Friday, July 17, 2009

Tangisan Buat Teoh Beng Hock

Kematian Teoh Beng Hock begitu menyayat hati saya. Kematiannya sangat misteri, dipenuhi pelbagai teori konspirasi dan pasti membakar setiap hati nurani manusia.

Namun sejauhmanakah kepekaan muslimah dalam menghadapi soal ini. Melihat video-video klip berkaitan, ternampak wajah YB Dr Halimah Ali, hadir dalam protes di Plaza Masalam. Cukupkah dengan kehadiran pimpinan semata.

Adakah kita hanya boleh bersikap tunggu dan lihat? Petaka sebesar mana yang kita mahukan agar hati kita terbakar marah pada kezaliman?

Saya ingin bertanyakan rakan-rakan muslimah dalam parti Islam. Adakah kita hanya prihatin pada bukan Islam menjelang saat pengundian? Berbondong-bondong meraikan dan menziarahi kaum tiong hua, siam dan India.

Adakah kita hanya mampu menghantar kad Gong Xi Fa Cai kepada para pengundi cina? Memberi hadiah limau kepada sasaran pengundi yang kita ada kepentingan? Sejak bila Islam mengajar kita membantu yang lain atas dasar kepentingan?

Saya menyeru kepada rakan-rakan muslimah untuk turut berkongsi kesedihan dengan kaum tiong hua yang terdekat dengan kita. Nyatakan kesedihan kita, nyatakan perlawanan kita terhadap sebarang kezaliman dan buktikan kita tidak berbual besar.

Muslimah juga harus menyusun usaha memantau peranan SPRM. Jangan biarkan anggota SPRM bekerja dengan cincau, apatah lagi menyalahgunakan kuasa mereka. Jangan hanya harap YB Salahuddin ( yang dilantik sebagai JK Khas SPRM) untuk berperanan. Kita juga harus memainkan peranan.

Kepada anggota-anggota Melayu SPRM, jangan anda bongkak dengan kemelayuan anda, jangan pula anda mengherdik aktivis-aktivis politik cina, jalankan tugas secara profesional. Keadilan Tuhan pasti akan terlaksana.
Buat Teoh Beng Hock, tangisan ku buat mu.

No comments: