Thursday, December 1, 2011

Kau Pergi Dulu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, buat teman ukhuwwah fillah Almarhum Kamaruzzaman.

Setiap perkara ditandai dengan nama. Maka ku kenal dirimu sebagai Kamal yang baik budinya.


Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam, buat teman yang bersama memuji kegigihan para petani.


Masih ku ingat kata-katamu dalam setiap program memperkasa para petani miskin. Justeru aku memuji tuhan lewat pujian pada mu.

Yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani, buat teman yang bersama membantu dan mengasihi kaum petani. Moga-moga sifat pemurah juga kasihani pada kaum petani duafa menjadi bekal kehidupanmu di alam barzah.

Yang berkuasa pada hari kemudian, buat rakan yang diberi amanah menjayakan dasar pertanian adalah ibadah. Pastinya didalam sana kau dapat menyaksikan Yang Maha Kuasa di hari-hari kemudian yang kau lalui.

Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau yang kami minta pertolongan, buat rakan yang sering aku bertemu dan minta tolong.

Tunjuki aku jalan yang lurus benar, yakni jalan yang Engkau beri nikmat, bukan jalan org dimurkai dan jalan org kesesatan, buat sahabat seperjuangan dalam parti Islam Semalaysia. Moga-moga jalan yang kita lalui didunia ini adalah jalan dilalui oleh mereka yang diberi nikmat oleh tuhan berupa iman dan cinta.

Alfatihah buat Kamaruzaman.






Saturday, September 24, 2011

Itik Di Bendang


Sudah lama aku tidak melihat kawanan itik dibendang. Begitu lama aku merindui suara kuek kuek kuek. Sudah sekian lama aku tidak tersekat dengan barisam panjang itik melintas di jalanan.

Kerinduan lama itu diubati dengan itik-itik peliharaan Farid di bendang organik Tunjong. Itik-itik peliharaan Farid sangat istimewa.

Pertama, kerana ia itik merdeka. Ia merdeka dari sangkar atau pagar binaan manusia. Ia bebas meneroka alam persekitaran.

Kedua, ia itik yang sihat. Memakan makanan fitrah. Di bendang makanannya sangat banyak. Di bendang banyak tempat itik-itik ini boleh mandi manda dan main sorok-sorok.

Ketiga, ia jadi tarikan kepada para pengunjung. Mereka yang datang ke baruh organik Tunjong, pasti terpukau melihat lenggang lenggok itik-itik ini. Ia putih. Ia cantik. Ia hebat.

Itik satu keluarga dengan angsa. Melihat itik disini, mengingatkan aku pada peristiwa suboh saat kepala Ali r.a. ditetak musuh Islam. Saat beliau keluar rumah untuk menunaikan solat suboh berjemaah, sekawan angsa mengepung beliau, seolah-olah cuba menghalang beliau dari menuju tempat kematian beliau. Namun apa yg ditakdirkan tetap berlaku, kisah kasih sayang angsa itu kepada Ali r.a. menjadi satu dari ribuan kisah-kisah haiwan bersama lelaki surga.

Wednesday, July 20, 2011

Zaman Kanak-kanak ku


Minggu lepas, saya mengajak rakan sekelas anak-anak saya dari SK Sering Kota Bharu, belajar sambil bermain, di Baruh Organik Tunjung. 15 orang semuanya, campur lelaki perempuan.

Daripada mengutip siput hinggalah bermain dengan sikatak besar. seronok betul menjadi kanak-kanak. Riang ceria, bersih jiwanya.

Sudah terlalu jarang kanak-kanak sekarang punyai pengalaman menanam padi. Satu masa aku berdoa pada tuhan, paling kurang seorang daripada mereka ini akan menjadi penanam padi. Aku juga berdoa pada mereka semua, agar mereka bila besar nanti, memahami betapa derita jua mulianya kehidupan petani.

Saya menjemput para guru untuk mengadakan aktiviti sekolah di sini. Para pelajar akan diajar menanam padi, mandi tali air, memancing belut, mengutip siput. Juga dididik menyintai alam.

Tuesday, April 5, 2011

Surah Al Waqiah


Ketika aku berkunjung ke Taman Organik Tunjung, sering aku membayangkan cahaya Al Waqiah.


Profesor Dasteghib, dalam bukunya yang menakluk hati dan menumpahkan air mata, Tafsir Surah Al Waqiah, memperingatkan kepada para pembaca berkaitan hikmah surah Al Waqiah, ia dijadikan panduan bagi sesiapa yang mahu mengelakkan diri daripada papa kefakiran.


Sering kali para petani dinafikan baja atau subsidi oleh kerajaan kerana mainan politik, lantas Al Waqiah adalah senjata terkuat dalam menegakkan aqidah ekonomi.


Seringkali para petani menghadapi hasil tanaman yang tak menjadi. Serangan makhluq serangga dan haiwan keatas tanaman, tentu menguji keazaman dan kesabaran para petani. Lalu Al Waqiah adalah penawar paling mujarab.


Profesor Dasteghib mengajarku mengadap kiblat saat menabur benih, berselawat juga doa "Ya ALlah engkaulah yang menumbuhkan".


Amalan ini akan membuatkan kita lebih berakhlaq, lebih mengenal diri juga memahami hakikat kehidupan. Mana mungkin para petani yang mengadap kiblat saat menabur benih, boleh membelakangkan kiblat saat diuji mengaut keuntungan melalui jalan yang tidak diredaiNya.


Mana mungkin para petani yang mengucap sejahtera kepada Rasulullah dan keluarganya, disaat yang sama tidak meneladani perjuangan Rasulullah dan keluarga, dalam menentang penindasan pemerintah terhadap kaum dua'fa.


Mana mungkin para petani yang berdoa pada Tuhan Penumbuh Tanaman, tidak mempelajari sesempurna mungkin bagaimana proses pertumbuhan tanaman. Jika ia berdoa pada tuhan, maka ia juga perlu menghampiri sifat tuhan 'Kun Fayakun'.


Gambar diatas adalah pemandangan tapak padi SRI Organik di Tunjung. Bagiku ia adalah satu dari jutaan cahaya Al Waqiah.

Thursday, March 31, 2011

Bengkel Pertanian Asli


Pujian untuk Allah, bengkel pertanian asli (Go Green) anjuran CAP telah berjaya diadakan di Taman Organik Negeri Kelantan, Baruh Tunjung KB.


Sekitar 40 peserta hadir meliputi pelbagai umur, bangsa, agama dan jantina. Ada yang datang, umurnya macam dah tak larat memegang cok (cangkul) tapi tentunya pengalamannya lebih. Ada pula yang datang umurnya belasan tahun semacam belum sesuai menceburi bidang pertanian, namun pendedahan awal itu lebih baik.


Ada pula peserta yang datang daripada pelajar Universiti Malaysia Kelantan, kumpulan ini sangat bernasib baik, dapat menambah pengetahuan diluar kuliah formal, dalam bidang pertanian asli.


Ada pula peserta yang cantik halus, macam kurang serasi membincangkan soal air kencing dan najis lembu, namun terus khuyuk mendengar dan berbincang.


Ada perserta yang sudah puluhan tahun ratusan ekar terlibat dalam pertanian, ada pula yang sekadar baru dan hanya menanam 5-6 pokok pisang dibelakang rumah.


Bangsa? Ada India, ada Cina dan ada Melayu. Agama? Ada Hindu, ada Kristian dan ada Islam. Semuanya berada dibawah bumbung latihan pertanian asli di Baruh Tunjung.


Dan menariknya,En Subarow daripada CAP, dalam ucapannya menanyakan para peserta apakah hak kita untuk membunuh semut? Moga-moga peringatan ini menjadikan kita semua lebih berhati-hati dalam menyantuni makhluq yang lain, kerana bukankah kita wakil tuhan di muka bumi?

Monday, March 14, 2011

Bengkel KeArah Kehijauan


Sukacita dimaklumkan tim daripada Persatuan Penguna Pulau Pinang (CAP) bersama Sunnah Tani Sdn Bhd akan menganjurkan Bengkel Ke Arah Kehijauan pada Sabtu 19 Mac 2011, 9 pagi-2 petang di Taman Organik Tunjong Kota Bharu Kelantan. Semua peminat organik dijemput hadir.
Bengkel ini khusus mendidik para peserta kepentingan organik, teknik membuat baja organik dan juga membuat bahan penghalau serangga secara alami yang akan disampaikan oleh aktivis CAP.
Dalam bengkel berkenaan juga, saya akan berkongsi pengetahuan teknik tanaman padi organik SRI.
Bengkel adalah percuma. Bagi memudahkan pihak kami membuat persediaan program sila sahkan kehadiran dengan menghubungi saya, Salwati 017 926 5257.

Wednesday, March 9, 2011

Wahai Pak Tani Berbudilah Pada Tanah dan Makhluq

Januari lepas, saya terbaca dalam Sinar Harian, rungutan para petani di Bachok Kelantan, berkenaan Siput Gondang Emas (Sigomas).

Lalu saya berhubung dengan ADUN Jelawat, YB Abdul Aziz Kadir, bagi mengumpulkan para petani berkenaan.

Pagi jumaat, saya turun ke bendang bersama 20 Pak Tani. Saya berkongsi pengalaman bagaimana menguruskan Sigomas.

Apakah akhlak sepatutnya yang kita amalkan dalam menjalankan aktiviti pertanian. Tentunya berbudi pada tanah dan makhluq bukan melalui meracuni mereka atas kautan keuntungan semata.

Betul kita inginkan hasil, namun bukankah ada cara yang lebih berakhlak dalam kita berdepan dengan Sigomas.

Pertanian adalah ibadah, slogan kerajaan negeri Kelantan, adalah bermaksud kita mengibadahkan aktiviti pertanian yang kita ceburi. Wahai Pak Tani, berbudilah pada tanah dan makhluq.

CAP dan Expo Go Natural

Baru-baru ini saya bersama rakan-rakan dari Baruh Tunjung bersama mengikuti ekspo Go Natural anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Pengalaman tersebut menyedarkan saya tentang mereka-mereka yang memperjuangan kesihatan dan kehidupan yang lebih baik.

Ianya juga memperluaskan pengetahuan saya khususnya berkenaan usaha-usaha bagi penghijauan, keselamatan dan kesihatan di masa hadapan.

Menarik sekali apabila berkesempatan berbual dengan S.M Idris, personaliti tulang belakang CAP. Ia datang ke khemah pameran Sunnah Tani, yang khusus menjual beras organik, berbincang dan memberi nasihat selaku orang tua dan ilmuan, dan turut sama membeli beras organik.

Beliau memberikan nasihat dan dorongan supaya usaha penanaman dan pemasaran padi beras organik ini dapat ditingkatkan. Terima kasih saya buat S.M. Idris dan CAP atas penganjuran ekspo Go Natural.

Monday, March 7, 2011

Padi Tidak Perlu Tergenang Air


Ramai dikalangan penanam padi salah memahami, padi hanya boleh hidup dalam air bergenang.

Kebiasaan pesawah akan memastikan petak sawah digenangi air dengan memahami ianya baik untuk padi.

Sebetulnya, padi tidak memerlukan air yang tergenang. Bahkan makhluq yang berada didalam tanah sebenarnya kelemasan apabila tanah digenangi air.

Gas metana pula akan terbebas ke udara, apabila pancaran matahari menukarkan air menjadi wap, terutama bagi pengguna baja kimia. Gas metana ini tidak bagus untuk dihirup oleh pesawah juga makhluq yang lain.

Justeru, adalah kaedah yang lebih baik, bagi pesawah bagi memperbaiki sistem pengairan padi agar ianya hanya lembap, TIDAK tergenang air.

Bila pokok padi tidak tergenang air, cacing dan makhluq seni yang lain akan menjadi lebih aktif, dan membantu sistem pengudaraan tanah. Ini pastinya menyihatkan pokok padi.

Bukankah tuhan Al Latiff mengajar kita akan kehalusan dan ketelitian dalam memenuhi keperluan?

Rumah Parit Buat Kawan Bernama Siput Gondang Emas (Sigomas)

Ada satu kawan kita yang bernasib malang. Sering ia disalahkan oleh manusia akibat keberadaannya. Kehadirannya sering dijadikan alasan kenapa hasil padi merosot teruk.

Namanya Sang Siput Gondang Emas (Sigomas). Bahkan ada manusia yang sanggup mencipta bahan kimia bagi meracun kawan kita ini.

Dalam berkawan dengan Sigomas mengapa tidak kita terlebih dahulu bertanya kenapa ia memakan pucuk padi muda.

Satu petang aku bertanyakan Sigomas bagaimanakah aku boleh melayannya sebagai tetamu. Lalu dijawab oleh Sigomas, kau dipilih tuhan sebagai wakil tuhan dibumi yang kita sama berkongsi, lalu kau bertanggungjawab terhadap aku.

Lalu kutanya Sigomas, apa keperluanmu. Dijawab Sigomas, sediakan rumah dan makanan buat aku dan kaum keluargaku. Baiklah, aku siapkan kamu rumah parit sedalam paras lutut selebar 2-3' sekeling petak sawah. Makananmu adalah semua rumput disekeling rumahmu, Ok tak tanyaku pada Sigomas. Ku dengar ribuan Sigomas mengucap Alhamdulillah dalam bahasa sang siput.

Lorong Kerja Padi, Sikit Tapi Banyak.


Sering kita terlupa sesuatu dalam melaksanakan sesuatu yang lain. Kekadang ketamakan menguasai diri. Dalam mengejar keuntungan berganda, kita selalu gopoh nakkan semuanya cepat dan dapat hasil yang banyak.
Guru padiku Pak Aed, mengajarku bagaimana membuat sesuatu menurut kadar sebenar keupayaan diri dan membataskan diri daripada dimamah penyakit ketamakan.
Antara teknik yang lebih baik dalam menanam padi adalah menyediakan lorong kerja. Manfaatnya adalah bagi memudahkan laluan kerja bagi mencabut rumput, kedua adalah bagi membolehkan pokok padi itu lebih berkembang rimbun. Teknik ini membantu satu benih padi untuk beranak sehingga 120-700 anak pokok. Cara konvensional secara purata menghasilkan 30 anak pokok sahaja.
Lorong kerja lebarnya 2'. Manakala pokok padi ditanam dalam jarak 1' ,sebaris 4 pokok. Teknik ini lebih mendatangkan hasil yang lebih baik kerana teknik jarak dan ruang yang lebih tepat adalah lebih baik. Ya pandangan kasar merasakan ianya hanya dapat ditanam sikit, lalu bagaimana boleh menghasilkan keluaran yang lebih banyak.
Di Indonesia, teknik SRI yang sudahpun maju menghasilkan pokok padi berdiameter 8 kaki. Ini banyak dibantu apabila olahan tanah dan ruang yang lebih baik telahpun diaplikasikan.
Saya mendoakan para pembaca blog ini dapat mengajar para petani dikampung-kampung yang tidak ada kemudahan internet bagi meningkatkan hasil tanaman padi ini. Tulisan ini bukan untuk mereka yang inginkan kekayaan melalui penindasan memeras kaum tani yang lain.
Jika pembaca blog ada keupayaan, silalah hadir ke baruh Tunjung, Kota Bharu, Kelantan. Bawalah bersama para petani yang tertindas bersama. Disini saya sanggup mengajar anda secara percuma

Tuesday, March 1, 2011

Dibalik Daun Padi Ku Temui Tuhanku

Guru padiku sering berpesan kepadaku, akan akhlaq bersama makhluq. Walau ia mengajarku pelbagai ilmu bagi 'membunuh' binatang-binatang yang 'merosakkan' padi. Namun ilmu terpenting bagi ku bukanlah ilmu teknis, akhlaq petani itu lebih utama dari seribu satu kemahiran yang ku pelajari.


Satu petang, di baruh Tunjong, aku melihat seorang petani membancuh racun tikus. Ia petani bersebelahan, tetapi kenapa ia perlu membancuh racun di kawasan taman organik baruh Tunjung.


Apakah nasib tikus yang diracun sebegitu rupa. Bukankah ada cara yang lebih alami dan baik bagi mengurus tikus pemakan padi. Tuhan mencipta rantaian makanan, lalu mengapa tidak kita memahami rantaian makanan itu, agar kita dapat mengurus alam persekitaran kita dengan lebih baik.


Tikus menjadi makanan buat kucing, ular juga burung. Demikian juga serangga lain, jadi makanan buat labah-labah. Lalu berhati-hatilah wahai para petani dalam meracun makhluq lain. Jangan sampai kita terlebih membunuhnya, atau lebih sadis memperniagakan atas pembunuhan makhluq yang lain.


Demikian guru padiku mengajar akhlakku, moga para binatang mendoakan kesejahteraan pada kita sang manusia khususnya para petani yang suci hatinya. Demikian lah ku temui tuhan disebalik daun padi.

Krisis Makanan, Solusinya Tanam Padi dalam Tong Cat

Ya, mungkin semua dikalangan kita sudah sedia maklum, krisis makanan sedunia. Pemimpin-pemimpin negara dunia telah berbincang bagi menghadapinya.

Bengkel Pertanian yang ku ikuti bersama beberapa pakar padi dari universiti dan indonesia, menggambarkan dengan jelas bagaimanakah krisis itu nanti bakal menimpa. Ya menakutkan. Akibat kekurangan makanan, jenayah sosial meningkat, perang antara negara berlaku. Sama sahaja dengan hadis-hadis menjelangnya kiamat yang ku baca sejak di sekolah.

Lalu apakah langkah termampu kita menghadapinya. Aku cadangkan kepada pembaca blog, juga mereka yang hadir dalam pameran-pameran pertanian organik yang ku sertai, agar digalakkan masing-masing dikalangan kita menanam padi.


Cara nya mudah. Anda boleh menanam padi di dalam tong cat terpakai. Kaedahnya?

1. Bersihkan tong daripada kesan cat.

2. Masukkan campuran tanah dan baja kompos ke dalam tong.

3. Tanam anak padi

4. Siram sekali sekala, mengikut keperluan.

5. Dalam masa 120 hari, padi yang anda tanam sudah boleh dituai.

Bagi kediaman rumah teres, anda boleh dapatkan antara 20-100 tong cat/anak pokok padi untuk ditanam. Dan ianya cukup untuk anda sekeluarga.

Beri Beras 10kg Sebulan, Beri Benih Padi 100 gram Untuk Ditanam

Dalam Bajet Penyayang Kerajaan Negeri Kelantan 2011 , diluluskan Skim Al It’am. Skim ini adalah khusus diberikan kepada golongan miskin tegar. Beras sebanyak 10kg diberikan percuma kepada peserta terpilih setiap bulan. Sering kali saya membaca dalam sinar harian, pelaksanaan skim berkenaan. Diberikan oleh YB kepada para peserta dalam majlis pengagihan.

Harga 10kg beras antara RM20 – 30 sekampit. Bagi satu peserta kerajaan memperuntukkan sekitar RM200-300 setahun.

Teringat saya pada kisah cemuhan seorang perempuan terhadap khalifah Ali r.a.. Saat Ali berkunjung kerumah rakyatnya bertanya khabar, janda peperangan Siffin yang tinggal bersama anak-anaknya, mengeluh kesusahan hidup sejak kesyahidan suaminya dalam peperangan Siffin dalam mendokong perjuangan khalifah Ali. Bahkan ianya merungut bahawa Ali pun tidak menghiraukan mereka.

Lantas bersegera Ali bersama pembantunya memberikan gandum kepada mereka, bukan setakat itu, Ali menawarkan bantuan memasak atau menjaga anak-anak yatim berkenaan. Janda itu menyebut, wanita lebih sesuai menjaga anak-anaknya. Lalu Ali menyalakan api. Lantas mendekatkan wajah dan tangannya pada panasnya api, sebagai peringatan panasnya neraka, lantaran tanggungjawabnya sebagai pemerintah.

Tiba-tiba datang jiran si janda, lalu berteriak terkejut melihat Ali Sang Khalifah sedang memasak. Menyesal dan malu bukan kepalang mereka semua melihat akhlak khalifah yang dicintai rakyat mengotorkan diri bersama kesusahan rakyat.

Aku bangga melihat wakil rakyat menyampaikan bantuan beras percuma kepada orang miskin, namun aku lebih suka melihat setiap pemberian beras itu melambangkan dosa-dosa pemerintah terhadap kebajikan rakyat.

Apakah perasaan takut pada neraka tuhan ada bersama pemimpin disaat majlis pemberian beras skim al It’am. Atau ianya menjadi kebanggaan kerana ia majlis politik yang menampilkan sifat prihatin pemimpin lalu dicetak ribuan helaian didada akhbar ditatap ribuan pembaca pula.

Lalu ku fikirkan, kenapa tidak kerajaan mendidik rakyat untuk menanam sendiri padi dalam kaedah yang mudah dan murah. Skim Al It'am yang sedia bagus, dikembangkan dalam bentuk yang lebih bermakna .Apakah caranya?

Aku cadangkan pemerintah menggalakkan rakyat menanam padi dalam tong atau disudut tanah rumah kediaman mereka. Hanya dengan 20 tong cat yang telah digunapakai, puluhan biji benih padi, penjagaan yang minima, membolehkan keluarga miskin ini mendapat beras yang berkualiti dan mencukupi untuk setahun kehidupan mereka. 500 gram benih padi adalah alternatif tambahan kepada 10 kg beras.

Baja Subsidi Yang Tak Ku Dapat, Baja Kompos Ku Usahakan

Bagi masyarakat tani, keperluan baja bagi tanaman sangat mendesak. Tuntutan dalam memastikan tanaman yang diusahakan mengeluarkan hasil yang baik, menyebabkan masyarakat tani berusaha sedaya mungkin bagi mendapatkan baja yang berkualiti dan murah.

Namun sering kali masyarakat tani salah paham tentang baja. Dahulunya disaat dunia adalah sekitar kampung yang kecil. Masyarakat tani hidup bergantung pada sumber sekeliling yang ada. Mereka menggunakan najis binatang ternakan, abu daripada bahan bakaran juga sisa makanan dapur sebagai baja tanaman.

Kini, kesemua sumber itu kadang kala dilupakan. Promosi agresif daripada syarikat baja multinasional merasuk pemiliran kaum tani, sehingga baja berjenama terus menerus dibeli, kerana dilihat hasil jangka pendeknya sangat bagus.

Tambah malang, keperluan baja dijadikan alat oleh pemerintah dalam memancing undi. Kaum tani didiskriminasi. Mereka yang menerima baja, adalah mereka yang dipilih-pilih berdasarkan kecenderungan politik mereka.

Peranan pemerintah dalam membantu rakyat, bertukar menjadi memanipulasi rakyat. Rakyat ditekan dan diumpan dengan baja, sebagai tukaran sokongan politik.

Aku bercakap dengan salah seorang mangsa penafian baja subsidi kerajaan daripada Pasir Puteh. Marahnya pada kerajaan begitu meluap-luap. Lalu aku mengajak ia belajar untuk berdikari dan menjadi petani cerdik.

Ku ajar ia mengambil ranting-ranting kayu, dikumpulkan setempat. Kemudian ianya dilapis pula dengan dedaun dan rumput kering. Diatasnya ku ajar ia menabur najis-najis binatang ternak. Siram ia sekali-sekala, agar ianya lembap dan cepat mereput. Dan jangan lupa ditutup dengan kain khemah atau kain banner terpakai yang boleh dicabut di tepi-tepi jalan sebagai penutup baja kompos.

Nah, dalam masa 3 bulan sahaja, kamu sudah dapat baja kompos yang berkualiti setanding dengan baja subsidi, bahkan kalau betul tekniknya ianya jauh lebih baik.

Ku ajar juga dia dan serombongan petani tertindas itu, agar mengajar mereka yang senasib. Juga ku didik mereka agar jangan dipilih kerajaan yang menindas rakyat kaum tani.