Wednesday, January 21, 2009

Markaz Berhantu Kg Losong Terengganu


Bertugas dalam pilihanraya, memberikan saya pelbagai pengalaman menarik. Setiap pilihan raya pasti menyediakan ceritanya yang tersendiri. Dalam pilihan raya Kuala Terengganu baru-baru ini, markas muslimat PAS Kelantan di kampung Losong diusik oleh makhluk halus. Saya yang berperanan sebagai koordinator penubuhan markaz, bersama Elvira, memulakan kerja-kerja 'setup' markaz muslimat, termasuklah acara-acara ruhani dalam bentuk munajat setiap malam. Namun saya bernasib baik, sepanjang bertugas tidak pernah diusik oleh makhluk halus yang dirasai keberadaannya dalam markaz muslimat.

Terdapat sekurang-kurangnya 2 kes gangguan makhluk halus yang saya dengar berlaku, sepanjang markaz muslimat PAS Kelantan tersebut beroperasi.


Kes pertama menyebabkan seorang muslimat keluar daripada rumah tanpa beliau sedari. Kes kedua lebih menyeramkan apabila seorang muslimat yang sedang menguli roti pada tengah malam, tiba-tiba merasa seram sejuk, lantas beliau mempercepatkan kerja-kerja menguli, saat beliau masuk ke bilik air, beliau dikejutkan dengan bunyi suara mengilai daripada belakang...hihihihiiihiiiiiii.


Mungkinkah itu hantu Altantuya?


Friday, January 2, 2009

Jenazah muslim dicampak dari udara ke hutan Greece


Pertengahan tahun lepas, saya menghadiri persidangan aktivis-aktivis wanita sedunia di Tehran, Iran. Antara delegasi negara yang hadir adalah daripada Afghanistan, Argentina, Autralia, Azerbaijan, Bahrain, Belanda, Burkina Faso, Chile, Columbia, England, Gorgestan, Greece, Guinea, Indonesia, Iran, Iraq, Jepun, Jerman, Kenya, Lubnan, Malaysia, Pakistan, Sudan, Tanzania dan Turki.


Acara persidangan selama seminggu meliputi ceramah umum, lawatan, pembentangan daripada wakil-wakil negara masing-masing dan mesyuarat meja bulat.


Pada kali ini saya ingin berkongsi input mesyuarat meja bulat, yang disampaikan oleh wakil Greece, Puan Eleni Flotaki, beliau yang asalnya merupakan kristian protestan, baru memeluk Islam.


Beliau merayu bantuan sokongan daripada aktivis Islam, untuk memberi tekanan kepada kerajaan Greece supaya dapat memberikan hak kepada golongan minoriti Islam di Greece mendapatkan tanah perkuburan. Sehingga kini jenazah muslim diangkut menggunakan helikopter, yang kemudiannya dicampak dari udara ke bahagian utara hutan Greece. Pastinya pelbagai kemungkinan buruk menimpa jenazah muslim apabila dicampak sedemikian rupa. Mungkin bagi kerajaan Greece jenazah muslim hanya layak dilayan sebagai bangkai untuk dilahap oleh serigala dan binatang buas dihutan.

Pelajaran daripada Usrah Perhubungan PAS Kelantan


Tadi malam saya menghadiri usrah perhubungan di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan. Ada beberapa pelajaran yang ingin saya kongsi dengan pengunjung.


Pelajaran pertama: Ustaz Ismail Noh telah menceritakan kisah seorang sahabat yang solat dibelakang Ali dan Muawiyyah. Beliau menyebut betapa tenang dan khusyuk apabila beliau bermakmum dengan Ali, manakala merasa tidak tenteram bila bermakmum dengan Muawiyyah, walaupun begitu beliau dilimpahi dengan kesenangan dan harta bila bersama Muawiyyah. Lantas beliau bertanya Ali Pada siapakah dia patut ikut, kamu (Ali) atau Muawiyyah? Dijawab oleh Ali, Ikutilah kebenaran.


Pelajaran kedua: Husam Musa menekankan kepentingan membina generasi pelapis yang berwibawa dalam PAS. Beliau menyebut contoh bagaimana kemajuan dalam DAP yang mempunyai tokoh-tokoh muda awal 20an dan 30an yang sangat berpotensi. Tokoh-tokoh muda DAP ini menjadi rutin banyak membaca buku, melakukan kajian, dan senantiasa online. Beliau juga menekankan kepentingan penggunaan teknologi semasa dengan membawa contoh kemenangan Obama, penggunaan Blackberry dan email. Dan beliau mengingatkan kepada ahli usrah untuk mendepani dalam hal ini.


Usrah perhubungan sesungguhnya, memberi kesegaran dan input yang sangat berguna kepada saya.


Thursday, January 1, 2009

Asyura & Makam Hussein r.a.


Bersama YB Zailah, Ahli Parlimen Rantau Panjang, yang juga boss saya, kami melawat masjid Hussein, di mesir, tempat bersemadinya kepala cucu nabi yang dipenggal. Ketua pemuda syurga ini dipenggal kepalanya oleh mereka yang mengucap syahadat, mereka yang solat juga berpuasa.

Saya masuk kedalam masjid berkenaan dan bertakafur disisi makam ketua pemuda syurga. Air mata saya menitis mengenang perjuangan Hussein. Saya mengenangkan Ali Zainal Abidin yang kehausan di medan karbala, akibat kepungan tentera Yazid ke atas 72 cucu keluarga nabi. Dan saya mengenangkan anak kecil Sukainah yang meratapi pembantaian keluarganya di depan mata.

Rakan rombongan menegur, kenapa saya menangis? Saya menjawab ringkas, saya mengingati apa yang berlaku kepada keluarga nabi.

Ayat 23 Surah As-Syura yang bermaksud "Katakanlah wahai Muhammad;"Aku tidak meminta upah kepada kalian dalam dakwah ini melainkan kecintaan terhadap keluargaku."

Hari Asyura, 10 Muharram ini marilah kita berpuasa dan menangis ke atas pengorbanan Hussein, tragedi Sabra Shatilla Palestin, mangsa peperangan rogol Bosnia dan pembunuhan di Pattani. Ambillah masa sekurang-kurangnya sehari setahun sebagai hari tangisan dan hari kesedihan kita. Bukankah kita sebenarnya, mengengkari pesanan nabi supaya lebihkan menangis, kurangkan ketawa.



Liputan Majalah NGO Taiwan


Secara perlahan, hasil daripada pengalaman terlibat dalam muslimat dan nisa, saya mula belajar membina ngo sendiri. Saya namakan Nisa Resources, sebagai permulaan ianya didaftarkan dengan suruhanjaya syarikat Malaysia. Saya mulakan aktiviti tuisyen rakyat dengan kerjasama Tabung Amanah Tok Kenali dan kelas al quran, yang kemudiannya berkembang secara berdikit. Semasa awal penubuhan Nisa Resources, saya dipertemukan dengan seorang wartawan Taiwan yang menjalankan kajian tentang wanita dan negeri Kelantan.


Kesempatan itu membolehkan saya menghubungkan beliau dengan tokoh-tokoh politik wanita dan juga tokoh-tokoh perniagaan wanita Kelantan. Beliau juga saya bawa untuk merakam aktiviti Nisa Resources mengadakan sambutan Maulidurrasul. Dan Majalah NGO Taiwan, Rhythm Monthly keluaran 106, telah memberi liputan bergambar separuh muka surat aktiviti Nisa Resources. Meneliti majalah tersebut, membuatkan saya kagum dengan perkembangan ngo-ngo di Taiwan. Saya menanam hasrat satu masa nanti, untuk berkunjung dan mempelajari bagaimana perkembangan ngo-ngo disana.