Tuesday, July 21, 2009

Cantik Membawa Padah


Kecantikan yang tuhan anugerahkan kepada seseorang wanita, pasti mengundang perhatian kaum lawannya. Perempuan yang cantik mudah menggoda lelaki. Lelaki yang mempunyai 9 akal sering kalah dengan perempuan yang berakal satu. Lelaki yang bernafsu 1 sering mengejar perempuan yang bernafsu 9.


Bagi lelaki hampir setiap sudut tubuh perempuan menjadi tarikan. Perempuan boleh menggunakan tarikan ini untuk 1001 tujuan.


Ada satu kes yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Saya namakan beliau sebagai Merpati Putih.


Merpati Putih merupakan seorang perempuan yang cantik. Menurut pandangan suami saya, memang mana-mana lelaki yang tengok dia, akan meleleh air liur.


Merpati Putih saya ambil bagi menyelamatkan dia daripada lelaki-lelaki buas di luar sana. Akibat aktiviti seks luar nikah, beliau telah ditangkap khalwat dan kemudiannya mengandung.


Lelaki yang berseronok dengan Merpati Putih enggan mengambilnya sebagai isteri. Lelaki tersebut hanya mahu berseronok diluar ikatan pernikahan.


Akibat sarat mengandung, Merpati Putih terpaksa menyembunyikan diri daripada pengetahuan keluarga. Bahkan boy friend-boy friend beliau juga mula melarikan diri. Beliau pernah bermalam di masjid akibat tiada tempat untuk bermalam. Kes beliau pada mulanya diambil oleh satu keluarga, yang kemudiannya mengambil kesempatan sebab tak tahan melihat kecantikan beliau. Perkara sumbang berlaku.


Merpati Putih kemudiannya saya ambil. Saya bawa dia ke usrah, cari keluarga angkat untuk anak yang bakal dilahirkan, mendaftar beliau ke hospital, sehinggalah beliau sempurna melahirkan bayi yang secantik ibunya.


Merpati Putih kemudiannya saya bantu mengikuti kursus anjuran kerajaan pusat bagi membolehkan beliau mendapat kemahiran dan lesen bagi mengusahakan perniagaan, kursus tersebut diberi percuma ( sepatutnya dibayar RM1000), khusus untuk ibu-ibu tunggal yang susah.


Namun Merpati Putih tidak tahan dengan umpan lelaki. Beliau ponteng kursus, dan mula mengikuti lelaki. Ini saya dapati dalam pemantauan yang dibuat.


Apakah Merpati Putih tidak sedar, bahawa beliau telah menafikan hak ibu tunggal miskin yang lain untuk hadir ke kursus tersebut?


Apakah Merpati Putih tidak sedar, bahawa dengan mengikuti kursus tersebut beliau akan mampu berdikari dengan sokongan kerajaan dan teman-teman wanita beliau?


Adakah Merpati Putih tidak sedar, bahawa dengan memperbaiki diri, beliau satu masa nanti mampu untuk hidup sebagaimana keluarga yang lain.


Namun beliau lebih memilih untuk kaya cepat. Beliau lebih memilih musang daripada manusia.

No comments: