Sunday, November 2, 2008

Kenali Hayati OKU

Akibat terjatuh dari basikal ketika berumur 13 tahun, Hayati lumpuh paras pinggang ke bawah. Sejak peristiwa itu rutin hidup beliau berubah sama sekali. Daripada zaman kanak-kanak yang bebas riang bergerak kesana kemari, beliau berubah menjadi seorang anggota OKU.

Dunia fizikal beliau hanyalah di sebuah rumah kayu yang agak uzur di Kg Telong, Bachok.

Namun keterbatasan fizikal, tidak menghalang beliau untuk meneruskan pengajian. Berkat kesungguhan dan kesabaran yang tinggi juga sokongan daripada ahli keluarga Hayati meneruskan pengajian dengan belajar sendiri di rumah. Mengambil peperiksaan sebagai calon persendirian. Beliau menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Beliau tidak memiliki Sijil SRP@PMR!

Hasil kesabaran dan keteguhan semangat juang , kini beliau adalah pelajar tahun dua Jurusan Sastera Sains Politik,Universiti Sains Malaysia. Beliau mengikuti Pendidikan Jarak Jauh (PJJ), Jumaat - Sabtu. Beliau menghadiri kelas di USM Kubang Kerian dengan menumpang mana-mana orang kampung yang menghala Kota Bharu.





Beliau kini saya ambil sebagai pembantu peribadi dalam sebarang urusan pekerjaan mahupun NGO yang saya sertai. Beliau dilatih untuk menjadi sukarelawan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang. Beliau juga membantu mengajar AlQuran di kelas al Quran yang saya buka di Taman Perumahan yang kami diami.

Sebagai pekerja OKU berdaftar beliau layak untuk mendapat RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ini bagi memberi galakan kepada golongan OKU untuk berdikari. Saya telah membuat permohonan bagi pihak beliau.

Setiap pagi hari bekerja, beliau bersama saya ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang. Pada sebelah petang pula beliau akan membantu mengajar di kelas pengajian Al Quran yang diadakan di tingkat bawah rumah saya. Kerusi roda beliau saya angkut masuk dalam kereta Kancil dibahagian belakang kereta(Papan speaker kereta saya buang bagi membolehkan ruang untuk dimasukkan kerusi roda) untuk ke sana ke mari.

Beliau menggunakan kerusi roda biasa, kerusi roda elektrik yang diterima daripada kerajaan negeri bernilai RM5000, kurang praktikal untuk dibawa masuk ke dalam kereta ataupun jika mahu digunapakai dirumah berlantai kayu/simen yang sempit. Namun ianya sangat sesuai digunakan dibandar-bandar yang 'user friendly' pada golongan OKU, atau kawasan universiti.


Dalam menangani golongan OKU, saya berpandangan aktivis Nisa/masyarakat perlu memainkan peranan yang aktif dalam memenuhi keperluan golongan ini. Tidak cukup kita hanya berperanan dalam waktu pilihanraya sahaja. Kita mesti 'berkubang' dengan mereka, membantu menyelesaikan masalah mereka, tidak sekadar mengambil masa satu jam, panggil wartawan, serah bantuan, tengok masuk berita atau tidak, kemudian lepas tangan. Tidakkah kita ingat bagaimana teladan Rasulullah dalam membantu warga tua yahudi dengan mengisi air dirumah wanita berkenaan. Tangan baginda yang suci mengangkut sendiri timba-timba air bagi memenuhi keperluan warga tua yahudi tersebut.

Justeru itu, jadilah ahli politik yang menganggap orang miskin, OKU, pesakit kronik sebagai utusan daripada tuhan. Mereka didatangkan kepada kita untuk memberi peluang kita menggandakan pahala dan merapatkan diri kepada Tuhan. Maha Suci ALlah.

2 comments:

Tie said...

Salam kenal. Tie lompat ke sini dari blog Kakchik. Alhamdulilah, bersyukur sgt2 kerana ada juga org yang mulia hatinya. Tie rasa bangga walaupun tie tak kenal tuannya. Akhir sekali, syabas dan semoga ceria selalu.

Unknown said...

Blog ini mewajarkan pemfokusan massa, bagaimana aktifnya penghayatan warga tanah air (yang berketrampilan oleh iman),kepada (warga muda)peri pentingnya peranan akhlak yang menjadi sumber insan berkasih sayang di tengah sosial masyarakat, yang semakin dahagakan penyantunan budi mengkayakan hati.

Wajar pengaturan penyusunan aktiviti program bermatlamatkan penghayatan makna anutan Islam kepada kita, yang tidak perlu dinantikan kemunculan ikon luar untuk menjadi penggera kepada amal berkebajikan.

Pemudi tiang agama kerana itu menjadi tanggungjawab muslimah untuk menambah nilai sahih keberdayaan sistem hijab sebagai 'institusi' bergerak yang meluhurkan rasa pengubudiahan bahawa mendepani akhirat memerlukan kita selangkah mara dengan mencabar alasan mengapa dunia kerugian saat ummat muslimin menjadi mundur.

Blog ini perlu dibawa menjadi contoh kepada dunia dalam menganalisa fungsi warga kepada negara dan peranan suara warga untuk memahami ketidak-adilan yang manatijahkan kesempitan ruang sehingga peluang dan kesempatan teragih tanpa saksama.
Nilai kebendaan tidak dikesali andai tidak didakapi tetapi nilai potensi diri insan yang begitu banyak pada diri warga-warga yang terbiar ternafi terdiskriminasi terpinggir merupakan kerugian kepada negara,andai terhalang untuk dijejaki.

(Maaf ya-panjanglah pula).
Salam ukhuwwah.