Sunday, June 14, 2009

Bagaimana Dalam PAS, Pemikiran Saya Berkembang




Tahap Pertama- Sejak mulai mengenali jemaah PAS di kampus Johor, saya sangat menghormati pimpinan (dalam maksud, saya hanya melihat hanya yang indah dalam dalam PAS dan pimpinannya), bermula daripada penghormatan yang diberikan oleh kepada amir kampus hinggalah pimpinan PAS yang dijemput dalam program tamrin. Komen saya, ini adalah lumrah kehidupan, baik dalam awal alam persekolahan, awal perkahwinan dsb.






Permulaan bergelumang sebagai aktivis sepenuh masa PAS- dengan elaun RM150 sebulan, saya bekerja dengan penuh semangat dan merasakan diri bertuah dalam berkhidmat kepada pimpinan dan parti. Komen saya, ini adalah lumrah bagi mereka yang baru berjumpa dengan kerja yang secocok dengan jiwanya.



Tahap kedua - setelah 9-10 tahun bergerak dalam PAS, saya mulai terdedah dengan kepelbagaian ragam dan perangai dalam parti. Ada yang melawan pimpinan. Ada pimpinan yang menggunakan kedudukan bagi memenuhi agenda peribadi. Ada ahli yang lebih cerdik daripada pimpinan. Ada pimpinan yang terus menerus memberi inspirasi kepada ahli. ada pimpinan yang semakin didekati dan dikenali, semakin kurang hormat kita kepada beliau. Ada pemimpin yang kita terasa keikhlasan, ada pula pemimpin yang kita curiga niat dan maksudnya. Pengalaman ini saya perolehi melalui pengalaman sebagai SU Kerja DUN, SU Muslimat DUN, AJK Muslimat Kawasan, Su Muslimat kawasan, AJK Dewan Muslimat Negeri dan Juga Pengarah Nisa negeri Kelantan. Pengalaman ini juga saya perolehi daripada pengalaman bekerja dengan kerajaan negeri di urusetia penerangan dan urusetia wanita. Komen saya, ini adalah permulaan saya mengenali apa sebenarnya yang dinamakan gerakan Islam.



Tahap kedua ini saya melihat banyak sahabat yang diistilahkan 'tercicir' dalam gerakan Islam. Sebenarnya istilah tercicir, kurang saya setuju, yang lebih tepat "membuat pilihan'. Ada yang selepas kampus masuk MSK ( markaz siswazah kelantan), ada pula yang cuba melalui usrah alumni, ada pula yang pergi dengar kuliah Tok Guru, ada pula yang pergi dengar ceramah, ada pula yang membantu PAS bila masa 'perang' pilihan raya. Ada pula yang tidak tahan dengan politiking dalam parti terus cabut.



Dulu saya pernah terpikir yang terbaik bagi seorang muslimah itu adalah bekerja langsung dengan jemaah Islam, kini saya tidak lagi berfikiran begitu. Fikiran saya dahulu terlalu sempit!Kini saya berfikiran, kenalilah potensi terbaik diri, pastikan apakah keutamaan perjuangan Islam, letakkan diri anda ditempat yang tepat, usahakan menjadi yang terbaik, tawakkal kepada Allah.



Dulu saya lebih menghormati kawan-kawan yang berkhidmat dan menyumbang langsung kepada parti. Kini saya tidak lagi berfikiran begitu. Kini saya berfikiran, saya lebih menghormati mereka yang taat kepada tuhan, walau dimana ia berada, jawatan apapun yang dipegang. Bukan ahli pas yang memelihara kambing menurut syariat, lebih saya hormati daripada pimpinan PAS yang menggunakan kuasa bagi memenuhi kepentingan diri, manakala tentulah saya lebih menghormati pimpinan PAS yang diuji dan melepasi ujian sebagai pimpinan.

2 comments:

Jubah hitam said...

Rupanya dalam perjuangan islam terdapat juga yang tak ikhlas ya

@author said...

http://darayanglara.blogspot.com/2009/06/mungkin-orang-sengaja-lupa.html