Monday, March 16, 2009

Malaikat Bisu vs Setan Vokal


Siapakah yang menang dan berpengaruh jika diadakan perlawanan, antara Malaikat Bisu dengan Setal Vokal. Malaikat yang penuh pengetahuan yang benar lagi taat pada tuhan, namun memilih untuk membisu. Setan yang penuh tipu muslihat lagi menyesatkan, tapi memilih untuk bersuara.

Setiap kali saya turun ke ceruk kampung, saya pasti menemui kesusahan rakyat yang tidak terbela. Namun turun bersama para 'Malaikat' yang hanya berani bersuara sesama "malaikat' membuatkan hati saya benci dengan perilaku 'malaikat bisu'. Ia , memang mudah menyalahkan JKK, JKM, UMNO, Kerajaan Pusat atas kesusahan rakyat. Manakala 'Setan' pula cukup pro aktif dalam melaksanakan agendanya. Mini bajet 60 Bilion dikejar untuk dikebas. Setiap peruntukan diperincikan, setiap peluang diintai, juak-juak dikerah untuk bersama melanun kapal bernilai 60 bilion.

Sang Malaikat Bisu pula sebagaimana rutin membaca lidah rasmi kerajaan syurga setiap Isnin dan Jumaat. Melaung-laung di masjid Allah Maha Besar, namun membiarkan pengaruh 'setan vokal' berleluasa diluar masjid.

Sang Malaikat Bisu tiada keberanian untuk memerangi penyelewengan penghulu di kampung, tiada kecekalan melawan salahguna kuasa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, tidak kenal pun tingkat 12 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, apa lagi tingkat lapan jabatan siasatan jenayah IPK Kelantan.

Sang Malaikat Bisu hanya bersuara dalam usrah sesama malaikat. Sang Malaikat Bisu hanya berapi berucap, dikhalayak para malaikat berkopiah putih berjubah labuh, dalam program ceramah umum.

Sang Malaikat Bisu membaca Surah Rom, namun meninggalkan bacaan perbahasan hansard parlimen.

Sang Malaikat Bisu membaca Surah Al Anfal, namun meninggalkan bacaan seksyen 10 akta kesalahan pilihan raya.

Sang Malaikat Bisu membaca Surah An Nisa, namun meninggalkan bacaan Akta Keganasan Rumahtangga.


Kesudahannya, keputusan perlawanan dimenangi 'Setan Vokal'!

No comments: