Sunday, March 15, 2009

Pejabat Rasulullah dan Pejabat Wakil Rakyat


Genap setahun saya bertugas sebagai pegawai khas ahli parlimen. Menelusuri sirah, membuatkan saya termenung panjang, mengoreksi pentadbiran pejabat ahli parlimen yang saya kendalikan.

1. Pejabat rasulullah menyediakan anjung suffah, tempat istirehat bagi golongan miskin. Adakah ini berlaku di pejabat YB. Sekadar menerima dan mengkoordinasi bantuan. Saya ada mendengar beberapa pejabat YB DAP menjadi tempat lepak golongan yang susah, pejabatnya tidak gah, tapi penuh dengan fakir miskin dan golongan merempat. Satu masa saya mengimpikan pejabat YB dipenuhi oleh para duafa dan fakir miskin, laksana anjung suffah di pejabat Rasulullah.

2. Pejabat rasulullah dianggotai oleh staf-staf terbaik. Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Salman, Miqdad, Abu Zar, Bilal. Mereka tidak dipilih berdasarkan warna kulit. Rasulullah memilih mereka atas dasar merit. Kepakaran khusus untuk tugas yang khusus. Satu masa saya mengimpikan pejabat YB dipenuhi oleh staf terbaik pada masa dan tempat itu.

3. Pejabat rasulullah beroperasi ditengah pusat masyarakat. Pejabat RAsulullah tidak berada di gua hirak, tidak di gunung Uhud atau di perkebunan Fadak mahupun di Taif. Ianya terletak dijantung masyarakat. Satu masa saya mengimpikan pejabat YB berada di tengah bandar, bukannya ditengah hutan Gelam atau ditengah lebuhraya. Saya menyoal adakah masyarakat mustadhaffin mudah untuk datang ke pejabat YB, adakah pengangkutan awam tersedia untuk ke pejabat YB?

4. Pejabat Rasulullah punya rekod yang kemas, telus dan kredibel. Rasulullah tidak menggunakan perisian Quicken atau MYOB bagi catitan kewangannya, namun baginda memiliki akauntan yang merekod transaksi. Rasulullah telus dalam membahagi harta ghanimah. Tiada persoalan terhadap kredibiliti Rasulullah kecuali bagi mereka yang berpenyakit. Saya mengimpikan pejabat YB telus dalam memberikan peruntukan seumpama Datuk Bandar Korea yang mengeluarkan senarai penerima peruntukan di laman web.

5. Pejabat RAsulullah mempunyai OKU bernama Ibnu Maktum. Rasulullah tidak melaungkan dasar 1% pekerja OKU disektor kerajaan beliau, sebaliknya memberi teladan keutamaan memberi layanan kepada OKU berbanding tokoh-tokoh quraish yang celik di mata tetapi buta hatinya. Saya mengimpikan pejabat YB mesra OKU, punya ram untuk memudahkan OKU memasuki pejabat, kerusi roda, kaunter paras rendah, tactile guiding block, reading Computer (Software JAWS)

No comments: