Tuesday, June 30, 2009

Bincang Kaunselor JKM


Hari ini saya membuat perbincangan dengan kaunselor JKM isu-isu melibatkan keganasan rumahtangga dan bagaimana menangani kes-kes berkenaan. Saya membawa buku-buku terbitan Jabatan Pembangunan Wanita berkaitan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 disamping membawa pengalaman mengendalikan kes-kes wanita untuk diberi bimbingan dan nasihat oleh JKM.


Saya bertanyakan kepada kaunselor JKM, berapakah jumlah kes kaunseling yang dikendalikan oleh beliau. Beliau menyebut tiada, sepanjang beliau berkhidmat.


Berikut adalah cadangan saya kepada kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.


1. Kaunselor JKM perlu dipilih daripada individu yang mempunyai jiwa untuk membaiki masyarakat, bukannya bekerja kerana gaji.


2. Kaunselor JKM perlu melibatkan diri dengan sasaran yang bermasalah. Melibatkan diri dengan masyarakat, dapatkan maklumat masalah-masalah yang dihadapi oleh anggota keluarga.


Saya percaya dengan melakukan ini sahaja, kaunselor-kaunselor JKM bukat setakat berjaya mengumpul kes-kes kaunseling, bahkan yang lebih utama membantu mengurangkan masalah sosial

Sunday, June 28, 2009

Bagaimana menampung kos rumah perlindungan



Bagi menampung perbelanjaan mengendalikan wanita-wanita yang memerlukan perlindungan, saya wewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan. Ada yang berniaga baju t shirt Nisa, ada yang menjadi pengasuh, ada juga yang menjual nasi lemak, berkhidmat sebagai sukarelawan di pejabat dan ada pula yang mengajar quran.


Kalau di Raudatus Sakinah, klien perlu membayar RM250 sebulan manakala di JKM pula tentunya percuma kerana ia ditanggung kerajaan.




Kita perlu memikirkan cara praktikal kos-kos dapat ditampung melalui pekerjaan/perniagaan kepada individu tersebut.




Justeru kebersamaan, sifat berdikari, keupayaan untuk melangsungkan kehidupan dengan baik, tolong menolong akan dibina sepanjang mereka bersama kita.

Tuesday, June 23, 2009

Rumah Perlindungan Wanita, Kahwin Misyar dan Mut'ah


Semalam saya bersama JK Rumah Perlindungan seramai 5 orang, meneruskan perbincangan kertas cadangan rumah perlindungan wanita negeri Kelantan. Kertas ini akan diangkat kepada exco pembangunan wanita, keluarga dan kesihatan. Mesyuarat tersebut dibuat di rumah saya, yang saya jadikan pusat perlindungan wanita dengan kerjasama JKM dan Pusat Pembangunan Wanita, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini membantu mesyuarat tersebut dibuat dalam suasana aktivisme melindungi kaum wanita.


Topik perbincangan kami tidak terhad kepada modul, bajet dan ruang kerjasama dengan para sarjana, namun juga dibincangkan isu-isu kontroversi seperti perkahwinan misyar dan mut'ah. Perkahwinan misyar ini pernah disebut oleh Sheikhul Azhar dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Persoalan ini kami putuskan untuk dilanjutkan bersama dengan TGNA sendiri.


Kami juga membincangkan bagaimanakah Kelantan boleh mewujudkan rumah perlindungan contoh berbanding yang dibuat oleh NGO seperti KOWAJA, Raudatus Sakinah, JKM dsb.



Justeru rumah perlindungan wanita Kelantan harus membuatkan para pendosa tidak putus harapannya kepada kerahmatan tuhan, dan sesalan taubat itu pula datang daripada suasana yang halus, tenang dan timbul dari hati para pendosa itu sendiri tanpa elemen paksaan, kurungan dan kawalan yang melebih.

Dan Ali r.a. pernah menyebut " Ahli fiqh yang baik, membuatkan seseorang itu tidak merasa putus asa dengan rahmat tuhan, dan tidak pula merasa dipaksa untuk bertaubat."


Sunday, June 21, 2009

NISA Bersama Remaja Wanita Berpotensi


Ada rakan-rakan saya dalam Nisa yang mengkritik sikap saya melayan golongan-golongan yang dilihat kurang berakhlak dan bermasalah. Ada pula yang memandang saya serong kerana dilihat rapat dengan golongan sebegini. Memang saya akui saya berkecenderungan untuk lebih rapat dengan mereka yang dipandang sedikit serong oleh sebahagian ahli-ahli nisa. Mereka yang cakap lepas, berpakaian modern dan perangai sedikit hu ha, ini menjadi kawan-kawan saya. Dan saya sangat tidak menyukai lagak-lagak individu yang ingin dilihat rapat dengan tokoh-tokoh ditempat terbuka. Ya betul, kita mesti rapat dengan pimpinan atasan sebagai keperluan kerja dan bimbingan, dan inilah ujian kepada kita dalam berpolitik, yang tidak saya nafikan faktor popular bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh dalam parti politik.


Saya lebih mengutamakan kepada potensi individu tersebut berbanding masalah yang dipikul. Saya senantiasa cuba mencungkil apakah potensi terbaik adik-adik Nisa yang mendekati saya, peranan saya adalah memberi nasihat dan mendorong mereka mengeluarkan apakah potensi terbaik dalam diri mereka.


Akibat daripada pendekatan saya ini, tidak sedikit mereka yang memandang rendah kepada saya. Dan saya sedar perkara ini, namun saya tetap meyakini setiap panggilan telefon, perbualan santai dengan individu-individu ini adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Bukan setakat itu sahaja, bahkan individu yang dipandang sampah oleh masyarakat, dipulau oleh keluarga mereka, kini menjadi sebahagian daripada anggota keluarga saya. Mereka ini saya bawa ke JKM, saya bantu mereka di Jabatan Pembangunan Wanita di Pengkalan Chepa, bagi membolehkan mereka berdikari, bina keyakinan diri, dan terus memandang kehadapan. Mereka ini saya yakinkan akan kasih sayang tuhan, biarpun sejarah hidup mereka hitam, namun jangan dilupakan, tuhan itu adil.

Sister In Islam dan PAS


Adalah sesuatu yang mengejutkan apabila muktamar PAS baru-baru ini boleh meluluskan usul berkenaan Sister In Islam tanpa bahas. Lagi-lagi usul ini dibawa oleh muslimat PAS Shah Alam, bukannya muslimat Gua Musang atau Kuala Krai, Kelantan. Muslimat bandar yang terdedah dengan pelbagai keragaman fahaman dan semestinya lebih terpelajar dan punyai tahap pendidikan yang tinggi.


Saya berpandangan Sister In Islam mempunyai banyak manfaatnya kepada wanita Islam di Malaysia, walaupun ada sebahagian tindakannya kontroversi. Usaha SIS dalam memperkasa hak-hak wanita melalui seminar, cadangan draf undang-undang berkaitan wanita dan one stop crisis centre di hospital-hospital adalah sangat signifikan.


Saya dalam mengendalikan kes-kes wanita di Kelantan, juga kerap menelefon SIS sebagai tempat rujukan nasihat.


Dan saya berpandangan usul tersebut terlalu keras dan tidak sesuai diluluskan dalam muktamar PAS. Elemen kontroversi dalam SIS boleh dikendalikan dengan cara perbincangan dan dialog, bukan dalam bentuk desakan menyiasat dan mengharamkan SIS. Slogan PAS for ALL harus menggambarkan kesediaan PAS meraikan kepelbagaian pandangan dan pendekatan dalam masyarakat.

Bersama Dr Munawar, Universiti Tehran


Hujung minggu lepas saya menerima tetamu daripada Universiti Tehran. Pada kesempatan itu, saya sempat menimba ilmu dan pengalaman beliau sebagai sarjana. Selain daripada menyampaikan ceramah dan dialog bersama masyarakat setempat, saya sempat membawa beliau melawat sekitar Kota Bharu. Saya juga membantu beliau mengadakan beberapa temuramah dengan masyarakat setempat.


Berikut adalah beberapa intipati ucapan beliau dalam majlis sempena sambutan kelahiran Fatimah Az Zahra:

1. Siapakah wanita teladan dalam kehidupan kita? Individu berkenaan mestilah individu terbaik yang boleh merapatkan hubungan kita dengan Allah.

2. Kenapakah Fatimah digelar Ummu Abiha, ibu kepada ayahnya ? Ini kerana peranan Fatimah dalam menjaga dan membela Rasulullah.

3. Apakah mesej Fatimah dalam merahsiakan kuburnya?

4. Kenapakah nabi menyebut sesiapa yang menyakiti Fatimah adalah juga menyakiti ku?


Beliau juga memuji pentadbiran Tok Guru di Kelantan dan sikap rakyat kelantan yang peramah dan pemurah.

Sunday, June 14, 2009

Bagaimana Dalam PAS, Pemikiran Saya Berkembang




Tahap Pertama- Sejak mulai mengenali jemaah PAS di kampus Johor, saya sangat menghormati pimpinan (dalam maksud, saya hanya melihat hanya yang indah dalam dalam PAS dan pimpinannya), bermula daripada penghormatan yang diberikan oleh kepada amir kampus hinggalah pimpinan PAS yang dijemput dalam program tamrin. Komen saya, ini adalah lumrah kehidupan, baik dalam awal alam persekolahan, awal perkahwinan dsb.






Permulaan bergelumang sebagai aktivis sepenuh masa PAS- dengan elaun RM150 sebulan, saya bekerja dengan penuh semangat dan merasakan diri bertuah dalam berkhidmat kepada pimpinan dan parti. Komen saya, ini adalah lumrah bagi mereka yang baru berjumpa dengan kerja yang secocok dengan jiwanya.



Tahap kedua - setelah 9-10 tahun bergerak dalam PAS, saya mulai terdedah dengan kepelbagaian ragam dan perangai dalam parti. Ada yang melawan pimpinan. Ada pimpinan yang menggunakan kedudukan bagi memenuhi agenda peribadi. Ada ahli yang lebih cerdik daripada pimpinan. Ada pimpinan yang terus menerus memberi inspirasi kepada ahli. ada pimpinan yang semakin didekati dan dikenali, semakin kurang hormat kita kepada beliau. Ada pemimpin yang kita terasa keikhlasan, ada pula pemimpin yang kita curiga niat dan maksudnya. Pengalaman ini saya perolehi melalui pengalaman sebagai SU Kerja DUN, SU Muslimat DUN, AJK Muslimat Kawasan, Su Muslimat kawasan, AJK Dewan Muslimat Negeri dan Juga Pengarah Nisa negeri Kelantan. Pengalaman ini juga saya perolehi daripada pengalaman bekerja dengan kerajaan negeri di urusetia penerangan dan urusetia wanita. Komen saya, ini adalah permulaan saya mengenali apa sebenarnya yang dinamakan gerakan Islam.



Tahap kedua ini saya melihat banyak sahabat yang diistilahkan 'tercicir' dalam gerakan Islam. Sebenarnya istilah tercicir, kurang saya setuju, yang lebih tepat "membuat pilihan'. Ada yang selepas kampus masuk MSK ( markaz siswazah kelantan), ada pula yang cuba melalui usrah alumni, ada pula yang pergi dengar kuliah Tok Guru, ada pula yang pergi dengar ceramah, ada pula yang membantu PAS bila masa 'perang' pilihan raya. Ada pula yang tidak tahan dengan politiking dalam parti terus cabut.



Dulu saya pernah terpikir yang terbaik bagi seorang muslimah itu adalah bekerja langsung dengan jemaah Islam, kini saya tidak lagi berfikiran begitu. Fikiran saya dahulu terlalu sempit!Kini saya berfikiran, kenalilah potensi terbaik diri, pastikan apakah keutamaan perjuangan Islam, letakkan diri anda ditempat yang tepat, usahakan menjadi yang terbaik, tawakkal kepada Allah.



Dulu saya lebih menghormati kawan-kawan yang berkhidmat dan menyumbang langsung kepada parti. Kini saya tidak lagi berfikiran begitu. Kini saya berfikiran, saya lebih menghormati mereka yang taat kepada tuhan, walau dimana ia berada, jawatan apapun yang dipegang. Bukan ahli pas yang memelihara kambing menurut syariat, lebih saya hormati daripada pimpinan PAS yang menggunakan kuasa bagi memenuhi kepentingan diri, manakala tentulah saya lebih menghormati pimpinan PAS yang diuji dan melepasi ujian sebagai pimpinan.

Saturday, June 13, 2009

Kerajaan PR vs Kerajaan Perpaduan


Saya baru balik daripada bertugas dalam pilihanraya kecil Manek Urai. Mungkin saya akan menyambung tugas dalam tempoh 2-3 hari lagi. Kesan polemik idea kerajaan perpaduan dalam gerakerja pilihanraya manek urai ada kesannya, terutamanya dalam pendekatan berkempen dan jemputan penceramah-penceramah .


Kesan kepada pengundi pula, pengundi PAS di Manek Urai akan tetap terus menyokong padu kerajaan Pakatan Rakyat yang diputuskan dalam muktamar di Ipoh dan terus dipertegaskan oleh TGNA. Bagi pengundi atas pagar ( condong bulan dan ewek dacing ) sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh polemik ini.


Tulisan Dr Asri Zainal Abidin, "Kerajaan perpaduan:Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti" Utusan Malayia 14Jun09, pula tidak kena pada tempatnya. Beliau menukil hadith "Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan" Berpegang pada prinsip perjuangan kadang-kadang boleh ditafsir sebagai 'keras kepala dalam perbalahan'.


Beliau juga menyebut kisah perlawanan Muawiyyah dan Hassan serta pertempuran Ali dan Aisyah. Ya begitu mudah menyalahkan kepada tokoh fiktif Abdullah bin Saba, dan begitu sukar memahami latar perlawanan Muawiyah/Hassan dan Ali/Aisyah? Membaca tulisan Dr Asri, jika tidak berhati-hati boleh membuatkan para pembaca membuat kesimpulan yang mengelirukan, dalam konteks polemik Kerajaan PR vs Kerajaan Perpaduan. Pendokong kerajaan PR mempunyai latar perlawanan dengan UMNO hingga membolehkan kemenangan pada PRU2008, manakala pendokong kerajaan Perpaduan mempunyai latar perlawanan kalah dengan UMNO .



Dan Dr Asri berbangga dengan tahun perpaduan saat penyerahan jawatan khalifah daripada Hassan kepada Muawiyyah, ini kerana individu sebaik Hassan sudah tidak sanggup menghadapi kelicikan Muawiyyah dalam membuat apa sahaja asal kuasa berada ditangannya. Padahal siapakah Muawiyyah berbanding Hassan yang digelar oleh Rasulullah sebagai ketua pemuda syurga. Sejarah mencatitkan tahun perpaduan adalah tahun bermulanya pembunuhan besar-besaran ahli keluarga nabi dan para pendokongnya. Dan idea kerajaan perpaduan membuka bibit pertembungan terbuka antara kelompok parti!


Manakala pengerusi perhubungan negeri Kelantan, Dato' Mustapha pula mengkritik golongan yang menolak idea kerajaan perpaduan dan puak yang mahu mempertahankan dun Manek Urai hingga titisan darah terakhir.


Taktik ini juga digunapakai oleh pemimpin Thai yang kuat menyuarakan perdamaian. Antara kerja terawal Thaksin semasa menjadi Perdana Menteri adalah menggugurkan ratusan ribu burung merpati kertas dari udara ke Selatan Thai menyeru perdamaian. Begitu juga taktik Abhisit, mohon bantuan Malaysia untuk kerja-kerja keamanan.


Saya meyakini kerajaan PR (TGNA) dan kerajaan Perpaduan (TGHH) adalah pilihan dan ijtihad pimpinan. Ahli PAS juga boleh sahaja menyokong mana-mana daripada idea tersebut, berdasarkan kefahaman dan kebijaksanaan masing-masing.


Namun pandangan politik saya lebih cenderung menyokong kerajaan PR. Saya telah meneliti bagaimana kepimpinan di Terengganu yang hanya boleh bertahan sepenggal (1999-2004), kalah disaat negeri-negeri lain menang (PRU12) dan peristiwa-peristiwa yang membuatkan saya memikirkan adakah ini standard kepimpinan parti Islam? saya mengetahui anak siapakah yang dianggap hero kerana merampas kad pengenalan semasa PRU12, padahal kami di Kelantan, Kedah, Selangor memberi tumpuan kepada gerak kerja bantahan dan pendaftaran pemilih. Saya juga memandang sedih kejadian melempar batu kearah bas-bas pada hari mengundi di Terengganu. dan banyak lagi peristiwa pelik yang saya rasa ianya tidak sepatutnya dibuat oleh aktivis Islam.


Justeru saya meyakini kerajaan Pakatan Rakyat dari segi teori dan praktikal adalah jauh lebih baik daripada kerajaan perpaduan. Wallahualam.

Thursday, June 11, 2009

Teka Teki- 5 yang tidak berbapa?


Membaca buku Keluarga Rasulullah, menemukan saya satu teka-teki yang menarik. Teka-teki ini juga disebut riang oleh anak sulung saya , seusai membaca buku setebal 1.5 inci itu. Buku tersebut memperihalkan kisah keluarga dan cucu cicit nabi bermula daripada Ali, Hassan, Hussein, Ali Zainal Abidin, Muhammad Al Baqir, Jaafar As Shadiq, Musa Al Kadzim, Ali Ridha, Muhammad Al Jawad, Ali Alhadi, Hassan Askari dan Muhammad Al Mahdi.


Dalam kisah soal jawab pendeta kristian dangan Ali, beliau ditanya tentang apakah 5 yang tidak berbapa? Dijawap cemerlang oleh Ali :


1. Adam

2. Hawa

3. Isa

4. Ular Musa

5. Kambing Ibrahim