantik sebagai JK Khas SPRM) untuk berperanan. Kita juga harus memainkan peranan.

Kepada anggota-anggota Melayu SPRM, jangan anda bongkak dengan kemelayuan anda, jangan pula anda mengherdik aktivis-aktivis politik cina, jalankan tugas secara profesional. Keadilan Tuhan pasti akan terlaksana.
Buat Teoh Beng Hock, tangisan ku buat mu.

Wednesday, July 15, 2009

Slogan PDRM TEGAS, ADIL DAN BERHEMAH

Berikut adalah pengalaman saya mengendalikan kes Ibu mengandung anak luar nikah dengan PDRM. Sebagai aktivis NGO dan juga pegawai ahli parlimen, adalah menjadi tanggungjawab saya membuat pengamatan pelaksanaan dan profesionalisme agensi-agensi kerajaan.

Penubuhan jawatankuasa ala kabinet bayangan oleh PR, membolehkan saya lebih menggarapi peranan kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.


Mengendalikan kes Ibu Mengandung Anak Luar Nikah, membabitkan One Stop Crisis Centre (Hospital), PDRM, JKM dan Mahkamah Syariah.


Untuk kali ini saya ingin menyentuh profesionalisme PDRM.


Semasa saya tiba di balai bersama klien, saya tiba-tiba dihujani soalan-soalan bernada keras dan menekan oleh seorang anggota polis wanita. Melihat beliau yang memberi perkhidmatan yang tidak berhemah dan profesional, saya mendorong keadaan, dengan bertanyakan soalan " Boleh tak kita berbincang. Saya orang awam, tolong beritahu apa panduan untuk membuat repot"


Sikap kurang profesional beliau mungkin disedari rakan setugasnya, anggota polis lelaki bertanyakan saya dari mana, dari NGO ke? Kemudian beliau memberi sekeping kertas A4 kosong untuk ditulis draf aduan.


Urusan seterusnya menjadi lancar dan mudah.


Apa yang saya ingin kongsi kepada rakan-rakan adalah penting untuk kita mengetahui undang-undang, apakah hak mangsa, apakah hak kita sebagai orang awam untuk mendapat perkhidmatan daripada agensi kerajaan.


Dalam berdepan dengan PDRM, jangan sesekali rasa takut, jangan pula buang rasa hormat, berdepan dengan PDRM dalam bentuk memberi kerjasama dan profesional, jangan teragak-agak untuk membuat teguran terhadap kelemahan anggota PDRM.

10 Strategi Besar BN menjelang PRU13

Berikut adalah andaian saya bagaimana BN berusaha mendapatkan kemenangan selesa dalam PRU13 nanti.
1. UNDANG2 PILIHANRAYA akan dipinda bagi membolehkan aspek yang menguntungkan BN dapat dibuat. Ini telah dilakukan menjelang pilihan raya 2004. Juga dibuat menjelang pilihan raya ke 12 melalui syarat duti setem.Teguran TPM terhadap SPR menjadi isyarat awal, juga alasan KPN yang meletakkan tanggungjawab kejadian insiden di SK Peria, Manek Urai, adalah kerana ketiadaan arahan SPR. Dan jangan pula kita lupa pengerusi SPR adalah individu yang berpengalaman sebagai setiausaha keselamatan dalam negeri.

2. 'GERRY MANDERING' akan dilaksanakan dalam kajian persempadanan kawasan pilihanraya. Secara teori melalui gerry mandering 50% kemenangan pilihan raya dapat dipastikan. BN akan membuat bacaan aliran sokongan pengundi, kemudian memecahkannya mengikut kawasan.

3. MARTEK PDRM. Saya berandaian penubuhan MARTEK, markaz tektikal oleh PDRM bukan setakat menjaga keamanan, bahkan ianya adalah satu bentuk latihan dan persediaan secara besar-besaran oleh PDRM dalam melaksanakan misi yang besar dan sulit. KPN menyedari apa akibatnya jika PR memerintah, melalui penubuhan IPCMC dan keadilan institusi kehakiman, kes melibatkan KPN pastinya dilalui melalui sistem dan proses yang berbeza.

4. RACUN PERPADUAN. Ia umpama bom saraf. Satu senjata yang dimiliki oleh BN. Ramai yang akan jadi mangsa serangan ini. Dan ianya terbukti berkesan zaman-berzaman. Banyak umpan, jerangkap dan mata kail perpaduan sudah dilepaskan dan akan dilepaskan, dan banyak sudah yang terkena. Bom jangka perpaduan telah pun dipasang dalam PAS. Ada yang telah meletup, ada pula menunggu masa.

5. AGENDA PILIHAN RAYA RAJA SULAIMAN . Kesemua tindakan Najib sekarang adalah berorientasikan pilihan raya. 11 hadiah 100 hari pemerintahan memberi fokus kepada kumpulan sasar pengundi yang kritikal kepada BN. Najib akan berperanan sebagai Raja Sulaiman, memberi apa sahaja kepada rakyat.

6. SPRM. Peluang memerintah di 5 negeri membuka peluang kepada SPRM untuk menyiasat sebarang salahguna kuasa dan elemen rasuah sebagai senjata mengugut.

7. KAKITANGAN KERAJAAN BARUA UMNO. Mereka ini menjadi api dalam sekam dan duri dalam daging. Walaupun dasar dipegang oleh kerajaan PR, namun pelaksanaan masih banyak bergantung kepada barua-barua UMNO dalam kerajaan negeri masing-masing.

8. Hapuskan DSAI. Tonggak utama PR adalah DSAI. Justeru DSAI ini perlu dihapuskan dengan segala cara. Adakah ada tokoh penyatu lain dalam PR?

9. SPR akan terus dipergunakan. Bagaimana SPR boleh bebas jika gaji mereka dibayar langsung oleh kerajaan BN dan bertanggungjawab terus dibawah Jabatan Perdana Menteri. Aspek-aspek teknikal pilihan raya yang memberi kelebihan kepada BN bergantung kepada kehendak SPR.

10. Strategi Blue Ocean Najib. Banyak tindakan politik Najib sukar ditelah. Rampasan di Perak. Pakej rangsangan 60 billion. 11 hadiah 100 hari pemerintahan. Tidak turun berkempen di Manek Urai. Kerajaan perpaduan




6-0 untuk BN

Kalau dah kalah, mengaku sahajalah kalah. Akuilah rakyat terus menolak BN. Terimalah hakikat moral BN semakin menjunam.

Ini tidak, aspek kalah tipis dianalisa sebagai permulaan perubahan, kemenangan moral, bukti sokongan rakyat semakin meningkat dan bla bla bla.

Seminggu ini BN, akan terus menjaja 'kemenangan moral' mereka, dan ini merupakan simptom bagi orang yang nazak, setelah mengalami kesakitan yang panjang, pada hari mereka merasa sedikit segar, mereka terus rakus melanggar pantang larang, kerana menyangka sudah sihat, padahal itu semuanya adalah racun yang mempercepatkan kematian mereka.

Kelantan merupakan negeri yang unik dari segi politik. Jeneral-jeneral pilihan raya dikedua-dua pihak mahir dan strategi dan taktik memenangi hati pengundi. Latar perlawanan yang silih berganti kerajaan, silih berganti merayakan kemenangan, menampilkan satu pertarungan pilihan raya yang hebat.

Antara jeneral pilihan raya UMNO BN yang saya kagumi adalah Dato Mustapha Mohamed http://www.umnojeli.net/ juga Dato' Anuar Musa. Kemahiran ilmu pilihan raya mereka sangat menarik perhatian. Malahan 2 jeneral ini terbukti kewibawaan mereka dalam pembangunan kawasan Jeli dan kemampuan membawa pasukan bola Kelantan ke peringkat akhir piala Malaysia baru-baru ini.

Justeru menghadapi pilihan raya kecil, dimana ketua pasukan UPU adalah menteri-menteri, dibawah 2 jeneral pilihan raya ini bukanlah perlawanan yang mudah.

Jam 3 ptg PAS mengumumkan kemenangan majoriti 2000. Memang ramalan umum dipihak PAS kita akan menang secara selesa. Pengamatan mata kasar saya juga mudah terkeliru. Semangat jentera, ramainya penyokong, gelagat rakyat yang mempamerkan sokongan terbuka kepada PAS melalui kibaran bendera Hijau Putih, dalam keadaan biasa memang memberi petunjuk kemenangan yang meyakinkan.

Jam 7 ptg, kesamaran mula dihidu melalui pengamatan di jalanan. Pos-pos UMNO menampakkan sedikit keceriaan, ini tidak akan berlaku melainkan ada berita gembira berlaku bagi pihak mereka. Perarakan bendera hijua-putih ada, namun tidak segalak pilihanraya kecil yang lepas-lepas.

Jam 7.30 ptg, saya mendapat laporan dari bilik gerakan, PAS menang 70 undi. Kebetulan melalui kawasan penjumlahan rasmi, tiada penyokong BN berkeliaran, penyokong PAS pula hanya sedikit kelihatan, suasana keliru dan muram jelas kelihatan, dikalangan penyokong PAS.

Jam 8, saya mendapat tahu daripada sumber UMNO (64), SPR (65), Orang Ramai (88) dan jentera PAS (65), PAS menang mojoriti tipis.

Untuk kali ini saya mahu membuat analisa dari segi teknikal kerja. Saya membuat pengamatan terhadap 2 jeneral UMNO ini, saya akui dari segi strategi dan taktikal kerja mereka sangat maju, sayangnya gelombang tidak bersama mereka.

Dalam pengalaman PRK Pengkalan Pasir, secara taktikal mereka berkemampuan untuk memastikan setiap pengundi BN, keluar dan mengundi mereka, manakala di pihak PAS ada sedikit kelemahan.

Di PRK Pengkalan Pasir mereka membuat sasaran pengundi Ibrahim Ali, bagi tambahan undi mereka, PAS pula beranggapan faktor Ibrahim Ali akan memecahkan undi BN, jelas ini menyimpang. Taktik 2 Jeneral ini terbukti berkesan, hingga membuahkan kemenangan kepada BN hingga menyebabkan kerajaan PAS pada masa itu nyawa-nyawa Ikan.

Di Manek Urai, ramalan saya, taktik yang sama digunakan oleh 2 jeneral ini, mengenalpasti pengundi yang menyokong atas faktor Pak Su Wil (calon PAS 2008), kelompok pengundi ini dikenalpasti, dianalisa kemudiannya dipastikan mereka dapat dipengaruhi melalui pelbagai cara bagi mengundi BN. Taktik 2 jeneral ini terbukti berkesan, hingga menyebabkan PAS menang nyawa-nyawa ikan.

Aspek kedua saya mahu tekankan dalam tulisan ini adalah kelemahan dalaman PAS. Pengamatan saya terhadap kelancaran jentera membuktikan masih ada UPU yang gagal memastikan pengundi bulan keluar mengundi dalam jumlah yang besar, padahal ianya diterajui oleh pimpinan besar dalam parti.

Saya tidak paham apa sukarnya memastikan, sebagai contoh 50 pengundi (yang sudah dicula bulan) untuk keluar mengundi. Adakah lebih enak untuk berborak di kedai kopi, mengata kepada UMNO, merayau-rayau tanpa tugasan yang jelas, bahkan memandang remeh tanggungjawab yang telah diamanahkan. Adakah lebih baik untuk berhimpit dengan tokoh-tokoh parti supaya dianggap kita juga sebagai orang penting, daripada memberi tumpuan kepada tugasan yang telah diamanahkan.

Saya mulai merasa kebimbangan terhadap kemampuan jentera parti dalam menghadapi PRU13. Ini ada kaitannya dengan pemilihan PAS yang lepas. Betul mood rakyat bersama kita, dan hampir semua faktor kemenangan berada pada kita. Namun pemilihan PAS yang lepas adakah menampilkan kepimpinan yang berwibawa dalam memikul amanah dan harapan rakyat untuk memerintah negara. Ini bukan lagi harapan untuk menang sebagai ADUN atau memerintah negeri. Harapan rakyat adalah untuk kita tampil sebagai alternatif kepada BN untuk memerintah negara.

Saya sendirian merasa bingung apakah sebenarnya yang berada dalam pemikiran perwakilan PAS dalam memilih pimpinan mereka. Ini berlaku disemua peringkat, baik kawasan maupun pusat.

Saya bertugas di salah satu UPU di Manek Urai, dan saya melihat apakah implikasi pemilihan pimpinan PAS. Salah satu yang ingin saya tekan kan disini adalah, memilih individu yang tidak berkemampuan untuk memimpin parti, akan menyebabkan kerosakan yang teruk dalam agenda pilihan raya.

Seterusnya saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Nisa Johor dan muslimat PAS Johor yang membantu di UPU Lata Rek. Melihat komitmen dan profesionalisme mereka, saya mempunyai keyakinan peranan mereka pasti memberi impak yang besar dalam PRU 13 di Johor.

Sebagai penutup tulisan panjang saya ini, apakah bezanya sumbatan ke 6 selepas 5-0. Ia hanyalah menguatkan kesimpulan Pakatan Rakyat terus kukuh dan BN memang sudah tidak terlawan. Keputusan terkini perlawanan PR 6- BN 0.

Saturday, July 11, 2009

Link Terkini PRK Manek Urai


Dalam mendapatkan maklumat perkembangan PRK Manek Urai, adalah wajar kita mendapatkan maklumat dari sumber yang autentik dan pelbagai.

Berikut adalah link-link yang berguna bagi para pengunjung membuat perbandingan dan analisa:

Friday, July 10, 2009

Lawan eksploitasi politikus terhadap petani


Dicelah kesibukan PRK Manek Urai, Ahad ini saya mengambil kesempatan bersama dalam majlis solat hajat bersama pengarah Lembaga Perubuhan Peladang (LPP), bagi projek pertanian lada seluas 10 ekar. Ini merupakan projek penanaman pertama yang saya kendalikan bersama peladangnita dan LPP.


Mengimbas projek pertanian ini, saya melawan segala unsur negatif politiking dalam projek ini. Prinsip saya adalah mana-mana petani yang berminat dan komited dengan projek penanaman lada akan disertakan, tanpa mengambil kira fahaman politik UMNO mahupun PAS.


Saya telah melihat banyak kerosakan yang telah dibuat oleh orang-orang parti akibat taksub keterlaluan sehingga meninggalkan apa keutamaan yang lebih penting. Ini berlaku dalam UMNO dan juga PAS.


Saya mengimpikan satu masa nanti, masyarakat tani mampu menjadi produktif, profesional dan tidak lagi menjadi mangsa eksploitasi orang-orang politik.


Monday, July 6, 2009

Merpati Bebas


Satu pagi, saya dihubungi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat , berkenaan satu kes ibu mengandung anak luar nikah. JPW mencadangkan kes ini diambil oleh saya. Selepas berbincang dengan suami, kemudian membuat saringan, saya kemudiannya memaklumkan kepada JKM daerah. Kes ini saya ambil sebagai tanggungjawab.


Dalam mengendalikan kes-kes begini, saya mengambil pendekatan yang sedikit berlainan berbanding beberapa NGO lain dan JKM. Ini mungkin kerana jumlah kes yang kecil dan keupayaan dan kemudahan yang terhad yang ada pada saya.


Kebanyakan pusat perlindungan mengawal klien secara ketat . Klien tidak dibenarkan menggunakan HP, keluar dari tempat perlindungan, aktiviti dipenuhi dengan jadual yang ditetapkan.


Dalam menggerakkan pusat perlindungan wanita, falsafah yang saya pegang adalah " Jangan kita membuatkan seseorang putus harap dengan rahmat tuhan, Jangan pula kita memaksa mereka bertaubat." Ini diambil daripada kata-kata Ali karammallahuwajhah.


Justeru klien saya dibenarkan keluar-masuk rumah. Dibenarkan menggunakan handphone. Apa yang dilarang adalah maksiat di depan mata dan perkara-perkara yang menjerumus mereka kepada elemen yang tidak baik.


Dengan ini, saya lebih memahami permasalahan sosial dan latar klien saya. Nasihat saya berikan berdasarkan perkembangan sosial klien. Dalam usia 20-30 an, adalah tidak praktikal untuk kita menghalang mereka daripada berbual dan bertemu dengan lelaki.


Yang praktikal adalah kita menasihati mereka bagaimana mengenalpasti lelaki yang baik. Kita boleh menasihati mereka bagaimana menjaga maruah dan keselamatan mereka.


Saya senantiasa mengingati kata-kata Imam Khomeini, "Jika bertembung masalah rakyat dengan tuhan, dahulukan masalah rakyat" . Hikmah daripada kata-kata ini adalah, dalam berdepan masalah sosial, hulurkan dahulu bantuan asas kemanusiaan, makanan, keselamatan, tempat tinggal dan pekerjaan, kemudian barulah kita sampaikan mesej dakwah, pesanan kesabaran dan kebenaran.


Justeru saya tidak mengambil menyekat klien daripada mengharungi hidup mereka secara normal, bahkan saya membantu mereka melalui jalan lurus yang penuh dengan simpang-siur. Saya bantu mereka berdepan dengan ancaman binatang buas sepanjang jalan. Saya bantu mereka mendapatkan bekalan-bekalan dalam perjalanan, mendapatkan pekerjaan dan mendapatkan suami.


Saya umpamakan klien saya sebagai anak merpati, saya pula ibunya. Kami hidup bebas dalam alam ciptaan tuhan, walaupun penuh bahaya, namun ia adalah kehidupan yang fitrah. Kehidupan dalam sangkar, walaupun selamat, namun ianya tidak fitrah, ya memudahkan urusan pemeliharaan, namun mengurung jiwa fitrah kebebasan.


Jadilah merpati bebas wahai anakku.

Saturday, July 4, 2009

Menjelang Penamaan Calon


Esok saya bertugas memantau keadaan di kampung, saat perarakan penamaan calon Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Sebagaimana pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, perarakan calon tidak saya hadiri.




Memantau kawasan saat perarakan calon, adalah memasang mata dan telinga, apa-apa pergerakan , insiden, isyarat politik yang berlaku dalam kawasan pemantauan. Ia umpama anjing pengesan, duduk rileks sambil mata, telinga dan hidung peka mengesan apa-apa perubahan. Namun dalam keadaan memerlukan, ia pantas bertindak, hingga menyebabkan musuh kelam kabut.




Bagi petugas pilihan raya yang mahir, mereka berkemampuan menjadikan alam, masyarakat sekitar dan juga musuh mereka sebagai senjata perlawanan.


Semalam saya diberitakan, dalam kes terpencil, pasukan BN mencantas bendera BN, akibat tidak memperolehi wang upah memasang bendera. Beberapa siri insiden sabotaj, dalam pelbagai bentuk, terus berlaku dikalangan BN. Dan BN akan menghadapi laluan yang sukar jika meneruskan kempen propaganda putar belit, ini kerana penduduk Manek Urai walaupun kerjanya menoreh dan kerja kampung, namun tahap pendidikan politiknya tinggi.


Hampir semua isu semasa dapat digarap dengan baik oleh penduduk Manek Urai, ini hasil daripada sifat kepekaan masyarakat Manek Urai terhadap perkembangan politik. Justeru bukan tidak penting, kelulusan ijazah seseorang calon, namun yang lebih penting kemampuan memberikan khidmat kepada pengundi. Bukan tidak penting pengalaman dalam kerajaan seseorang calon, namun yang lebih penting, integriti dan nama baik yang ada pada seseorang calon.


Menjelang penamaan calon esok, secara umum saya meletakkan:

1. Faktor calon, PAS Menang

2. Keberkesanan jentera, PAS Menang

3. Mood pengundi, PAS Menang

4. Isu semasa, PAS Menang

5. Kemudahan infra, BN Menang

6. Kekuatan Parti, PAS Menang


Kemenangan masih lagi berpihak kepada PAS.

Ceramah Agama vs Gusti di Manek Urai


Semalam di UPU Lata Rek, Manek Urai, PAS menganjurkan ceramah kelompok, antara jemputan ialah Ust Hamid Derani, bekas jentera UMNO masuk PAS. Bersebelahan tempat ceramah, adalah pondok BN, kebetulan pada malam itu, pondok BN memaparkan acara gusti yang sebahagiannya selain memaparkan ahli-ahli gusti yang berketul-ketul ototnya, turut sama menayangkan gadis-gadis separa telanjang mengeliling gelanggang.


Adegan ini membuatkan BN semakin dipandang serong. Apakah mereka tidak memahami sensitiviti agama dikalangan masyarakat kampung. Kenapa tidak digunakan musim pilihanraya ini bagi menyampaikan mesej parti.


Saya tidak melihat adanya kaitan antara acara gusti dengan kempen pilihan raya, melainkan ianya menambah persepsi negatif kepada BN.

Rahsia Muslimat PAS di Manek Urai


Apakah rahsia kekuatan jentera PAS di Manek Urai, khususnya jentera Halwa ( Hal Ehwal Wanita) PAS? Gambar yang saya paparkan ini merupakan sebahagian rahsia kekuatan jentera Halwa.
Rumah ini diduduki oleh dua beranak, nenek dan seorang cucu, beliau secara penuh pengorbanan menyediakan rumah beliau untuk jentera HALWA Rantau Panjang, gunapakai sepanjang tempoh pilihan raya. Tiada jumlah sewa diminta, cuma pihak kami yang memberi sumbangan kepada nenek berkenaan.
Ini bukan sahaja berlaku di UPU Lata Rek, malah hampir semua pusat operasi muslimat PAS, dibiayai dan disumbangkan oleh golongan mustadhafin dan rakyat bawahan, bahkan istimewa di Manek Urai, kebanyakan penduduk yang kaya disini adalah orang-orang PAS.
Kenapa ini berlaku? Mentaliti para penyokong UMNO kebanyakannya mengharapkan subsidi dan bantuan daripada kerajaan, secara negatif melahirkan komuniti yang pemalas dan tidak gigih berusaha. Sebaliknya para penyokong PAS kebanyakannya menganggap bantuan kerajaan adalah bonus, secara positif melahirkan komuniti yang rajin dan gigih berusaha.
Keunikan muslimat PAS Kelantan pernah disebut oleh Pengarah Pilihanraya PAS pusat dalam kemahiran menjalankan kerja-kerja pilihan raya. Apabila kami berunding dalam membina infra seperti Pusat Operasi, kami dahulukan kebersamaan dalam perjuangan menegakkan Islam.
Justeru jadilah perjuangan ini satu perjuangan yang disokong dan didokong oleh rakyat. Dan wanita UMNO terus dihantui dengan jerat duit dalam operasi mereka. Tiada duit, kerja tak mungkin berjalan!

Manek Urai + Lata Rek


Selain daripada mengkoordinasi petugas-petugas yang hadir di UPU Lata Rek, saya mengambil kesempatan meninjau kawasan-kawasan lata yang tersembunyi daripada orang ramai. Lata Rek sebagai destinasi pelancongan terkenal di Kuala Krai, terlalu terbuka dan ramai pengunjung. Lata-lata tersembunyi ini menjadi destinasi istirehat santai bagi para petugas baru yang datang.


Beberapa lata yang saya temui merupakan lata yang sunyi dan sesuai untuk muslimah mandi manda kerana tempatnya yang agak tersorok dan mudah dikunjungi. Ada juga muslimah yang mengutip batu-batu bulat kecil untuk dijadikan batu tuku, kaedah tradisional mengurut bagi wanita bersalin.


Kebiasaan pada waktu pagi, program muslimat tidak diadakan kerana kebanyakan pengundi keluar bekerja khususnya menoreh. Justeru kebanyakan waktu pagi digunakan untuk bersantai di lata-lata yang menenangkan jiwa.

Wednesday, July 1, 2009

Pakaikan Juga Kopiah Di Hatimu




Saya ingin berkongsi pengalaman berurusan golongan berkopiah yang korup. Melalui Peladangnita, kami bekerjasama mengusahakan projek penanaman lada, seluas 10 ekar. Bersama dengan jawatankuasa Peladangnita kami mengumpul nama para petani dan menyelaras dengan Pertubuhan Peladang Kawasan. Diantara jawatankuasa penggerak, termasuk juga 'si kopiah' yang turut sama membantu.




Si kopiah ini merupakan broker kampung, cakap juta-juta, nak minta balak la, nak dapatkan kontrak juta-juta, namun kerja seharian melepak di kedai kopi.




Dalam projek ini beliau cuba menjadi orang tengah antara pengusaha dengan agensi, beliau cuba untuk memastikan bekalan baja diletakkan dirumah beliau, tidak dihantar terus kepada para petani, ini berjaya kami yakinkan pihak agensi untuk menghantar terus ke rumah petani. Beliau juga cuba menyembunyikan senarai penerima baja, yang kemudiannya pihak kami menunjukkan senarai penerima baja tu ada dalam poket baju beliau!Kami juga menerima aduan dari para petani kampung, bagaimana si kopiah ini menggunakan nama orang miskin untuk kepentingan diri.




Nasihat saya kepada individu-individu seperti ini, jangan setakat memakai kopiah di atas kepala. Hati yang cenderung kepada kejahatan dan nafsu, boleh dikawal dengan memakainya dengan kopiah, kerana kopiah adalah simbol dan alat yang boleh mendekatkan diri kita kepada tuhan.




Sebagaimana topi yang boleh melindungi kita daripada panas, kopiah adalah pakaian untuk kita solat, bagi memastikan kesempurnaan sujud pada tuhan, agar secara fizikal dahi tidak dilitupi rambut, secara spiritual muka kita dirapatkan ke tanah sebagai rasa perhambaan, hina dina kita kepada tuhan.




Justeru bagi mereka yang berkopiah, pakaikan juga kopiah dihatimu

Tuesday, June 30, 2009

Bincang Kaunselor JKM


Hari ini saya membuat perbincangan dengan kaunselor JKM isu-isu melibatkan keganasan rumahtangga dan bagaimana menangani kes-kes berkenaan. Saya membawa buku-buku terbitan Jabatan Pembangunan Wanita berkaitan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 disamping membawa pengalaman mengendalikan kes-kes wanita untuk diberi bimbingan dan nasihat oleh JKM.


Saya bertanyakan kepada kaunselor JKM, berapakah jumlah kes kaunseling yang dikendalikan oleh beliau. Beliau menyebut tiada, sepanjang beliau berkhidmat.


Berikut adalah cadangan saya kepada kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.


1. Kaunselor JKM perlu dipilih daripada individu yang mempunyai jiwa untuk membaiki masyarakat, bukannya bekerja kerana gaji.


2. Kaunselor JKM perlu melibatkan diri dengan sasaran yang bermasalah. Melibatkan diri dengan masyarakat, dapatkan maklumat masalah-masalah yang dihadapi oleh anggota keluarga.


Saya percaya dengan melakukan ini sahaja, kaunselor-kaunselor JKM bukat setakat berjaya mengumpul kes-kes kaunseling, bahkan yang lebih utama membantu mengurangkan masalah sosial

Sunday, June 28, 2009

Bagaimana menampung kos rumah perlindungan



Bagi menampung perbelanjaan mengendalikan wanita-wanita yang memerlukan perlindungan, saya wewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan. Ada yang berniaga baju t shirt Nisa, ada yang menjadi pengasuh, ada juga yang menjual nasi lemak, berkhidmat sebagai sukarelawan di pejabat dan ada pula yang mengajar quran.


Kalau di Raudatus Sakinah, klien perlu membayar RM250 sebulan manakala di JKM pula tentunya percuma kerana ia ditanggung kerajaan.




Kita perlu memikirkan cara praktikal kos-kos dapat ditampung melalui pekerjaan/perniagaan kepada individu tersebut.




Justeru kebersamaan, sifat berdikari, keupayaan untuk melangsungkan kehidupan dengan baik, tolong menolong akan dibina sepanjang mereka bersama kita.

Tuesday, June 23, 2009

Rumah Perlindungan Wanita, Kahwin Misyar dan Mut'ah


Semalam saya bersama JK Rumah Perlindungan seramai 5 orang, meneruskan perbincangan kertas cadangan rumah perlindungan wanita negeri Kelantan. Kertas ini akan diangkat kepada exco pembangunan wanita, keluarga dan kesihatan. Mesyuarat tersebut dibuat di rumah saya, yang saya jadikan pusat perlindungan wanita dengan kerjasama JKM dan Pusat Pembangunan Wanita, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini membantu mesyuarat tersebut dibuat dalam suasana aktivisme melindungi kaum wanita.


Topik perbincangan kami tidak terhad kepada modul, bajet dan ruang kerjasama dengan para sarjana, namun juga dibincangkan isu-isu kontroversi seperti perkahwinan misyar dan mut'ah. Perkahwinan misyar ini pernah disebut oleh Sheikhul Azhar dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Persoalan ini kami putuskan untuk dilanjutkan bersama dengan TGNA sendiri.


Kami juga membincangkan bagaimanakah Kelantan boleh mewujudkan rumah perlindungan contoh berbanding yang dibuat oleh NGO seperti KOWAJA, Raudatus Sakinah, JKM dsb.



Justeru rumah perlindungan wanita Kelantan harus membuatkan para pendosa tidak putus harapannya kepada kerahmatan tuhan, dan sesalan taubat itu pula datang daripada suasana yang halus, tenang dan timbul dari hati para pendosa itu sendiri tanpa elemen paksaan, kurungan dan kawalan yang melebih.

Dan Ali r.a. pernah menyebut " Ahli fiqh yang baik, membuatkan seseorang itu tidak merasa putus asa dengan rahmat tuhan, dan tidak pula merasa dipaksa untuk bertaubat."


Sunday, June 21, 2009

NISA Bersama Remaja Wanita Berpotensi


Ada rakan-rakan saya dalam Nisa yang mengkritik sikap saya melayan golongan-golongan yang dilihat kurang berakhlak dan bermasalah. Ada pula yang memandang saya serong kerana dilihat rapat dengan golongan sebegini. Memang saya akui saya berkecenderungan untuk lebih rapat dengan mereka yang dipandang sedikit serong oleh sebahagian ahli-ahli nisa. Mereka yang cakap lepas, berpakaian modern dan perangai sedikit hu ha, ini menjadi kawan-kawan saya. Dan saya sangat tidak menyukai lagak-lagak individu yang ingin dilihat rapat dengan tokoh-tokoh ditempat terbuka. Ya betul, kita mesti rapat dengan pimpinan atasan sebagai keperluan kerja dan bimbingan, dan inilah ujian kepada kita dalam berpolitik, yang tidak saya nafikan faktor popular bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh dalam parti politik.


Saya lebih mengutamakan kepada potensi individu tersebut berbanding masalah yang dipikul. Saya senantiasa cuba mencungkil apakah potensi terbaik adik-adik Nisa yang mendekati saya, peranan saya adalah memberi nasihat dan mendorong mereka mengeluarkan apakah potensi terbaik dalam diri mereka.


Akibat daripada pendekatan saya ini, tidak sedikit mereka yang memandang rendah kepada saya. Dan saya sedar perkara ini, namun saya tetap meyakini setiap panggilan telefon, perbualan santai dengan individu-individu ini adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Bukan setakat itu sahaja, bahkan individu yang dipandang sampah oleh masyarakat, dipulau oleh keluarga mereka, kini menjadi sebahagian daripada anggota keluarga saya. Mereka ini saya bawa ke JKM, saya bantu mereka di Jabatan Pembangunan Wanita di Pengkalan Chepa, bagi membolehkan mereka berdikari, bina keyakinan diri, dan terus memandang kehadapan. Mereka ini saya yakinkan akan kasih sayang tuhan, biarpun sejarah hidup mereka hitam, namun jangan dilupakan, tuhan itu adil.

Sister In Islam dan PAS


Adalah sesuatu yang mengejutkan apabila muktamar PAS baru-baru ini boleh meluluskan usul berkenaan Sister In Islam tanpa bahas. Lagi-lagi usul ini dibawa oleh muslimat PAS Shah Alam, bukannya muslimat Gua Musang atau Kuala Krai, Kelantan. Muslimat bandar yang terdedah dengan pelbagai keragaman fahaman dan semestinya lebih terpelajar dan punyai tahap pendidikan yang tinggi.


Saya berpandangan Sister In Islam mempunyai banyak manfaatnya kepada wanita Islam di Malaysia, walaupun ada sebahagian tindakannya kontroversi. Usaha SIS dalam memperkasa hak-hak wanita melalui seminar, cadangan draf undang-undang berkaitan wanita dan one stop crisis centre di hospital-hospital adalah sangat signifikan.


Saya dalam mengendalikan kes-kes wanita di Kelantan, juga kerap menelefon SIS sebagai tempat rujukan nasihat.


Dan saya berpandangan usul tersebut terlalu keras dan tidak sesuai diluluskan dalam muktamar PAS. Elemen kontroversi dalam SIS boleh dikendalikan dengan cara perbincangan dan dialog, bukan dalam bentuk desakan menyiasat dan mengharamkan SIS. Slogan PAS for ALL harus menggambarkan kesediaan PAS meraikan kepelbagaian pandangan dan pendekatan dalam masyarakat.