Saturday, May 23, 2009

Pendekatan Iran Mencegah Jenayah Syariah


Adalah sesuatu mengecewakan melihat perangkaan jenayah syariah di Malaysia. Untuk mendapat statistik terkini, pihak saya telah mengemukakan soalan ini bagi mendapat jawapan bertulis daripada pejabat Perdana Menteri.


Ada perbezaan besar antara permasalahan wanita di Malaysia dan Iran. Di Iran kes zina, kes buang anak, ibu mengandung luar nikah dan kes 'haruan makan anak' hampir tiada. Berbeza perangkaannya di Malaysia. Yang begitu membimbangkan.


1. Iran melaksanakan polisi perkahwinan yang mudah. Melalui hukum kahwin mut'ah, pasangan hanya perlu mendaftar di pusat pendaftaran pernikahan. Kad akan dikeluarkan kepada pasangan tersebut. Permasalah couple tidak timbul.


2. Di Iran tidak timbul soal zina, kerana proses perkahwinan yang mudah. Juga tidak timbul operasi cegah maksiat yang menyerbu hotel-hotel. Langkah-langkah pencegahan maksiat lebih diutamakan oleh kerajaan Iran.


3. Di Iran petugas-petugas moral banyak dikalangan wanita, begitu juga hakim-hakim wanita juga ramai. Di Malaysia, semua ini masih belum ada!


4. Di Iran sistem pengajian kebangsaan (sekolah rendah hingga menengah) menghasilkan pelajar standard pengajian agama di universiti tempatan. Mereka memahami bacaan solat, ayat al quran. Di Malaysia, semua ini masih jauh lagi.


Saya cenderung mengatakan pendekatan Iran lebih komprehensif, berbanding pendekatan kita lebih reaktif terhadap sesuatu masalah.


Saya cadangkan ahli-ahli parlimen wanita Islam membuat kajian undang-undang syariah keluarga Islam di Iran, membuat dialog dan lawatan sambil belajar di Iran, agar pengalaman mereka dapat dipelajari dan disesuaikan dengan fikh ahlussunah wal jamaah disini.

Pencegah Maksiat Pengamal Maksiat


Walaupun kita sering baca dalam metro berkenaan segelintir agensi pencegah maksiat yang turut tumpang sekaki dalam kegiatan maksiat, namun pengalaman saya mengendalikan kes-kes wanita di Kelantan, membuatkan saya mula mencium gejala-gejala penyalahgunaan kuasa oleh lelaki-lelaki yang bertugas sebagai pencegah maksiat, rupanya berlaku di sekeliling saya.


Kebanyakan mereka ini mempunyai akhlak yang buruk, tapi pandai menggunakan ayat-ayat yang memikat perempuan, sering berlindung dengan perkataan "tolong". Mereka juga punyai hubungan yang baik dengan golongan 'atasan'. Ada yang berselindung dengan kopiah dan ayat-ayat alquran yang selalu terpacul dari mulut.


Justeru saya ingin mengajak aktivis-aktivis wanita untuk tampil kehadapan. Kita perlu kehadapan dalam menyelesaikan masalah para wanita. Jangan lepas tangan, kaum lelaki membantu masalah kaum wanita, kerana ianya banyak mengundang masalah yang lain.

Bagaimana soalan parlimen dibuat


Apakah komen anda apabila melihat ahli parlimen berbahas. Mungkin anda rasa kagum, hormat atau mungkin juga anda merasa seseorang YB ni bodoh, berlagak, cakap tak serupa bikin, temberang dsb.


Setiap ahli parlimen dihadkan menyediakan 15 soalan bagi setiap sesi perbahasan. 10 untuk soalan jawapan lisan dan 5 untuk soalan jawapan bertulis. Untuk rujukan anda, kesemua soalan parlimen dipaparkan di laman web parlimen http://www.parlimen.gov.my/op.php dan rujukan soal jawab boleh disemak di http://www.parlimen.gov.my/hansard.php. Setiap soalan tidak boleh melebihi 40 patah perkataan.


Ahli parlimen yang bagus akan merancang penyediaan soalan secara teliti:

1. Latar politik, ekonomi dan sosial akan diperhalusi sebelum draf soalan dibuat.

2. Strategi dirangka dalam membuat soalan.

3. Input isu dikumpul melalui sumber penyelidikan

4. Draf soalan dibuat

5. Perbahasan draf soalan bersama tim penyelidik.

6. Memuktamadkan soalan untuk dihantar ke sekretariat parlimen.

7. Persediaan bahan-bahan semasa bagi soalan yang tersenarai dalam jadual perbahasan di parlimen.

8. Review prestasi perbahasan.


Dalam tulisan akan datang, saya akan perincikan pengalaman membuat soalan parlimen.

Mengapa saya berundur setapak daripada Nisa


Dalam mesyuarat Dewan Muslimat PAS Kelantan (DMPNK), saya telah mencadangkan orang lain menerajui Nisa Kelantan. DMPNK telah bersetuju sebulat suara, dan dalam masa yang sama melantik saya sebagai timbalan pengarah Nisa Kelantan.


Apakah alasan saya:

1. Saya ingin menampilkan kepimpinan masa depan kepada masyarakat. Mana-mana individu yang berpotensi, punyai kelebihan perlu dibantu ditonjolkan bagi memimpin masyarakat. Politiking menyekat mereka yang 'lebih dari kita' perlu dibasmi dalam gerakan Islam. Bak kata Imam Jaafar r.a. "Pengikut ku adalah yang terbaik dikalangan kamu". Jangan kita ibarat kucing yang begitu liat ditarik ekor ditikar mengkuang. Bergayut pada jawatan.


2.Saya ingin menerokai belahan sosial yang jarang dimasuki oleh aktivis wanita Islam. Interaksi dengan aktivis gereja, kuil dan tokong belum lagi erat. Saya terkenang kejadian patung mary pecah di gereja Fatimah Kota Bharu, yang tidak begitu dipeduli. Walhal pemerintahan Tok Guru mendidik kita bagaimana dalam pemerintahannya,sejumlah besar tokong-tokong mega dibina di negeri serambi Mekah.


Interaksi dengan persatuan masyarakat dan persatuan tani juga masih belum mengcukupi. Ribuan persatuan begini memerlukan aktivis Islam bagi mendekatkan mereka kepada kasih sayang tuhan. Imam Baqir r.a. memberi teladan kepada kita projek pertanian yang membela golongan mustadhafin. Tanah Fadak yang subur, milik keluarga nabi menonjolkan aspek kekuatan industri asas tani, sebagai pendokong perjuangan.


3. Kenali diri, gilap potensi sebenar. Sejarah para nabi, menonjolkan peranan-peranan berbeza sang nabi. Ada yang menjadi raja, ada yang menjadi ketua pelarian, ada yang jadi panglima perang, ada pula jadi pendeta, pengembara, penternak, peniaga, menteri kewangan, peratap tangis, banduan dan penafsir mimpi.


Tahun ke 15 dalam gerakan Islam membolehkan saya meneliti kembali apakah keupayaan dan keperluan sebenar yang perlu saya mainkan.

Pusat Perlindungan Ibu Mengandung Anak Luar Nikah


Saya sekarang bersama satu pasukan aktivis wanita, sedang menyiapkan kertas cadangan penubuhan pusat perlindungan dan pemulihan wanita mengandung anak luar nikah, untuk kerajaan negeri Kelantan. Kami mempelajari modul JKM, NGO dan daripada negara-negara Islam yang lain. Antara isu yang timbul adalah:

1. Bagaimana mengendalikan kes ulangan.

2. Bagaimana menangani kes eksploitasi mangsa oleh pegawai agensi penguatkuasa syariah.

3. Bagaimana memperkuatkan undang-undang syariah keluarga Islam.


Tapak cadangan telah dikenalpasti, terletak di Kg Permatang Pusu, Melor, Kelantan. Disini saya mengajak mana-mana individu, aktivis, sarjana dan korporat yang ingin bersama menyumbang idea dalam usaha ini.

Monday, May 4, 2009

Panduan bagi ibu yang mengandung anak luar nikah


Setelah mengendalikan kes-kes kecil dan menyediakan sedikit bantuan buat seorang wanita mengandung anak luar nikah ini. Di sini ingin saya berkongsi dengan semua pembaca sekelian apa yang seharusnya dilakukan sekiranya anda terlibat dalam kes seperti ini.

Sekiranya anda terlibat dengan perzinaan :
Pertama : Anda sepatutnya bertaubat daripada melakukan perkara haram itu lagi di masa akan datang.


Kedua : Mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan perkhidmatan untuk anda. Anda perlu mendaftarkan diri di Pejabat JKM terdekat . Pihak JKM akan menguruskan anda sebaik mungkin. Kes anda akan dikendalikan sebagai kes rogol.


Bantuan atau perkhidmatan melalui JKM ialah :

~ Bagi Ibu - Pusat Jagaan Sinar Kasih, Batu Gajah , Perak : Ibu akan dijaga disini sehingga selamat melahirkan bayi.

~ Bagi bayi luar nikah - akan dihantar ke Rumah kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang.


Ketiga : Anda berhak mendapatkan rawatan ibu mengandung di Klinik kesihatan kerajaan. Anda perlu membuka kad ibu mengandung (kad merah) bagi membolehkan anda melahirkan anak dengan selamat di hospital kerajaan. Kakitangan hospital bukanlah hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap dosa dan kesalahan yang telah anda lakukan. Mereka diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat!


Keempat: Sekiranya anda bernasib baik - terdapat orang/ keluarga yang sanggup untuk mengambil bayi anda sebagai anak angkat , anda mempunyai tempat pelindungan yang selamat sehingga melahirkan bayi. Anda seharusnya merasa bersyukur teramat sangat kepada Allah! .

Untuk menyerahkan bayi anda kepada keluarga angkat anda perlu mengisi Borang Akuan Berkanun yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.






Sunday, May 3, 2009

Kes Anak Dilarikan Bekas Suami


Semalam saya mengendalikan kes seorang wanita yang anaknya dilarikan bekas suami. Selain daripada liputan media sinar harian dan harakah , saya bersama beliau ke balai polis bagi membuat follow up laporan beliau sebelum ini, kemudian mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan peguam, dan merujuk kes beliau di pejabat kadi.


Berikut adalah apa yang saya ingin kongsi dengan pembaca:


1. Pihak polis masih belum mencapai standard memaklumkan status siasatan yang cepat kepada pengadu, menyebabkan para pengadu menunggu-nunggu dengan penuh harapan.


2. Segelintir pegawai di pejabat kadi masih bersifat mengeksploitasi mangsa wanita, dengan elemen-elemen salah guna kuasa yang halus, licik dan berunsur serangan seksual. Ada juga memberikan kenyataan yang mengelirukan, mengundang elemen rasuah melalui bayaran-bayaran yang tiada dalam prosidur dengan alasan 'tolong'.


3. Masih ramai peguam-peguam yang berlatarbelakangkan aktivis gerakan Islam yang sekadar cari makan melalui kerjaya, tanpa mengambil inisiatif sebagai peguam hero rakyat. Peguam hero rakyat ini lebih terkenal dikalangan peguam DAP.

Saturday, May 2, 2009

Mengendalikan Kes Ibu Mengandung Anak Luar Nikah


Buat makluman semua, Jabatan Kebajkan MAsyarakat (JKM) ada menyediakan pusat perlindungan wanita hamil anak luar nikah di Perak. Manakala pusat perlindungan anak luar nikah pula berada di Kuantan. Pengalaman saya mengendalikan kes ibu mengandung anak luar nikah, melalui Nisa Resources (NR) :

1. Masih banyak hospital/ klinik kerajaan enggan menerima kes ibu mengandung anak luar nikah. Pihak saya telah pun membuat aduan, terhadap keengganan beberapa hospital dan klinik menerima kes begini.

2. Masih ramai ibu-ibu yang mengandung anak luar nikah tidak mengetahui pihak-pihak yang boleh membantu mereka menyelesaikan permasalahan mereka.

3. Kebanyakan kes-kes sosial ini akibat daripada institusi keluarga yang rapuh, ibu -bapa mereka bercerai.

4. Sebagai aktivis Islam, perlu kita memandang mereka yang terlibat dengan pandangan yang belas dan tanggungjawab. Biarkan hakim yang menjatuhkan hukuman. Biarkan pencegah maksiat yang menangkap. Biarkan pendakwah mendakwahi mereka. Sebagai aktivis, kita perlu aktif mengendalikan hal-hal sebegini. Dan sebagai wanita jangan kita biarkan kaum kita terus menjadi mangsa buaya-buaya yang berkeliaran diluar sana.


Saya berpandangan, di masa hadapan aktivis nisa' mahupun dewan muslimat PAS, perlu mempunyai pusat perlindungan masing-masing. Adalah tidak cukup kita sekadar mempolitikan permasalahan sosial, tanpa aksi yang nyata.

Sekolah Agama di Kepung 300 tentera



Dalam perjalanan balik dari Pattani, suami sempat berkunjung sebuah pondok yang diarah ditutup. Sekolah agama ini menyediakan kemudahan pembelajaran bagi kanak-kanak miskin. Pada waktu kejadian, seramai 300 tentera mengepung sekolah agama ini. Batang kelapa yang dipanah petir, didakwa sebagai tempat latihan bom. Suami dan anak pemilik sekolah agama ini mati ditembak. Keratan akhbar menunjukkan anak beliau ditembak atas sejadah sembahyang.

Bedilan di Masjid Krisek



Kunjungan suami ke Pattani baru-baru ini membolehkan saya mendengar kisah-kisah pergolakan di wilayah Pattani. Beliau yang berkunjung ke sana berkesempatan melawat masjid krisek yang masih kedapatan kesan-kesan tembakan. Tentera kerajaan Thai masih mengawal ketat perkarangan masjid. Pengunjung masjid, disoal oleh tentera yang berkawal. Rakaman gambar juga dilarang. Sebahagian kesan tembakan ditutupi dengan simen puteh.