Tuesday, August 25, 2009

Expo Amazing Thailand

18 Ogos 2009, saya berkesempatan singgah di Expo Amazing Thailand di Royal Thai Consulate General, Kota Bharu.
Sebenarnya saya tengah mencari idea berkenaan projek pemprosesan makanan, kebetulan expo tersebut dibuat, membolehkan saya menambah rangkaian perniagaan dengan pengusaha warga thai dan juga muslim warga Thai.
Mukhriz, timbalan menteri perdagangan antarabangsa, pernah memberi galakan bagi mengembangkan perniagaan di selatan Thai, justeru galakan tersebut saya sahut.
Gambar di atas, menunjukkan air botol susu kambing produk muslim thai daripada Hatyai.

Sunday, August 23, 2009

Nasib Polis Pencen


Beberapa malam lepas saya dikunjungi anggota polis pencen, beliau mengadu tekanan ekonomi yang dihadapi oleh beliau. Beliau bertanyakan apakah yang boleh beliau buat untuk jana ekonomi.


Mengenali latar beliau, merupakan seorang anggota polis yang jujur. Kehidupan beliau sangat sederhana dengan berkereta proton saga lama.


Rutin beliau pula, bersama ibunya yang uzur berjemaah di masjid berhampiran rumah setiap waktu. Kasihnya pada masjid mendorong beliau mencari pekerjaan yang tidak menggangu rutin ibadah beliau.


Beliau saya sertakan dalam projek penanaman nenas dan cendawan. Harapan saya, beliau dapat menjana ekonomi, dan yang paling besar beliau dapat merapatkan diri dengan tuhan.


Apakah lagi tanda kecintaan seseorang hamba jika hatinya senantiasa terpaut pada rumahNya..

Saturday, August 15, 2009

Tok Guru dan Ayatullah


Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Ayatullah Khomeini. Saya adalah peminat kedua-dua tokoh Islam ini. Yang pertama adalah tokoh Islam Sunni. Yang keduanya adalah tokoh Islam Syiah.


Membaca buku yang ditulis oleh kedua tokoh ini berkenaan solat, banyak persamaannya. Kedua-dua buku solat mereka ini banyak memberi pengaruh dalam peningkatan kualiti solat para pembaca.


Tulisan dan ulasan kedua-dua tokoh ini juga mirip. Dalam ceramah dan tulisan, mereka ini lebih banyak membuat huraian dan ulasan sendiri, berbanding ceramah dan tulisan yang penuh dengan ayat al Quran.


Pendekatan ini lebih memudahkan rakyat biasa paham apakah mesej Al Quran, dalam situasi dan senario semasa. Jika anda membelek Harakah, anda boleh menganalisa tulisan Tok Guru, dalam ruangan mauidzah , tidak banyak ayat quran digunakan. Ini sama dengan kaedah Ayatullah Khomeini.


Banyak saya perhatikan tulisan dan ceramah pimpinan yang lain, terlalu banyak ayat Al Quran dibawakan, sehingga ceramah dan tulisan tersebut lebih sesuai dinyatakan sebagai bacaan quran ataupun terjemahan quran.


Tulisan ceramah Tok Guru dan Ayatullah juga mencerahkan minda, mengajak kita berfikir, kritis, membuka dimensi baru, memuaskan jiwa, selalu ada perkara baru, membuatkan diri rasa berdosa dan membawa seribu satu kesan tersendiri kepada para pembaca pendengar.


Banyak saya perhatikan tulisan dan ceramah pimpinan yang masih ditakuk yang lama, lebih banyak mengulang perkara yang sama dan kadang-kadang kontradik dengan pelakuan mereka sendiri.

Tuesday, August 11, 2009

Muslimah Thai Membonceng Motorsikal


Berada di Rantau Panjang, bersebelahan bandar Golok, Thailand, membolehkan saya memerhati budaya muslimah melayu warga Thai.
Yang ketara, cara mereka membonceng motorsikal yang lebih menjaga kesantunan wanita.
Cara membonceng seperti gambar sebelah lebih menjaga aurat seseorang wanita. Walaupun nampak kekok, namun saya tidak mendengar apa-apa masalah ketara yang dihadapi oleh pembonceng.
Sedar atau tidak cara membonceng yang selalu kita amalkan terdedah kepada terbukanya aurat. Bahagian betis bahkan kadang-kadang paha seringkali terdedah, bila kita naik motorsikal. Bagi yang memakai seluar, situasi ini dapat dielakkan.

Kahwin Siam


Kahwin di Thailand menjadi lumrah bagi mana-mana pasangan yang ingin menambah bilangan isteri atau berkahwin secara sulit.

Menurut sumber, perbezaan sangat ketara amalan nikah kahwin di selatan Thai yang lebih mudah dan ringkas, berbanding amalan di Malaysia.

Amalan kahwin di selatan Thai umpama zaman 70an di Malaysia. Yang diperlukan hanyalah persetujuan pasangan dan wali, kemudiannya pendaftaran.

Memahami latar politik, ekonomi dan sosial masyarakat melayu Islam selatan Thai, membolehkan kita lebih memahami kenapa proses perkahwinan menjadi begitu mudah dan ringkas.

Bachok Kelantan, Bachok Narathiwat


Gambar disebelah diambil di pekan Bachok Narathiwat. Menurut sumber, akibat ancaman bom, setiap motorsikal yang diletak kawasan panas, dimestikan membuka tempat duduk, bagi diperiksa dan dipastikan tiada bom diletak.
Berbeza dengan pekan Bachok, Kelantan, yang aman damai. Masyarakat pula hidup dengan harmoni. Bahkan di Bachok 'Ketik' Patung Budha berdiri megah melepasi pohon nyiur lambang kebebasan beragama dibawah pemerintahan tuan guru.
Manakala Bachok Narathiwat, keharmonian masyarakat Budha dan Islam, sering digugat dengan pembunuhan sami dan imam.

Bandar Golok

Gambar disebelah adalah pemandangan bandar Golok dari tingkat 11 Hotel Marina, Golok.
Menurut sumber, kini hotel tersebut merupakan pilihan no.1 bagi para pelanggan untuk aktiviti seks dengan pelacur. Selain daripada itu bandar Golok juga terdapat 2 hotel besar yang lain, Hotel Genting dan Hotel Venice.
Golok dianggarkan mempunyai 1000 pelacur, tidak seramai Danok. Akibat daripada serangan kumpulan pemisah, industri seks di Golok berpindah ke Danok.
Kebanyakan pelacur-pelacur di Golok datangnya daripada Mynmar, Laos dan Vietnam. Jumlah warga Thai yang bekerja sebagai pelacur sudah mulai berkurangan. Kebanyakan memilih untuk menjadi pelacur kerana kesempitan hidup dan memilih jalan cepat untuk mewah.
Daripada bandar Rantau Panjang, masa yang diambil untuk ke Golok hanyalah 5-10 minit, bergantung jumlah kesesakan di pusat imigresen. Imigresen Malaysia hanya memerlukan anda memasukkan pasport ke mesin untuk di imbas ( tanpa cop), manakala imigresen Thailand memerlukan anda mengisi borang Arrival, yang boleh didapati percuma, namun kebiasaanya ramai 'sukarelawan' yang membantu menulis dengan bayaran RM2.
Menurut sumber, sejak Abhisit memerintah, jelas ketara pengunduran tentera daripada kawasan bandar. Jika anda merenung gambar, Golok dikelilingi oleh banjaran Gunung Budu, disitulah tentera Thai mengepung bandar Golok, kebanyakan puak pemisah mula beralih ke pergunungan hutan.

Monday, August 3, 2009

Penghormatan Rasul Terhadap Orang Miskin


Minggu pertama Ogos 2009, saya sibuk membuat persiapan latihan dan pembinaan infra , bagi projek basmi miskin tegar ECER. Projek vermikompos terus saya perhalusi, melalui perkembangan perusahaan yang ada.


Banyak pengusaha cacing yang lingkup, ada pula yang terus dapat bertahan. Kesimpulan yang mudah, mereka yang menjual baja, terus dapat bertahan, hanya mereka yang bergantung kepada jualan cacing sahaja yang cepat lingkup.


Melalui hansard parlimen, saya mendapat tahu nilai keperluan baja negara menjangkau 12 biliion setahun. 90% digunakan di ladang kelapa sawit. Justeru permintaan baja dalam negara sangat tinggi.


Menteri pertanian juga sedang merangka akta baja, mungkin rang akta baja dibentangkan pada sidang parlimen akan datang, 19 Oktober hingga 15 Disember nanti.


Saya bertemu dengan pegawai jabatan pertanian bagi menyempurnakan latihan kepada para pengusaha, melibatkan 15 wanita miskin yang disaring melalui temuramah dan kunjungan ke rumah. Latihan tersebut dijangka dibuat awal minggu ini.


Mengapakah kita sebagai aktivis perlu rapat, berdamping dan membela golongan fakir miskin? Disini saya ingin kongsi kisah terkenal Rasulullah tatkala tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah.


Kepada sahabat, baginda Rasul mengatakan biarkanlah unta baginda berjalan, dan baginda akan berhenti dimana unta tersebut berhenti.


Sudah menjadi kelaziman, penduduk madinah pasti berebut untuk mendapat keistimewaan mendapat tetamu Rasulullah di rumah masing-masing, tambahan saat itu, Rasulullah sudah dianggap pemimpin kota Madinah.


Namun Rumah Abu Ayub Al Ansari menjadi pilihan unta Rasulullah. Unta Rasulullah dipilih oleh tuhan bagi memberi pelajaran kepada manusia.


Siapakah Abu Ayub Al Ansari? Beliau merupakan penduduk Madinah yang paling miskin. Apakah sifat paling miskin beliau, yang menarik unta rasulullah ke sana, bukan itu sahaja, bahkan kecintaan dan keimanan beliau kepada Rasulullah, membolehkan beliau mendapat keistimewaan sedemikian rupa.