Satu pagi, saya dihubungi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat , berkenaan satu kes ibu mengandung anak luar nikah. JPW mencadangkan kes ini diambil oleh saya. Selepas berbincang dengan suami, kemudian membuat saringan, saya kemudiannya memaklumkan kepada JKM daerah. Kes ini saya ambil sebagai tanggungjawab.
Dalam mengendalikan kes-kes begini, saya mengambil pendekatan yang sedikit berlainan berbanding beberapa NGO lain dan JKM. Ini mungkin kerana jumlah kes yang kecil dan keupayaan dan kemudahan yang terhad yang ada pada saya.
Kebanyakan pusat perlindungan mengawal klien secara ketat . Klien tidak dibenarkan menggunakan HP, keluar dari tempat perlindungan, aktiviti dipenuhi dengan jadual yang ditetapkan.
Dalam menggerakkan pusat perlindungan wanita, falsafah yang saya pegang adalah " Jangan kita membuatkan seseorang putus harap dengan rahmat tuhan, Jangan pula kita memaksa mereka bertaubat." Ini diambil daripada kata-kata Ali karammallahuwajhah.
Justeru klien saya dibenarkan keluar-masuk rumah. Dibenarkan menggunakan handphone. Apa yang dilarang adalah maksiat di depan mata dan perkara-perkara yang menjerumus mereka kepada elemen yang tidak baik.
Dengan ini, saya lebih memahami permasalahan sosial dan latar klien saya. Nasihat saya berikan berdasarkan perkembangan sosial klien. Dalam usia 20-30 an, adalah tidak praktikal untuk kita menghalang mereka daripada berbual dan bertemu dengan lelaki.
Yang praktikal adalah kita menasihati mereka bagaimana mengenalpasti lelaki yang baik. Kita boleh menasihati mereka bagaimana menjaga maruah dan keselamatan mereka.
Saya senantiasa mengingati kata-kata Imam Khomeini, "Jika bertembung masalah rakyat dengan tuhan, dahulukan masalah rakyat" . Hikmah daripada kata-kata ini adalah, dalam berdepan masalah sosial, hulurkan dahulu bantuan asas kemanusiaan, makanan, keselamatan, tempat tinggal dan pekerjaan, kemudian barulah kita sampaikan mesej dakwah, pesanan kesabaran dan kebenaran.
Justeru saya tidak mengambil menyekat klien daripada mengharungi hidup mereka secara normal, bahkan saya membantu mereka melalui jalan lurus yang penuh dengan simpang-siur. Saya bantu mereka berdepan dengan ancaman binatang buas sepanjang jalan. Saya bantu mereka mendapatkan bekalan-bekalan dalam perjalanan, mendapatkan pekerjaan dan mendapatkan suami.
Saya umpamakan klien saya sebagai anak merpati, saya pula ibunya. Kami hidup bebas dalam alam ciptaan tuhan, walaupun penuh bahaya, namun ia adalah kehidupan yang fitrah. Kehidupan dalam sangkar, walaupun selamat, namun ianya tidak fitrah, ya memudahkan urusan pemeliharaan, namun mengurung jiwa fitrah kebebasan.
Jadilah merpati bebas wahai anakku.
No comments:
Post a Comment