Wednesday, December 31, 2008

Main Bowling bersama adik nisa Gua Musang




Sebelum bertugas di pilihan raya kecil Terengganu, saya sempat bermain bowling di KB Mall bersama Wan, Maznah, Aini dan suami. Kami terpaksa menunggu hampir 2 jam sebelum tiba giliran. Bayaran untuk 2 game bagi lima pemain RM55. Adik-adik Nisa ini memberi peluang kepada saya untuk berpeluh dan aktif, dicelah kesibukan aktiviti jemaah. Saya berpandangan, kehidupan sebagai aktivis muslimah perlu dimbangi dengan aktiviti yang menyeronokkan. Kerana Tuhan yang mencipta jiwa perjuangan adalah juga tuhan yang mencipta gusi yang ketawa.

Boikot KFC


Kalau tidak silap saya KFC adalah antara ratusan produk yang tersenarai dalam kempen boikot oleh aktivis Islam. Namun pada 25 Disember lepas, meraikan adik-adik nisa ( Wan, Maznah dan Aini) yang menjadi tetamu saya, kami menjilat jari di KFC KB Mall. KFC adalah merupakan produk halal yang diiktiraf oleh JAKIM. KFC juga merupakan perniagaan yang dibenarkan beroperasi oleh kerajaan PAS Kelantan. KFC juga merupakan antara pilihan saya untuk makan bersama adik-adik nisa. Selain KFC, KL Fried Chicken dan Eddy Fried Chicken juga menyediakan hidangan yang tidak kurang sedapnya. Menghadapi isu boikot KFC, saya membuat pilihan untuk terus masuk KFC , mempertingkatkan belian di KL /Eddy Fried chicken, menyokong kempen boikot secara jangka panjang. Adakah saya berdosa makan di KFC ? Soalan yang sama boleh ditujukan kepada para pimpinan gerakan Islam yang berkuasa membenarkan cawangan KFC terus tumboh di setiap bandar di Kelantan. Agama orang bawah adalah mengikut agama pemimpin.


Kenali Pemilik Selipar Happy Si Miskin


Kanak-kanak perempuan berbaju biru yang tersenyum itu adalah pemilik selipar happy si miskin. Beliau tersenyum happy semasa saya ambil gambar. Saya paham bagi kanak-kanak seperti beliau mengadap lensa/flash kamera adalah satu kegembiraan, mungkin dalam hidup beliau kesempatan itu hanya beberapa kali cuma. Senyum beliau merupakan sedekah termampu beliau kepada saya. Bandingkan senyum 'orang-orang politik' ketika bergambar semasa memberi sumbangan kepada fakir miskin dihadapan wartawan. Petang ini bergambar bersama keperitan orang miskin, esok hari berkejar ke gerai akhbar, tengok dah masuk berita atau tidak/ mengulas kenapa gambar beliau tidak warna, kenapa gambar beliau kecil sangat. Persoalan orang miskin ditutupi oleh kepentingan politik. Dalam kesempitan mengambil kesempatan.


Saya berpandangan adalah wajar bagi ahli-ahli politik mengimbangi kepentingan memaparkan kerja-kerja sumbangan fakir miskin dalam media dengan pelan pemulihan ekonomi untuk golongan miskin. Dan bagi rakyat pula haruslah berani dan tidak teragak-agak memperkasakan hak-hak mereka. Jangan biarkan orang politik mempergunakan keperitan hidup anda untuk kepentingan politik mereka semata.

Istana Sulaiman a.s.dan Gubuk Si Miskin


Gambar ini merupakan rumah pemilik selipar happy si miskin, di Rantau Panjang. Bayangkan pula dengan kebesaran dan keindahan Istana Raja Sulaiman a.s. Tukang istana Sulaiman a.s. bukan hanya terdiri daripada pakar-pakar pembinaan dikalangan manusia, malahan para jin yang mempunyai kekuatan supernatural.
Rumah yang saya ziarahi ini tidak secantik istana Sulaiman as yang lantainya, menyebabkan putri Balkis terpukau menyinsing kain, Gubuk si miskin ini saya naiki dengan kebimbangan lantai itu akan runtuh bila-bila masa.
Saya memikirkan bagaimanakah rakyat dibawah pemerintahan empayar Sulaiman a.s., adakah tidak ada rumah seumpama ini dizaman pemerintahan Sulaiman a.s. dan saya tidak menemukan jawapan yang pasti.
Namun mengenali Sulaiman a.s., hak asasi sekumpulan semut untuk hidup, selamat dari kecederaan dan berumah begitu dijagai. Tentera Sulaiman a.s. diarah untuk berhati-hati melintasi kawasan penempatan sang semut. Sulaiman a.s. sebagai manusia maksum (bebas dari dosa) pasti menjagai hak-hak mereka yang dibawah pemerentahan baginda. Dan baginda bukan sahaja berkemampuan mengerah pegawai-pegawai kebajikan dalam mengurus permasalahan rakyat, bahkan pasukan burung beliau menjadi mata-mata bagi pihak baginda.
Pelajaran dari empayar Raja Sulaiman a.s. adalah, tidak cukup untuk saya bergantung kepada kerjasama penghulu dikampung dan orang perseorangan bagi mendapat maklumat sosioekonomi, atau databank agensi kebajikan berkaitan, namun keupayaan saya harus ditingkatkan. Teknologi google maps dan GPS saya jadikan umpama burung hud-hud Raja sulaiman a.s.

Selipar Happy Si Miskin


Dalam program ziarah ke Kg Paloh Bukit Tuku, Rantau Panjang, Kelantan, saya bertemu dengan 'utusan tuhan'. Keluarga miskin ini menyediakan peluang membuat pahala dan risiko terjerumus dalam dosa. Tuhan menghantar orang miskin ini, untuk menguji keimanan saya.
Saya sempat merakam gambar selipar yang dipakai oleh salah seorang anggota keluarga yang diziarahi itu. Sebelah kiri diikat dengan dawai, sebelah kanan diikat dengan perca kain. Selipar itu seolah-olah menampar muka saya, kerana selipar happy si miskin itu, adalah sebenarnya tanda dosa-dosa saya.

Saturday, December 20, 2008

Dari pejabat ECER menara KLCC ke bangsal ternak Kg Kemayan, Bachok.




Dalam usaha mengembangkan aktiviti Peladangnita unit Senak, saya dipertemukan dengan Puan Sabrah daripada ECER Ibu pejabat Kuala Lumpur. Beliau yang turun bersama perunding lantikan ECER daripada SAGE Consulting, iaitu En Patan Effendi, bersama berbincang kaedah bagaimana menangani kemiskinan dan menjana pendapatan isirumah.

Dari menara KLCC yang terkenal sebagai antara bangunan tertinggi didunia, saya bawa mereka meredah ke perkampungan tercorot, Kampung Wakaf Aik, Senak dan Kemayan, yang terletak dalam daerah Bachok, daerah kedua termiskin di Kelantan. Melalui jalan susur kampung, terus ke jalan tanah yang hanya muat satu kereta, kami sampai ke rumah Mek Nab, salah seorang yang dulunya sangat miskin, namun melalui projek penternakan cacing, membolehkan beliau keluar daripada kepompong kemiskinan.

Manakala kecantikan Puan Sabrah tidak putus-putus dipuji oleh anak bongsu saya yang selalu khayal dengan kisah-kisah dongeng Disney Princess saluran Disney Channel Astro. Kecantikan budi beliau juga membuatkan saya menghormati ECER yang sanggup turun ke akar umbi, melayan golongan OKU memberi makan ikan keli, bertandang ke rumah orang miskin yang menternak cacing dan masuk ke dapur surirumah melihat bagaimana kerepek berperisa dibuat dirumah.

Pertemuan kami petang itu dihabisi dengan memakan keropok gotel di pantai Kemayan. Suasana pantai menambah keceriaan perbincangan kami. Hembusan ombak pantai Kemayan menguatkan semangat kami untuk bersama membantu golongan miskin dikalangan wanita. Semoga semangat ini senantiasa beralun sebagaimana tidak putusnya alunan ombak pantai Kemayan.

Ya Allah buangkanlah sikap meminta-minta dalam diri kami, jadikanlah kami para wanita yang rajin bekerja.













Thursday, December 11, 2008

Jom menari poco-poco


Lawatan ke Mesir baru-baru ini, membolehkan saya menari tarian poco-poco bersama adik-adik mahasiswa Al Azhar. Tarian poco-poco ini diamalkan oleh para isteri yang ditinggalkan suami yang ke medan peperangan. Ianya banyak membantu mengurangkan tekanan perasaan dan menguatkan badan pengamalnya.
Bersama adik-adik, kami menari diiringi muzik rancak sesuai dengan pergerakan tarian yang pantas.
Turut bersama menari (tiada dalam gambar) YB Siti Zailah ahli parlimen Rantau Panjang dan Datin Rohana, isteri YB Dato' Husam Musa. Tarian ini mengajar saya untuk lebih memahami bagaimana isteri para pejuang menghadapi kehidupan.

Wednesday, December 10, 2008

Perutusan AidilAdha, Siapa Pengganti korban Ismail a.s.?

Sering kita dibacakan bahawa tuhan menggantikan Ismail a.s. dengan seekor kambing. Namun dalam dimensi yang berlainan, saya membaca peristiwa Ismail a.s. itu sangat besar. Pisau yang diletakkan ditengkuk Ismail, bukan peristiwa main-main atau sekadar lakonan daripada Ibrahim as, yang tiba-tiba menjelma seekor kambing pengganti Ismail as. Benak fikiran saya melayang memikirkan untuk apakah peristiwa ini dirakam sedemikian rupa kepada kita.

Dalam solat kita, hanya dua nama manusia yang kita sebut. Pertama Muhammad, kedua Ibrahim. Dan hanya dua keluarga sahaja kita berselawat dalam solat, keluarga Ibrahim a.s. dan keluarga Muhammad s.a.w. Disitu ada pertalian yang erat antara keluarga Ibrahim a.s. dan keluarga Muhammad s.a.w. Banyak tafsiran yang dibawa oleh para ulamak dalam membahaskan pertalian Ibrahim a.s. dan Muhammad s.a.w. namun tulisan saya kali ini hanya membahaskan pertalian penyembelihan keluarga Ibrahim a.s. dengan penyembelihan keluarga Muhammad s.a.w.

Pencarian saya menemukan pengganti Ismail a.s. bukan hanya seekor kambing, tapi ianya adalah cicit keturunan Nabi Ibrahim yang bernama Hussin r.a. cucu kepada Muhammad s.a.w. Kerana peristiwa penyembelihan Ibrahim a.s. kepada Ismail a.s. adalah simbolik kepada peristiwa penyembelihan kepala Hussin r.a. oleh kelompok yang mengaku sebagai ummat Islam.

Memandang tengkuk sembelihan kambing dan lembu korban Aidiladha yang dipenuhi merah darah, membuatkan saya mengingati tengkuk Hussin r.a. yang disembelih. Mata saya digenangi air mata, kerana tengkuk yang disembelih itulah yang juga diciumi oleh Rasulullah saat menyambut kelahirannya.

Hussin r.a. lahir diciumi tengkuknya oleh Rasulullah, mati disembelihi tengkuknya oleh mereka yang mengaku ummat Rasulullah!

Selamat menyambut Hari Raya Korban kepada semua.

Friday, December 5, 2008

Cacing Eee Gelilah


Dicelah kesibukan, saya masih sempat untuk menjana pendapatan sampingan, dengan menternak cacing African Nightcrawler. Di Australia dan negara Eropah, golongan yang memasuki industri ini kebanyakannya adalah para pecinta alam dan berhati baik. Saya membuat percubaan ini, dan sememangnya dengan menternak cacing ianya secara langsung mendidik kita menghargai alam dan membuah kebaikan hati. Bagaimana ianya boleh berlaku?


Pertama, cacing merupakan haiwan pengisar bahan-bahan buangan dan najis. Lebihan makanan, kertas, kotak , sisa rumput, batang pisang, tumbuhan dan najis-najis ternakan seperti kambing, lembu, biri-biri, arnab KECUALI kuda, adalah makanan yang lazat dan menggemukkan bagi cacing. Kesemua makanan cacing ini membantu persekitaran kita untuk lebih terjaga dan bersih.


Kedua, jika anda mempunyai tanah yang kurang subur, lepaskan beberapa ekor cacing untuk mengerjakannya. Anda hanya perlu tunggu dan lihat. dalam jangka masa tertentu tanah anda akan lebih subur berbanding tanah persekitaran yang lain.


Ketiga, anda tidak memerlukan modal yang besar dan tanah ber ekar-ekar untuk menternak binatang ini. Percaya atau tidak, melalui jaringan Peladangnita, saya dan rakan-rakan telah berjaya membantu pengusaha-pengusaha kecil berkembang. Ada yang memulakan perusahaan dengan 1kg cacing dengan kadar harga RM500. Ada yang memulai dengan kadar 1/2 kg dengan kadar harga RM250. Malahan ada yang memulai dengan kadar 10 ekor cacing sahaja.


Kesemua faktor diatas akan mendidik kita menghargai alam dan menjadi manusia yang baik. Bercakap soal membasmi kemiskinan, marilah kita mulai dengan persekitaran kampung kita. Bantulah surirumah yang miskin, supaya mereka dapat mengusahakan projek ekonomi dengan modal dan keupayaan yang paling minimum. Jangan sekadar kita menyalahkan pihak yang lain akibat kenaikan harga barang, tanpa kita berusaha menyelesaikan permasalahan ekonomi setempat. Bantulah jiran sebelah anda yang kesempitan!

KEDAMAIAN DI PATUNG KUAN YIN, KEKACAUAN DI MASJID KERISIK


Baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung ke Tokong Patung Kuan Yin dalam parlimen Bachok. Walaupun sudah berkali-kali saya berkunjung disana, kepuasan menikmati pemandangan disana menyebabkan saya senantiasa terpanggil. Bersama Hayati OKU dan anak-anak kami menyusur laluan pantai ke tokong Kuan Yin di Bachok. Patung Kuan Yin tersebut betul-betul mengadap pantai, dan hanya dalam jarak 50 meter dari gigi air. Saya boleh membayangkan bagaimana ketenangan yang diperolehi bagi penganut Budhha yang berkunjung kesana, berlatarkan suasana kedamaian perkampungan tepi pantai. Persekitaran tokong tersebut dipenuhi dengan pohon-pohon nyiur dan pasir pantai yang memutih. Deruan ombak pastinya membantu para penganut Buddha dalam menjalankan ritual ibadat mereka.

Patung tersebut menurut anggaran saya setinggi 20 meter, jauh lebih kecil daripada patung Buddha di Bamiyan, Afghanistan yang telah dibom oleh Taliban. Patung Buddha di Bamiyan tersebut sering dianggap patung Buddha tertinggi didunia, walaupun sebenarnya yang lebih tepat adalah, patung Buddha Ushiku Amida di Jepun, setinggi 120 meter.

Mengadap patung Quan Yin di Bachok, membuatkan fikiran saya merawang jauh ke Masjid Kerisik di Pattani, Thailand. Ada perbezaan yang besar diantara kedua tempat ibadat tersebut. Yang pertama memberikan persekitaran yang harmoni kepada penganutnya bersesuaian dengan dasar yang dibawa oleh pimpinan kerajaan negeri Kelantan, yang kedua mengheret persekitaran kekacauan yang bersimbah darah dan taburan peluru hasil daripada dasar siamisasi segelintir pemimpin Thailand, terutamanya bermula pada zaman Phibul.

Moga-moga isyarat keharmonian dari Kelantan mampu membantu meredakan pergolakan berdarah di Pattani.

Wednesday, November 5, 2008

Aktivis Wahabi yang kuhormati




Ditaman perumahan yang kududuki, terdapat seorang aktivis wahabi. Beliau membuka kelas quran kepada kanak-kanak. Terdapat kira-kira 30 kanak- kanak yang datang mengaji dirumah beliau. Pada satu petang datang seorang penduduk taman perumahan bertemu dengan saya supaya mencari ganti guru quran. Beliau mengadu ustaz tersebut menyebarkan fahaman wahabi. Antara fahaman yang disebar adalah kanak-kanak yang datang haidh boleh terus datang mengaji quran. Dan ustaz tersebut juga sering dilihat terus bangun balik, selepas imam mengucap salam solat berjemaah.

Saya merasa dilemma dalam memenuhi permintaan penduduk taman perumahan atas alas an berikut. Saya mengenali ustaz tersebut mempunyai akhlak yang baik. Beliau pernah membantu memberikan maklumat penduduk miskin dan pesakit kronik yang memerlukan bantuan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang dimana saya bertugas.


Dilema saya adalah, jika saya membuka satu lagi kelas pengajian Al Quran penduduk taman perumahan akan berpecah dua dan saya tidak mahu hubungan saya dengan kelompok yang menyokong ustaz wahabi dan kelompok yang menentangnya menjadi tidak harmoni.

Saya memikirkan apakah nasib ummat ini yang sangat mudah berpecah dalam persoalan ranting. Saya teringat apa yang berlaku kepada Abu Turab (nama gelaran Saidina Ali) apabila sahabat menuduh golongan yang menentang beliau sebagai kafir, tetapi dijawab Abu Turab” Tidak, orang kafir tidak mengucap syahadat”. Kalau begitu mereka itu munafik” ” Tidak, kerana orang munafik sedikit sekali zikirnya dan tidak berpuasa, sedangkan mereka ini kuat berzikir dan taat berpuasa”. ” Kalau begitu siapakah mereka?” Jawab Abu Turab ” Mereka adalah orang yang berbeza dengan ku”.




Justeru adalah penting untuk kita semua meraikan, bahkan kadang-kadang merayakan perbezaan.

Sunday, November 2, 2008

Kenali Hayati OKU

Akibat terjatuh dari basikal ketika berumur 13 tahun, Hayati lumpuh paras pinggang ke bawah. Sejak peristiwa itu rutin hidup beliau berubah sama sekali. Daripada zaman kanak-kanak yang bebas riang bergerak kesana kemari, beliau berubah menjadi seorang anggota OKU.

Dunia fizikal beliau hanyalah di sebuah rumah kayu yang agak uzur di Kg Telong, Bachok.

Namun keterbatasan fizikal, tidak menghalang beliau untuk meneruskan pengajian. Berkat kesungguhan dan kesabaran yang tinggi juga sokongan daripada ahli keluarga Hayati meneruskan pengajian dengan belajar sendiri di rumah. Mengambil peperiksaan sebagai calon persendirian. Beliau menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Beliau tidak memiliki Sijil SRP@PMR!

Hasil kesabaran dan keteguhan semangat juang , kini beliau adalah pelajar tahun dua Jurusan Sastera Sains Politik,Universiti Sains Malaysia. Beliau mengikuti Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), Jumaat - Sabtu. Beliau menghadiri kelas di USM Kubang Kerian dengan menumpang mana-mana orang kampung yang menghala Kota Bharu.





Beliau kini saya ambil sebagai pembantu peribadi dalam sebarang urusan pekerjaan mahupun NGO yang saya sertai. Beliau dilatih untuk menjadi sukarelawan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang. Beliau juga membantu mengajar AlQuran di kelas al Quran yang saya buka di Taman Perumahan yang kami diami.

Sebagai pekerja OKU berdaftar beliau layak untuk mendapat RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ini bagi memberi galakan kepada golongan OKU untuk berdikari. Saya telah membuat permohonan bagi pihak beliau.

Setiap pagi hari bekerja, beliau bersama saya ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang. Pada sebelah petang pula beliau akan membantu mengajar di kelas pengajian Al Quran yang diadakan di tingkat bawah rumah saya. Kerusi roda beliau saya angkut masuk dalam kereta Kancil dibahagian belakang kereta(Papan speaker kereta saya buang bagi membolehkan ruang untuk dimasukkan kerusi roda) untuk ke sana ke mari.

Beliau menggunakan kerusi roda biasa, kerusi roda elektrik yang diterima daripada kerajaan negeri bernilai RM5000, kurang praktikal untuk dibawa masuk ke dalam kereta ataupun jika mahu digunapakai dirumah berlantai kayu/simen yang sempit. Namun ianya sangat sesuai digunakan dibandar-bandar yang 'user friendly' pada golongan OKU, atau kawasan universiti.


Dalam menangani golongan OKU, saya berpandangan aktivis Nisa/masyarakat perlu memainkan peranan yang aktif dalam memenuhi keperluan golongan ini. Tidak cukup kita hanya berperanan dalam waktu pilihanraya sahaja. Kita mesti 'berkubang' dengan mereka, membantu menyelesaikan masalah mereka, tidak sekadar mengambil masa satu jam, panggil wartawan, serah bantuan, tengok masuk berita atau tidak, kemudian lepas tangan. Tidakkah kita ingat bagaimana teladan Rasulullah dalam membantu warga tua yahudi dengan mengisi air dirumah wanita berkenaan. Tangan baginda yang suci mengangkut sendiri timba-timba air bagi memenuhi keperluan warga tua yahudi tersebut.

Justeru itu, jadilah ahli politik yang menganggap orang miskin, OKU, pesakit kronik sebagai utusan daripada tuhan. Mereka didatangkan kepada kita untuk memberi peluang kita menggandakan pahala dan merapatkan diri kepada Tuhan. Maha Suci ALlah.

MANIS FM MENEMUKAN SAYA DENGAN SI MANIS HAYATI


Dalam percubaan mempromosikan nisa games 2004, Nisa telah memulakan langkah untuk ke udara di stesen radio tempatan - Manis FM dan Kelantan FM.

Manakala disebuah rumah terpencil di Kg Telong, Bachok, seorang gadis comel asyik mengikuti siaran tersebut. Memang menjadi rutin beliau untuk mendengar siaran radio. Tertarik dengan siaran tersebut beliau cuba menghubungi saya dan bertanya bolehkah beliau masuk nisa ? Saya menjawab bersahaja boleh, jawapan yang sudah beribu kali saya sebut. Beliau kemudian bertanya lanjut, bolehkah saya masuk nisa’, saya ni OKU. Apabila terdengar sahaja perkataan OKU sendi tubuh saya terasa lemah longlai dan perasaan sebak memenuhi dada saya.

Kebesaran tuhan mencipta manusia-manusia OKU membolehkan saya menikmati perasaan simpati . Kebesaran tuhan juga mencipta Si Hayati OKU untuk menguji sifat prihatin saya. Dimanakah kekuatan saya sebagai pengarah nisa yang suaranya berkumandang dalam frekuensi radio 90.6 FM, jika saya tidak dapat memenuhi keperluan hidup seorang remaja perempuan yang hidupnya terkurung dirumah akibat ketidakupayaan beliau untuk berjalan.

Memandang Hayati merupakan nikmat tuhan yang tiada ternilai. Beliau senyum manis menampakkan wajahnya yang putih suci. Apakah kelebihan tuhan mengurniakan kaki yang sempurna jika saya menggunakannya untuk bertandang ke kumpulan umpat-mengumpat . Apa hebatnya jika saya menggunakan kaki memijak pedal minyak kereta untuk melobi menaikkan diri dalam persaingan dunia yang bersifat sementara.

Hayati adalah kurnia tuhan kepada saya. Memandang Hayati merupakan zikir kepada saya dalam menikmati kesucian tuhan.

Hayati kepada saya memberi makna yang cukup mendalam. Dia menjadi motivator kepada saya dan anak-anak. Semangat dan ketekunan luarbiasa yang ditunjukkan menjadikan saya lebih tabah.

Saturday, November 1, 2008

HANDPHONE UNTUK AKTIVIS MUSLIMAH



Kecil, kompak, berkuasa, terkini, efisien dan bergaya adalah kriteria saya dalam membuat pilihan handphone baru. Sebagaimana lazim saya membuat sedikit penyelidikan teknologi handphone melalui beberapa laman web seperti http://www.mobile88.com/ dan majalah gajet seperti Mobile World. Pilihan saya adalah Nokia E71.

E71 tidak mengecewakan saya apabila berpusing di bandar Ipoh sepanjang muktamar PAS lalu. Laluan dari Stadium ke Hotel begitu mudah tanpa perlu bertanya ’Bangla’ di stesyen minyak atau orang yang tidak dikenali. Arahan GPS cukup jelas dan tepat.

E71 juga cukup muat untuk saya masukkan ke dalam tas tangan. Penutup E71 juga sangat unik dan mudah dipakai. Ramai juga teman-teman Nisa bertanya handphone baru yang saya pakai, memberi kesempatan kepada saya membuat review percuma pengalaman memakai handphone ini.
E71 - dalam keadaan terdesak membuka emel, sangat membantu . Hanya dengan satu sentuhan saya dapat membaca emel. E71 juga merupakan ratusan buku bergerak untuk diri saya. Ratusan buku yang jika dibeli mungkin berjumlah RM2000 lebih dan memerlukan kekuatan seekor keldai untuk mengangkutnya, kini percuma dan hanya seberat 127 gram, tergengam dalam telapak tangan sahaja.

Saya mungkin tidak bernasib malang seperti Ibnu Sina yang tertimpa buku akibat banyaknya jumlah, yang menjadi malang bagi saya adalah pada kesempatan mana saya mampu scroll artikel-artikel terbaik, dicelah kesibukan hal ehwal nisa , urusan parlimen dan dewan muslimat.
Teringat kata-kata umar al khattab ” tuntutlah ilmu sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin”.
Apa pandangan saya tentang trend dikalangan aktivis memakai handphone canggih bernilai ribuan? Bahkan ada yang sanggup membayar RM3800 untuk mendapatkan Nokia E90 Communicator.
Pertama betulkan niat dalam membeli handphone, jangan jadikan handphone alat untuk kita menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan. Niatkan membeli handphone bagi mendekatkan diri kepada ALlah.
Kedua kenalpasti keperluan, berapa kalikah kita terdesak untuk membuka emel? Berapa kalikah kita tersesat dibandar-bandar bagi mencari tempat program? Setiap orang mempunyai keperluan dan keutamaan yang berbeza.
Ketiga ukur kemampuan kewangan. Simpan duit secara berdikit-dikit untuk membeli handphone yang baik adalah jauh lebih baik daripada berhutang atau memotong bajet keperluan lain secara drastik semata-mata kerana handphone.
Dan bagi saya Nokia E71 yang dibeli dengan harga RM1750 memenuhi keperluan saya sebagai aktivis muslimah.

Baiti Masjidi, Rumahku Masjidku


Sebaik pulang dari Seminar Politik Malaysia di Sabah pada 30hb Oktober , saya terus sibuk pindah rumah. Daripada rumah teres setingkat saya memilih untuk menyewa rumah teres 2 tingkat. Selain daripada menjadikan Baiti Jannati saya juga jadikan konsep rumah saya sebagai Baiti Masjidi.
Ruang Tamu bawah saya jadikan tempat pengajian alQuran kanak-kanak dengan bayaran RM25 sebulan. Kadar bayaran setempat adalah RM30 sebulan. Kenapa saya kurangkan RM5? Saya berpandangan kesusahan rakyat perlu dikurangkan bebanannya. Kita sebagai aktivis parti, tidak cukup untuk mengeluh, mengkritik dan memberi cadangan berkenaan kenaikan harga, tidak hanya menyerah kepada kerajaan pusat bagi mengawal inflasi, tidak hanya melepaskan geram apabila 'disembelih' oleh tauke-tauke restoran.
Justeru RM25 dijadikan yuran pengajian quran. Hasrat sebenar saya adalah untuk memberikan pendidikan percuma kepada masyarakat!
Master Bed Room ditingkat atas, saya jadikan bilik penginapan bagi OKU dan individu yang memerlukan. Hari ini Hayati menetap disitu. Beliau yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah, mengengsot menaiki dan menuruni 21 anak tangga setiap hari.
Dengan menaiki dan menuruni sejumlah anak tangga tersebut adalah diharapkan agar anggota Yati dapat diperkuatkan. Dia memerlukan latihan memperkuatkan otot-ototnya. Perkara ini juga untuk memberi keselesaan kepada Yati - Bilik air di biliknya sendiri.
Bakal menempati bilik berkenaan juga, ialah seorang ibu tunggal yang terpaksa menjaga 3 anaknya yang juga OKU. Satu anaknya terpaksa menggunakan air mata palsu, anaknya yang satu lagi kaki pendek sebelah dan seorang lagi mengalami lemah tubuh.
Bilik bawah, ruang tengah ditingkat atas dan sepanjang tangga saya penuhi dengan buku koleksi Pustaka Al Kauthar. Saya memberikan tumpuan mengumpul koleksi buku-buku berkaitan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak. Antaranya koleksi Ensaiklopedia Kanak-kanak Grolier, koleksi terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Siri Tafsir Mudah Nurul Quran.
Impian saya dalam masa 10 tahun nanti Pustaka Al Kauthar akan menjadi perpustakaan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak terbesar di Malaysia. Sehingga hari ini 1200 judul buku telah berjaya dikumpul.

62 Kertas Seminar Politik Malaysia + Telur Penyu


9.30 pagi Isnin 27 Okt - Saya terbang ke Sabah bersama rombongan dari Kelantan bagi mengikuti satu seminar Politik Malaysia anjuran UiTM Sabah dan Institut Kualiti & Pengembangan Ilmu (InQKA), selama 3 hari. Sejumlah 62 kertas sempat dibukukan dalam buku prosiding seminar, manakala selebihnya, 27 kertas lagi dibentangkan melalui powerpoint.

Saya tidaklah mahu bercerita sangat pasal telur penyu mahupun mutiara/kristal Sabah ataupun kain corak Pua yang menjadi pilihan 'souvenir' pengunjung. Apa yang ingin saya kongsi dengan teman-teman adalah rumusan yang saya perolehi daripada seminar yang sangat menarik itu.

Antara tajuk-tajuk menarik yang dibentangkan adalah:

1.Debat Anwar-Shabery: Strategi Retorik dalam Komunikasi Politik

2. Elemen Kekerabatan dalam Pilihan Raya Umum 2008

3. Penyebaran Maklumat dalam Kempen PRU-12: Strategi Mendekati Golongan Orang Kurang Upaya

4. Persepsi Pelajar Institut Pengajian Tinggi terhadap Pilihan Raya Umum ke-12

5. Lima Puluh Satu Tahun Dominasi Barisan Nasional dalam Politik Malaysia: Suatu Analisis

Seminar ini banyak memberikan gambaran komprehensif berkenaan landskap politik Malaysia pasca pilihan raya ke 12.

Alangkah baik nya jika kita dapat membuat seminar yang sama, menghimpunkan para akademia, inteleligensia, penyelidik dan perunding politik diluar lingkungan bagi memperbaiki prestasi dimasa akan datang. Khusus kepada adik-adik Nisa, kita perlu memikirkan bagaimana mendapatkan maklumat yang tepat dan komprehensif berkenaan generasi muda wanita.

Berikut adalah sedutan kertas kerja oleh Jeneri Amir Debat Anwar-Shabery: Strategi Retorik dalam Komunikasi Politik. Triad atau kumpulan bertiga digunakan di beberapa tempat oleh Anwar dan Shabery. Didapati bahawa Anwar amat sedar akan peranan triad untuk menimbulkan kesan tertentu kepada khalayak. Perhatikan penggunaannya, seperti berikut: "Nak bantu nelayan, petani dan Melayu miskin namanya subsidi." Juga, "Harga 10 sen, 15 sen, 16 sen?", selain " Saudara, soal minyak, soal bantuan, meredakan keperitan rakyat ini tanggungjawab mana-mana pemerintah."

Cukup pasal politik, kita bercakap soal telur penyu yang menjadi satu kesalahan jika diurusniaga, nak membeli telur penyu memerlukan khidmat penduduk tempatan ataupun mereka yang boleh berbicara dialek tempatan. Telur penyu masih dijual secara sembunyi di pasar philipines dengan harga RM10 bagi 6 biji. Mutiara Sabah pula boleh didapati dengan harga separuh daripada harga di Semenanjung dan mempunyai banyak pilihan yang menarik, boleh didapati di pasar malam Kampung Air, Kota Kinabalu. Kain corak pua yang menjadi tarikan orang semenanjung boleh didapati dengan harga semurah RM17.

Wednesday, October 8, 2008

Malang Tidak Berbau


Balik dari Pilihan Raya Permatang Pauh saya bergegas pulang ke Kota Bharu. Akibat keletihan yang teramat kami tidur sebentar di beberapa tempat sepanjang laluan. Dalam 10 km lagi nak sampai rumah di Rantau Panjang tiba-tiba kereta yang saya naiki terlanggar tebing. Ia telah dipandu oleh suami saya.
Semasa kejadian saya sedang enak menikmati mimpi yang cukup indah. Saya bermimpi mengalunkan doa-doa indah yang pernah saya dengar dan saya baca. Bila tersedar alunan doa-doa itu masih terngiang-ngiang ditelinga saya. Walaupun saya tersepit namun saya tidak merasa panik.
Saya masih boleh bertanya suami " apa berlaku ni,bang?". Suami dengan selamba menjawab, "kereta terlanggar tebing". Walaupun agak sukar untuk keluar dari keadaan tersepit itu, bahagian dagu berdarah sehingga membasahi tudung dan baju saya namun saya tak terasa terkejut langsung. Agaknya mimpi berdoa itu telah menenangkan jiwa saya.
Saya meyakini keajaiban doa kerana pada saya Allah itu pemakbul doa.
" Ya Allah, sesungguhnya hamba memohon melalui namaMu, Wahai yang menjadi sebab segala sesuatu, Wahai Yang Menganjurkan, Wahai yang mengubah, Wahai yang memperbaiki, wahai yang mengatur. Wahai Yang Menakutkan, Wahai Yang Mengancam , Wahai Yang Mengingatkan, Wahai Yang Menundukkan, Wahai Yang Mengubah. Maha Suci Engkau Ya Allah, Wahai Yang tiada tuhan melainkan Engkau. Tolonglah hamba.... tolonglah hamba.....tolonglah hamba.....lepaskan hamba dari siksa neraka. Ya Allah.

Gajah Abrahah dan Gajah PAS


Hari raya keempat saya berkesempatan melihat gajah secara dekat, walaupun dah pernah tengok gajah di zoo taiping dan saluran National Geographic Astro dirumah dan membaca surah Al Fiil dalam solat , tentu ada kesan khusus melihat mamalia darat terbesar ciptaan tuhan.


Sempena Hari Pemimpin Bersama Rakyat PAS Kawasan Rantau Panjang anak-anak saya mengambil kesempatan membayar RM1 untuk menaiki gajah . Manakala anak saya yang paling kecil (baju kuning) berpeluang untuk jadi gembala gajah, duduk langsung atas kepala gajah yang berbulu jarang-jarang. Bulu kepalanya sepanjang jari kelinking kanak-kanak.


Menyorot sejarah silam Gajah Abrahah yang digambarkan dalam kisah Al Quran sebagai binatang pemusnah Ka'bah dan menonton peristiwa kanak-kanak gelak ketawa diatas Gajah PAS yang dijadikan tunggangan permainan memberi kesan tertentu dalam benak fikiran saya.


Gajah Abrahah apabila didengari akan kehadirannya di pinggir Mekah menyebabkan ketakutan yang amat sangat kepada pada penduduk. Ramai yang melarikan diri bahkan Abdul Muttalib berdoa kepada Allah agar diselamatkan daripada bencana tersebut.


Gajah PAS apabila didengari melalui sebaran poster yang ditampal di tiang elektrik, dinding kedai dan batang-batang pokok mengundang kegembiraan penduduk Rantau Panjang khususnya kanak-kanak. Hari ketibaan gajah dinanti-nanti.


Gajah Abrahah di akhiri dengan kemusnahan akibat lemparan batu kecil dari sang burung dalam kejadian yang menakjubkan.


Gajah PAS diakhiri dengan kepuasan hati si gembala yang berjaya mengutip RM2000-4000 untuk sehari pertunjukan. Cukuplah untuk si gembala menjadikan gajah sebagai sumber rezki beliau untuk hari-hari akan datang.


Hasan r.a. cucunda rasulullah menyebut " Orang yang bodoh adalah yang dungu dalam pengaturan hartanya, yang meremehkan harga dirinya dan jika dicela tidak membela diri."


Kerjayaku Cintaku


Bertugas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang adalah satu pengalaman yang cukup menyeronokkan. Apatah lagi bertugas dibawah YB Siti Zailah Mohd Yusoff yang sangat berperanan sebagai ibu dalam jemaah muslimat. Tidak sedikit tunjuk ajar yang diberikan kepada saya. Bukan setakat ceramah yang disampaikan, usrah yang dikendalikan dan mesyuarat yang dipengerusikannya, mendidik saya sebagai aonggota jemaah, bahkan sepanjang bersama beliau banyak yang saya belajar untuk dikongsi dengan para pembaca:
1. Berjiwa Rakyat
Sebelum saya bekerja dengan YB Siti Zailah Mohd Yusoff, saya telahpun bekerja dengan beberapa wakil rakyat dan pimpinan PAS secara langsung. Masing-masing punyai kelebihan dan kekurangan. Sudah tentu bukan ruang yang sesuai dalam blog ini untuk saya dedahkan aspek kelemahan, kerana saya percaya mereka yang menjaga aib saudara muslimnya didunia akan dijaga keaiban dirinya diakhirat nanti. YB Siti Zailah adalah seorang yang sangat prihatin terhadap rakyat. Menurut pemerhatian saya, bagi beliau, musim pilihan raya atau tidak ziarah kepada rakyat mesti diutamakan. seolah-olah tiada beza stamina beliau musim pilihan raya dan selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya umum ke 12 lalu. Di luar sidang parlimen beliau menghabiskan masa bersama rakyat. dalam sehari beliau berkesempatan menziarahi rumah para duaafa dalam 30-50 buah sehari. Kesusahan rakyat sangat beliau jiwai. Kebiasaannya beliau menaiki kereta waja dengan dipandu sendiri atau ditemani oleh keluarga dan petugas pejabat termasuk saya. Yang menariknya seberat 300 kg kampit beras akan dibawa bersama untuk diedarkan kepada fakir miskin sebagai buah tangan daripada beliau selain daripada bentuk sumbangan lain yang diperlukan oleh rakyat. Dari awal pagi hingga ke larut malam beliau menjelajahi pelusuk kampung bertemu dengan rakyat.
2. Zikir pada tuhan
Dalam perbualan harian beliau selalu terkandung nasihat, peringatan dan pesanan yang mengesankan. Adalah menjadi rutin beliau dalam melakukan ziarah bersama rakyat untuk menyelitkan pesanan kesabaran dan kebenaran dengan gaya yang bersahaja dan tulus. Begitu juga dalam mesyuarat untuk urusan pusat khidmat dan dewan muslimat. Saya berpandangan alangkah baiknya jika sifat baik ini dapat dicontohi oleh bos-bos dan majikan yang boleh menyediakan suasana islami kepada para pekerja. Mengapa tidak dijadikan amalan menyebut Alhamdulillah, Allahuakbar, Subhanallah dalam setiap urusan pekerjaan seharian. Bukankah setiap urusan kita di dunia ini ada rekodnya diakhirat nanti.
" Bergaullah dengan manusia dengan pergaulan yang jika anda meninggal dunia, maka mereka akan menangisimu. Manakala jika anda ada dikalangan mereka, mereka akan selalu merinduimu.'

Hari Penamaan Pilihan Raya Permatang Pauh




Jam 4 pagi 16 Ogos saya sampai di perkarangan pusat penamaan calon Maktab Perguruan Tengku Bainun. Kiri kanan jalan dah ada penyokong fanatik, setia, taasub, semangat atau apa-apa panggilan bergantung fahaman politik anda, sedang mengambil tempat. Wow ini satu pilih raya yang menarik. Selepas mundar-mandir meninjau kawasan, saya mencari surau untuk solat suboh dan membuat persiapan. Sempatlah borak dengan ahli jemaah suboh surau salah sebuah taman perumahan berdekatan. Kebetulan yang lazim, ahli jemaah yang hadir adalah penyokong PAS. (tidaklah maksud saya nak kata penyokong UMNO jarang ke surau, sebab kalau ke Johor saya boleh dapati ramai yang hadir di surau adalah orang UMNO)


Jam 6.45 pagi- Jalan masih gelap, tapi sudah penuh dengan cahaya kenderaan memasuki kawasan pusat penamaan calon . Nokia E71 saya berdering berulang kali. Panggilan yang dijangka " Macamana nak pergi ke pusat penamaan calon ?" saya bernasib baik teknologi GPS sedikit sebanyak membantu. Dengan sedikit bantuan kenalan reformasi yang sudah meninjau lebih awal kawasan pilihan raya dapatlah diselesaikan kebuntuan kawan-kawan masih belum sampai.
Jam 8.00 pagi - ambil breakfast roti gardenia dan air tin yang dibeli awal-awal lagi. Kedai-kedai makan penuh sesak. Tak selesa nak berebut. Sempat jugak tanya kawan-kawan yang breakfast, tak kena sembelih ke ? Semuanya cakap harga kat sini murah. Teringat pulak suasana pilihanraya kecil Permatang Pasir, ramai yang merungut harga tinggi melambung. Ada kewajaran peniaga-peniaga di Kelantan menilai kembali sikap mengambil kesempatan menaikkan harga makanan/minuman musim pilihan raya kecil, lebih banyak keburukan daripada kebaikan yang dikaut untuk jangka singkat.
Jam 10.00 pagi- Saya dah tenggelam dalam lautan manusia. Sebagaimana jangkaan penyokong PKR jauh lebih ramai daripada BN. Ruangan padang BN masih tersisa kosong, manakala ruang padang PKR melimpah keluar, menyebabkan penyokong BN terpaksa melalui kerumunan penyokong PKR, yang pasti terdedah kepada sorakan, maki hamun, sindirin dan himpitan-himpitan. Sebarang kelibat pimpinan besar BN pasti akan disambut dengan macam-macam aksi bagi meluahkan apa yang terpendam selama ini. Perasaan saya: gelak pun ada sedih pun ada, kadang-kadang datang semangat dan kadang-kadang datang kebencian; rasa puas pun tenggelam timbul dengan iklim yang panas, akibat kesendatan lautan manusia. Topi Nisa (dibeli di gerai muktamar PAS ) yang besar, sedikit sebanyak membantu menahan panas matahari.
Jam 11.00 pagi - Pusing-pusing di kawasan luar pusat penamaan calon. Banyak gerai-gerai jualan tersedia. Sempatla beli beberapa cenderehati untuk anak-anak sempena pilihan raya Anwar Ibrahim. Kemudian saya mula melarikan diri daripada kesesakan yang bakal berlaku, terus memandu kereta keluar ikut lebuhraya Kulim-Butterworth, sambil menikmati susunan kereta memanjang disepanjang lebuhraya bertol yang penuh sejarah itu.
Fikiran saya, apa seterusnya akan berlaku dalam pilihanraya ini?
Saya sudahi tulisan ini dengan ungkapan Saidina Ali " Sesungguhnya agama ALlah tidak akan dikenali dari peribadi-peribadi, tetapi akan dikenali dari tanda-tanda kebenaranNya. Kenalilah kebenaran maka engkau akan mengetahui siapa penganutnya."

Hello


Assalamualaikum kepada semua adik-adik Nisa, rakan-rakan dalam Parti Islam SeMalaysia dan para mukminin/mukminat muslimin/muslimat. Salam sejahtera kepada kawan-kawan yang menyambut Krismas, Tahun Baru Cina dan Thaipusam.
" Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta ia mengerjakan kebaikan dan berkata sesungguhnya aku adalah dari orang yang berserah bulat-bulat kepada Allah."(Fussilat:33) Napoleon Bonarparte pernah berkata "aku lebih takutkan bunyi pena pemberita dari bunyi-bunyi peluru senjata api'.
Seringkali kita diberi penekanan bab taaruf dalam siri usrah/keluarga. Justeru dalam era bloggers mengapa tidak kita gunakan kurnia tuhan ini untuk saling mengenali. InsyaALlah dalam blog ini saya akan berkongsi pengalaman, meluahkan rasa, menyampaikan pandangan apa yang bermanfaat untuk kemanusiaan. Saya lebih cenderung untuk menyebarkan nilai kebaikan berbanding taasub kepartian maupun puak dan ras etnik. Moga-moga tuhan yang esa membantu saya berbicara dengan kalimah kebenaran
Sulaiman as dapat berbicara dengan para hewan dan jin selain manusia. Justeru kalaupun kita tiada kemampuan meluaskan perbicaraan bahasa haiwan dan jin, mengapa tidak diluaskan sempadan geografi, batasan kos dan had teknikal dengan www.blogger.com