Tuesday, March 31, 2009

Wanita Iran dan Wanita Malaysia



Kunjungan saya ke Tehran pada Jun 2008, membolehkan saya membuat perbandingan berikut;


1. Di Iran ada universiti khusus wanita, Universiti Fatimah. Malaysia masih belum ada universiti seumpamanya.

2. Di Iran, hari wanita disambut bersempena tarikh kelahiran penghulu wanita syurga Fatimah. Di Malaysia sambutannya dibuat pada 8 Mac 2009.

3. Di Iran ada stadium khas untuk wanita. Di Malaysia masih belum ada.

4. Di Iran ada Taman Rekreasi khas untuk wanita, dibuka 24 jam. Di Malaysia masih belum ada.
5. Di Iran ada Hakim Wanita di Mahkmah Keluarga. Di Malaysia masih belum ada.


dan sebagai bacaan tambahan, para pengunjung boleh klik pada link ini bagi mendapat gambaran pencapaian wanita iran sebagai perbandingan;

Penderaaan Seks Oleh Suami


Sejak memimpin Nisa Resources (NR), saya mula mengendalikan kes-kes yang melibatkan permasalahan wanita.


Sebenarnya kita tidak perlu menjadi pengerusi lajnah guaman, atau pengarah nisa, atau pengerusi mana-mana ngo wanita, untuk membantu wanita. Kita hanya perlu bertanggungjawab terhadap persekitaran kita. Kedua, kita boleh memulakan pembelaan dengan kes-kes yang mudah dan hampir dengan kita. Disitu kita belajar bagaimana mengendalikan kes secara bertahap. Ketiga, idea-idea yang kita rasakan bagus dilaksanakan, sebaiknya kita sendiri laksanakan. Jangan pula kita sangat pandai mengkritik, JKM patut buat ....., SIS patut ....., Kerajaan patut .........., tanpa mengoreksi diri, apa yang boleh kita buat.


Membincangkan soal tajuk diatas, saya didatangi oleh seorang isteri yang mengadu suaminya melakukan penderaan seks terhadapnya. Suami beliau hanya puas apabila hubungan seks dibuat secara ganas dan melalui 'pintu belakang'. Membuatkan beliau menderita batin dan fizikal.


Beliau telah saya bantu memberi khidmat nasihat dan bantuan teknikal peguamcara.


Saya melihat persekitaran yang ada masih belum cukup dari memuaskan bagi mencegah dan membantu para isteri-isteri yang didera oleh suami. Walaupun kursus-kursus perkahwinan telah diwajibkan, ujian HIV dikenakan bagi pasangan yang ingin berkahwin, namun kes penganiayaan terhadap isteri terus berlaku.


Perangkaan menunjukkan setiap hari wanita Malaysia, 8.2 orang mengalami keganasan rumahtangga, 6.7 kes dirogol.


Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh aktivis dewan muslimat, nisa dan wanita?

1. Perkuatkan rangkaian dengan ngo wanita, JKM, peguamcara wanita.

2. Buat bacaan tambahan berkaitan isu-isu wanita seperti http://www.sistersinislam.org.my/

3. Bersikap pro aktif dalam mengendalikan kes-kes wanita di persekitaran kita, jika tidak kita membela wanita, siapakah yang lebih layak dan lebih memahami permasalahan wanita?


Dan saya berpandangan sudah tiba masanya hakim wanita diwujudkan di mahkamah syariah.





Sister in Islam dan NGO Wanita Islam


Bulan lepas saya menghadiri persidangan wanita Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur. Dihadiri oleh ADR, ADUN, aktivis wanita dan Sister in Islam (SIS). Antara perkara yang dibincangkan adalah:

1. One Stop Crisis Centre di hospital kerajaan

2. Akta Keganasan Rumahtangga

3. Polisi Memperkasakan Hak-hak Wanita


Bahan-bahan terbitan SIS juga diedarkan kepada para peserta, yang menghimpunkan tulisan-tulisan aktivis wanita Islam dari pelbagai belahan dunia. Antara yang menarik dalam terbitan berkenaancadalah, peranan sahabiah Rasulullah yang menjadikan rumah beliau(bersebelahan masjid nabi) sebagai pusat rawatan kesihatan.


SIS yang fokus dan konsisten dalam perjuangan wanita, membolehkan mereka memberi sumbangan yang signifikan terhadap isu-isu wanita. SIS juga banyak memberi input kepada ahli-ahli parlimen dalam perbahasan isu-isu wanita di dewan rakyat.


Saya memikirkan mengapa NGO-ngo wanita Islam, yang didirikan oleh mereka yang berlatar belakang parti Islam, lebih memberi tumpuan soal dalaman. Aktiviti utama mereka lebih kepada pengisian rohani semata-mata, dalam kala mingguan dan bulanan, melalui program Usrah.


Mereka kurang memerhatikan soal mempengaruhi dasar secara berkesan. Bahkan tidak garap dengan isu yang melanda wanita. Mereka tidak pernah pun membelek Akta Keganasan Rumahtangga. Mereka tidak pernah mengendalikan satu kes pun, wanita-wanita yang bermasalah. Apa yang terjadi hanyalah bercerita berkenaan masalah rumahtangga orang, tanpa bantuan dan penyelesaian yang konkrit.


Usrah mereka membicarakan soal akidah, tapi meninggalkan mangsa-mangsa akidah. Usrah mereka membicarakan soal akhlak remaja, tapi meninggalkan remaja yang hanyut. Ya mungkin sebahagian mereka menjawab, banyak sudah program yang kami anjurkan bagi mengatasi gejala sosial.


Namun saya melihat, ianya sekadar menghabiskan peruntukan kerajaan. Lebih kepada keseronokan menganjurkan program, dengan adanya jaminan bajet.


Monday, March 16, 2009

Manusia Menjadi Jahat Kerana Merasa Cukup


Membaca surah Al Alaq ayat6-7 " Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup."


Memerintah selama 18 tahun, membuatkan kita merasa selesa, meyakini kitalah yang terbaik, gelombang rakyat sudah bersama dengan kita.


Akibatnya kualiti perkhidmatan kita kepada rakyat akan menurun. satu perististiwa yang menyentak hati saya apabila pimpinan gerakan Islam menghardik seorang wanita miskin yang dianggap 'tidak betul' yang kerjanya meminta-minta, cakapnya berbelit-belit, rumahnya sekejap di kota bharu, sekejap di pasir mas, sekejap di Rantau Panjang. Diberi beras, masih tidak cukup, diberi duit masih tidak cukup.


Melihat matanya berkaca dihardik, membuatkan saya meluat kebencian kepada mereka yang mengunakan slogan "Kelantan Tempat Istirehat Orang Miskin'


Ayat 10 Surah Adhuhaa " Dan terhadap orang yang minta-minta maka janganlah kamu menghardiknya."


Saya secara peribadi lebih mempercayai kata-kata orang miskin daripada apa yang keluar daripada mulut politikus.


Nabi tidak pernah menghardik orang miskin, tatkala sahabatnya yang miskin meminta buat kali ketiga, nabi memberinya peluang pekerjaan, modal berupa kapak dan khidmat nasihat perniagaan.

Malaikat Bisu vs Setan Vokal


Siapakah yang menang dan berpengaruh jika diadakan perlawanan, antara Malaikat Bisu dengan Setal Vokal. Malaikat yang penuh pengetahuan yang benar lagi taat pada tuhan, namun memilih untuk membisu. Setan yang penuh tipu muslihat lagi menyesatkan, tapi memilih untuk bersuara.

Setiap kali saya turun ke ceruk kampung, saya pasti menemui kesusahan rakyat yang tidak terbela. Namun turun bersama para 'Malaikat' yang hanya berani bersuara sesama "malaikat' membuatkan hati saya benci dengan perilaku 'malaikat bisu'. Ia , memang mudah menyalahkan JKK, JKM, UMNO, Kerajaan Pusat atas kesusahan rakyat. Manakala 'Setan' pula cukup pro aktif dalam melaksanakan agendanya. Mini bajet 60 Bilion dikejar untuk dikebas. Setiap peruntukan diperincikan, setiap peluang diintai, juak-juak dikerah untuk bersama melanun kapal bernilai 60 bilion.

Sang Malaikat Bisu pula sebagaimana rutin membaca lidah rasmi kerajaan syurga setiap Isnin dan Jumaat. Melaung-laung di masjid Allah Maha Besar, namun membiarkan pengaruh 'setan vokal' berleluasa diluar masjid.

Sang Malaikat Bisu tiada keberanian untuk memerangi penyelewengan penghulu di kampung, tiada kecekalan melawan salahguna kuasa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak kenal pun tingkat 12 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, apa lagi tingkat lapan jabatan siasatan jenayah IPK Kelantan.

Sang Malaikat Bisu hanya bersuara dalam usrah sesama malaikat. Sang Malaikat Bisu hanya berapi berucap, dikhalayak para malaikat berkopiah putih berjubah labuh, dalam program ceramah umum.

Sang Malaikat Bisu membaca Surah Rom, namun meninggalkan bacaan perbahasan hansard parlimen.

Sang Malaikat Bisu membaca Surah Al Anfal, namun meninggalkan bacaan seksyen 10 akta kesalahan pilihan raya.

Sang Malaikat Bisu membaca Surah An Nisa, namun meninggalkan bacaan Akta Keganasan Rumahtangga.


Kesudahannya, keputusan perlawanan dimenangi 'Setan Vokal'!

Sunday, March 15, 2009

Pejabat Rasulullah dan Pejabat Wakil Rakyat


Genap setahun saya bertugas sebagai pegawai khas ahli parlimen. Menelusuri sirah, membuatkan saya termenung panjang, mengoreksi pentadbiran pejabat ahli parlimen yang saya kendalikan.

1. Pejabat rasulullah menyediakan anjung suffah, tempat istirehat bagi golongan miskin. Adakah ini berlaku di pejabat YB. Sekadar menerima dan mengkoordinasi bantuan. Saya ada mendengar beberapa pejabat YB DAP menjadi tempat lepak golongan yang susah, pejabatnya tidak gah, tapi penuh dengan fakir miskin dan golongan merempat. Satu masa saya mengimpikan pejabat YB dipenuhi oleh para duafa dan fakir miskin, laksana anjung suffah di pejabat Rasulullah.

2. Pejabat rasulullah dianggotai oleh staf-staf terbaik. Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Salman, Miqdad, Abu Zar, Bilal. Mereka tidak dipilih berdasarkan warna kulit. Rasulullah memilih mereka atas dasar merit. Kepakaran khusus untuk tugas yang khusus. Satu masa saya mengimpikan pejabat YB dipenuhi oleh staf terbaik pada masa dan tempat itu.

3. Pejabat rasulullah beroperasi ditengah pusat masyarakat. Pejabat RAsulullah tidak berada di gua hirak, tidak di gunung Uhud atau di perkebunan Fadak mahupun di Taif. Ianya terletak dijantung masyarakat. Satu masa saya mengimpikan pejabat YB berada di tengah bandar, bukannya ditengah hutan Gelam atau ditengah lebuhraya. Saya menyoal adakah masyarakat mustadhaffin mudah untuk datang ke pejabat YB, adakah pengangkutan awam tersedia untuk ke pejabat YB?

4. Pejabat Rasulullah punya rekod yang kemas, telus dan kredibel. Rasulullah tidak menggunakan perisian Quicken atau MYOB bagi catitan kewangannya, namun baginda memiliki akauntan yang merekod transaksi. Rasulullah telus dalam membahagi harta ghanimah. Tiada persoalan terhadap kredibiliti Rasulullah kecuali bagi mereka yang berpenyakit. Saya mengimpikan pejabat YB telus dalam memberikan peruntukan seumpama Datuk Bandar Korea yang mengeluarkan senarai penerima peruntukan di laman web.

5. Pejabat RAsulullah mempunyai OKU bernama Ibnu Maktum. Rasulullah tidak melaungkan dasar 1% pekerja OKU disektor kerajaan beliau, sebaliknya memberi teladan keutamaan memberi layanan kepada OKU berbanding tokoh-tokoh quraish yang celik di mata tetapi buta hatinya. Saya mengimpikan pejabat YB mesra OKU, punya ram untuk memudahkan OKU memasuki pejabat, kerusi roda, kaunter paras rendah, tactile guiding block, reading Computer (Software JAWS)

Memimpin Masyarakat Tani



Memimpin peladangnita Senak, mendedahkan saya kepada satu sektor yang penuh cabaran. Dengan dana kementerian pertanian dan industri tani sebanyak 30 juta kepada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), krisis makanan dunia yang membawa kepada mesyuarat jaminan keselamatan makanan negara D8, peringatan menteri terhadap PPK yang bermasalah, teguran PM terhadap pegawai kerajaan yang lembap, mini bajet 60 bilion, senarai nama ibu tunggal dan orang miskin yang dimanipulasi. Semua ini memerah kepimpinan saya.





Daripada mendengar rintihan seorang ibu tunggal (penyokong kuat UMNO) yang beranak 7, tinggal dirumah robek, dikatakan disisih oleh penghulu PAS yang mengutamakan kaum kerabat, daripada senarai penerima bantuan. Hinggalah pemalsuan 50 senarai orang termiskin oleh agensi kerajaan pusat sebagai bakal penerima bantuan. Semakan yang saya buat, nama pertama ada dalam senarai tersebut adalah JKKK/ketua kampung UMNO.





2 kes diatas menunjukkan bagaimana nasib orang miskin dipermainkan baik atas nama agama ( sebagai balasan menentang parti Islam) dan juga atas kepentingan diri ( pastikan segala peruntukan bantuan masuk dalam kocek aku dulu).



Penindasan terhadap kaum tani dan orang miskin begitu nyata didepan mata, namun dimanakah mereka yang membaca alquran pada setiap pagi, kemana hilangnya mereka yang secara mingguan mengikuti usrah. Jawapan saya mereka ini hanyut dengan jerat al quran dan usrah.

Ayuh pembaca AlQuran, bertindak atas apa yang kamu dendangkan. Ayuh pengikut usrah, laksanakan apa yang kamu khayalkan.

*gambar diatas adalah program taklimat kali kedua ahli peladangnita, peladang muda dan unit peladang oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad dan Pertubuhan Peladang Kawasan pada 31 Januari 2009

Provokasi Hizbu Tahrir oleh pengawal keselamatan parlimen




Minggu lepas saya mengiringi YB Zailah ke parlimen. Saya mengambil kesempatan mengunjungi pusat sumber parlimen yang sangat baik kemudahannya. Bertemu dengan ahli-ahli parlimen, pegawai-pegawai YB dan kementerian.




Ada satu kejadian yang saya ingin kongsi dengan pembaca. Saat berada di ruang parlimen saya didekati oleh seorang pengawal keselamatan parlimen (lelaki). Perkenalan permulaan, nampaknya tidak disudahi begitu sahaja, beliau cuba menyeret saya dengan pergerakan hizbu tahrir. Bahkan siap menawarkan bahan-bahan ajaran hizbu tahrir. Saya nak tergelak tengok perangai pengawal keselamatan parlimen ni. Cukuplah lakonan penyusupan nak rosakkan PAS. Buatlah kerja elok-elok, jaga keselamatan parlimen tu, jangan pula jadi agen provokasi BN menyebar fahaman-fahaman asing dalam PAS.




Adakah isteri tidur dengan lelaki lain?


Soalan itu dilemparkan oleh TGNAZ kepada rakan yang mengadu perihal krisis rumahtangga beliau, membuatkan rakan saya (lelaki) sedikit tergamam. Beliau menjawab tidak. Dibalas TGNAZ, kalu macam tu baiklah.


Ini jawapan TGNAZ secara peribadi kepada rakan saya yang kebetulan solat disebelah beliau pada satu petang, dan jawapan tersebut memberi ketenangan yang besar kepada beliau.


Membelek sejarah, kita boleh dapati kisah-kisah krisis rumahtangga yang dialami oleh para rasul, nabi dan para pemimpin mukmin. Menyediakan kita pelajaran berguna.


1. Tindakan yang dimulai Hawa memakan buah khuldi mengakibatkan pasangan suami isteri ini terpisah.

2. Tindakan isteri nabi lut yang berpaling tadah, menyokong kaum sodomi.

3. Peel perangai isteri nabi Ismail yang diberi isyarat oleh mertuanya supaya dicerai

4. Karenah Hafsah dan Aisyah yang menyebabkan nabi meninggalkan isteri baginda selama hampir 40 hari.

5. Tindakan meracun suami oleh isteri Hassan r.a.

6. Campurtangan nabi dalam menghalang niat Ali r.a. untuk berpoligami saat hidupnya Fatimah

7. Tindakan Abu Bakar r.a. menampar Aisyah atas perilakunya terhadap nabi

8. Leteran isteri Umar r.a. yang membuatkan sahabat memadamkan niat untuk mengadu perilaku isteri.

9. Perceraian Zainab dan Zaid akibat tidak sekupu.

10. Tindakan Asiah yang mengengkari firaun (suaminya)

Saturday, March 14, 2009

Kerjasama dengan SB


Sebagai pegawai khas YB, saya sering bekerjasama dengan SB Rantau Panjang dalam perkongsian maklumat aktiviti YB. Saya juga sering berbual dengan SB di pejabat ahli parlimen.


Apakah pandangan saya terhadap peranan SB.

1. Saya menghormati peranan SB dalam mengumpul maklumat awal kegiatan politik, supaya pihak polis mempunyai maklumat yang cukup dalam menjalankan peranannya sebagai penjaga keamanan.

2. Saya tidak punya keyakinan penuh pihak polis bertindak profesional, khususnya SB, sebagai pihak yang tidak memihak. Latar sejarah membuktikan bahawa campurtangan politik oleh PDRM, dan ianya tidaklah berkurangan dalam politik semasa. Saya tidak boleh bayangkan KPN meninju tahanan-tahanan politik dalam tahanan. Saya juga tidak boleh bayangkan polis menghalang sidang dun di Perak.

3. Baru-baru ini saya ditelefon oleh seseorang yang mengaku SB bagi mendapatkan maklumat pemilihan dalam parti. Saya mengambil sikap enggan memberikan kerjasama dengan anggota SB berkenaan.


Nasihat saya kepada SB, jadilah anggota PDRM yang profesional. Tegas, Adil dan Berhemah.

Peranan Muslimat Dalam Pilihan Raya


Semasa tulisan ini dibuat, saya berada di Bukit Gantang buat kali kedua. Bertugas dalam pilihan raya kecil memberikan saya pelbagai reaksi. Terkadang saya merasa bosan dengan kerja-kerja pilihanraya yang bersifat rutin dan kaku. Walaupun urusan kerja pilihan raya sangat luas dan mempunyai ruang kreativiti yang tidak terbatas, namun menjadi aktivis muslimah dalam parti yang besar dan berhirarki membuatkan tindakan yang dibuat sangat berhati-hati dan tersusun, dalam bahasa yang lebih tepat, ia ibarat pergerakan dinasour yang lembab lagi kaku.
Manakala sebahagian yang datang lebih bersifat pelancong politik, tiada peranan khusus, dan lebih banyak bersantai sesama sendiri dan mundar mandir dalam kawasan pilihan raya, sebahagian lagi sekadar menjadi modal bahawa 'aku juga pergi Bukit Gantang'. Jika ditanya lebih mendalam apa yang dibuat, jawapan yang kabur diberi.
Justeru jika ditanya kepada saya apakah peranan muslimat dalam pilihanraya:
1. Muslimat perlu lebih memperhalusi dan mengadakan penambahbaikan pada kerja-kerja pilihan raya.
2. Muslimat perlu lebih berani meneroka ruang kerja baru yang lebih efisien.
3. Muslimat perlu lebih banyak belajar ilmu pilihan raya daripada aktivis-aktivis parti diluar dewan muslimat, yang kemudiannya disesuaikan dengan gerakerja parti.