Wednesday, July 15, 2009

6-0 untuk BN

Kalau dah kalah, mengaku sahajalah kalah. Akuilah rakyat terus menolak BN. Terimalah hakikat moral BN semakin menjunam.

Ini tidak, aspek kalah tipis dianalisa sebagai permulaan perubahan, kemenangan moral, bukti sokongan rakyat semakin meningkat dan bla bla bla.

Seminggu ini BN, akan terus menjaja 'kemenangan moral' mereka, dan ini merupakan simptom bagi orang yang nazak, setelah mengalami kesakitan yang panjang, pada hari mereka merasa sedikit segar, mereka terus rakus melanggar pantang larang, kerana menyangka sudah sihat, padahal itu semuanya adalah racun yang mempercepatkan kematian mereka.

Kelantan merupakan negeri yang unik dari segi politik. Jeneral-jeneral pilihan raya dikedua-dua pihak mahir dan strategi dan taktik memenangi hati pengundi. Latar perlawanan yang silih berganti kerajaan, silih berganti merayakan kemenangan, menampilkan satu pertarungan pilihan raya yang hebat.

Antara jeneral pilihan raya UMNO BN yang saya kagumi adalah Dato Mustapha Mohamed http://www.umnojeli.net/ juga Dato' Anuar Musa. Kemahiran ilmu pilihan raya mereka sangat menarik perhatian. Malahan 2 jeneral ini terbukti kewibawaan mereka dalam pembangunan kawasan Jeli dan kemampuan membawa pasukan bola Kelantan ke peringkat akhir piala Malaysia baru-baru ini.

Justeru menghadapi pilihan raya kecil, dimana ketua pasukan UPU adalah menteri-menteri, dibawah 2 jeneral pilihan raya ini bukanlah perlawanan yang mudah.

Jam 3 ptg PAS mengumumkan kemenangan majoriti 2000. Memang ramalan umum dipihak PAS kita akan menang secara selesa. Pengamatan mata kasar saya juga mudah terkeliru. Semangat jentera, ramainya penyokong, gelagat rakyat yang mempamerkan sokongan terbuka kepada PAS melalui kibaran bendera Hijau Putih, dalam keadaan biasa memang memberi petunjuk kemenangan yang meyakinkan.

Jam 7 ptg, kesamaran mula dihidu melalui pengamatan di jalanan. Pos-pos UMNO menampakkan sedikit keceriaan, ini tidak akan berlaku melainkan ada berita gembira berlaku bagi pihak mereka. Perarakan bendera hijua-putih ada, namun tidak segalak pilihanraya kecil yang lepas-lepas.

Jam 7.30 ptg, saya mendapat laporan dari bilik gerakan, PAS menang 70 undi. Kebetulan melalui kawasan penjumlahan rasmi, tiada penyokong BN berkeliaran, penyokong PAS pula hanya sedikit kelihatan, suasana keliru dan muram jelas kelihatan, dikalangan penyokong PAS.

Jam 8, saya mendapat tahu daripada sumber UMNO (64), SPR (65), Orang Ramai (88) dan jentera PAS (65), PAS menang mojoriti tipis.

Untuk kali ini saya mahu membuat analisa dari segi teknikal kerja. Saya membuat pengamatan terhadap 2 jeneral UMNO ini, saya akui dari segi strategi dan taktikal kerja mereka sangat maju, sayangnya gelombang tidak bersama mereka.

Dalam pengalaman PRK Pengkalan Pasir, secara taktikal mereka berkemampuan untuk memastikan setiap pengundi BN, keluar dan mengundi mereka, manakala di pihak PAS ada sedikit kelemahan.

Di PRK Pengkalan Pasir mereka membuat sasaran pengundi Ibrahim Ali, bagi tambahan undi mereka, PAS pula beranggapan faktor Ibrahim Ali akan memecahkan undi BN, jelas ini menyimpang. Taktik 2 Jeneral ini terbukti berkesan, hingga membuahkan kemenangan kepada BN hingga menyebabkan kerajaan PAS pada masa itu nyawa-nyawa Ikan.

Di Manek Urai, ramalan saya, taktik yang sama digunakan oleh 2 jeneral ini, mengenalpasti pengundi yang menyokong atas faktor Pak Su Wil (calon PAS 2008), kelompok pengundi ini dikenalpasti, dianalisa kemudiannya dipastikan mereka dapat dipengaruhi melalui pelbagai cara bagi mengundi BN. Taktik 2 jeneral ini terbukti berkesan, hingga menyebabkan PAS menang nyawa-nyawa ikan.

Aspek kedua saya mahu tekankan dalam tulisan ini adalah kelemahan dalaman PAS. Pengamatan saya terhadap kelancaran jentera membuktikan masih ada UPU yang gagal memastikan pengundi bulan keluar mengundi dalam jumlah yang besar, padahal ianya diterajui oleh pimpinan besar dalam parti.

Saya tidak paham apa sukarnya memastikan, sebagai contoh 50 pengundi (yang sudah dicula bulan) untuk keluar mengundi. Adakah lebih enak untuk berborak di kedai kopi, mengata kepada UMNO, merayau-rayau tanpa tugasan yang jelas, bahkan memandang remeh tanggungjawab yang telah diamanahkan. Adakah lebih baik untuk berhimpit dengan tokoh-tokoh parti supaya dianggap kita juga sebagai orang penting, daripada memberi tumpuan kepada tugasan yang telah diamanahkan.

Saya mulai merasa kebimbangan terhadap kemampuan jentera parti dalam menghadapi PRU13. Ini ada kaitannya dengan pemilihan PAS yang lepas. Betul mood rakyat bersama kita, dan hampir semua faktor kemenangan berada pada kita. Namun pemilihan PAS yang lepas adakah menampilkan kepimpinan yang berwibawa dalam memikul amanah dan harapan rakyat untuk memerintah negara. Ini bukan lagi harapan untuk menang sebagai ADUN atau memerintah negeri. Harapan rakyat adalah untuk kita tampil sebagai alternatif kepada BN untuk memerintah negara.

Saya sendirian merasa bingung apakah sebenarnya yang berada dalam pemikiran perwakilan PAS dalam memilih pimpinan mereka. Ini berlaku disemua peringkat, baik kawasan maupun pusat.

Saya bertugas di salah satu UPU di Manek Urai, dan saya melihat apakah implikasi pemilihan pimpinan PAS. Salah satu yang ingin saya tekan kan disini adalah, memilih individu yang tidak berkemampuan untuk memimpin parti, akan menyebabkan kerosakan yang teruk dalam agenda pilihan raya.

Seterusnya saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Nisa Johor dan muslimat PAS Johor yang membantu di UPU Lata Rek. Melihat komitmen dan profesionalisme mereka, saya mempunyai keyakinan peranan mereka pasti memberi impak yang besar dalam PRU 13 di Johor.

Sebagai penutup tulisan panjang saya ini, apakah bezanya sumbatan ke 6 selepas 5-0. Ia hanyalah menguatkan kesimpulan Pakatan Rakyat terus kukuh dan BN memang sudah tidak terlawan. Keputusan terkini perlawanan PR 6- BN 0.

No comments: