Sunday, June 21, 2009

Bersama Dr Munawar, Universiti Tehran


Hujung minggu lepas saya menerima tetamu daripada Universiti Tehran. Pada kesempatan itu, saya sempat menimba ilmu dan pengalaman beliau sebagai sarjana. Selain daripada menyampaikan ceramah dan dialog bersama masyarakat setempat, saya sempat membawa beliau melawat sekitar Kota Bharu. Saya juga membantu beliau mengadakan beberapa temuramah dengan masyarakat setempat.


Berikut adalah beberapa intipati ucapan beliau dalam majlis sempena sambutan kelahiran Fatimah Az Zahra:

1. Siapakah wanita teladan dalam kehidupan kita? Individu berkenaan mestilah individu terbaik yang boleh merapatkan hubungan kita dengan Allah.

2. Kenapakah Fatimah digelar Ummu Abiha, ibu kepada ayahnya ? Ini kerana peranan Fatimah dalam menjaga dan membela Rasulullah.

3. Apakah mesej Fatimah dalam merahsiakan kuburnya?

4. Kenapakah nabi menyebut sesiapa yang menyakiti Fatimah adalah juga menyakiti ku?


Beliau juga memuji pentadbiran Tok Guru di Kelantan dan sikap rakyat kelantan yang peramah dan pemurah.

Sunday, June 14, 2009

Bagaimana Dalam PAS, Pemikiran Saya Berkembang




Tahap Pertama- Sejak mulai mengenali jemaah PAS di kampus Johor, saya sangat menghormati pimpinan (dalam maksud, saya hanya melihat hanya yang indah dalam dalam PAS dan pimpinannya), bermula daripada penghormatan yang diberikan oleh kepada amir kampus hinggalah pimpinan PAS yang dijemput dalam program tamrin. Komen saya, ini adalah lumrah kehidupan, baik dalam awal alam persekolahan, awal perkahwinan dsb.






Permulaan bergelumang sebagai aktivis sepenuh masa PAS- dengan elaun RM150 sebulan, saya bekerja dengan penuh semangat dan merasakan diri bertuah dalam berkhidmat kepada pimpinan dan parti. Komen saya, ini adalah lumrah bagi mereka yang baru berjumpa dengan kerja yang secocok dengan jiwanya.



Tahap kedua - setelah 9-10 tahun bergerak dalam PAS, saya mulai terdedah dengan kepelbagaian ragam dan perangai dalam parti. Ada yang melawan pimpinan. Ada pimpinan yang menggunakan kedudukan bagi memenuhi agenda peribadi. Ada ahli yang lebih cerdik daripada pimpinan. Ada pimpinan yang terus menerus memberi inspirasi kepada ahli. ada pimpinan yang semakin didekati dan dikenali, semakin kurang hormat kita kepada beliau. Ada pemimpin yang kita terasa keikhlasan, ada pula pemimpin yang kita curiga niat dan maksudnya. Pengalaman ini saya perolehi melalui pengalaman sebagai SU Kerja DUN, SU Muslimat DUN, AJK Muslimat Kawasan, Su Muslimat kawasan, AJK Dewan Muslimat Negeri dan Juga Pengarah Nisa negeri Kelantan. Pengalaman ini juga saya perolehi daripada pengalaman bekerja dengan kerajaan negeri di urusetia penerangan dan urusetia wanita. Komen saya, ini adalah permulaan saya mengenali apa sebenarnya yang dinamakan gerakan Islam.



Tahap kedua ini saya melihat banyak sahabat yang diistilahkan 'tercicir' dalam gerakan Islam. Sebenarnya istilah tercicir, kurang saya setuju, yang lebih tepat "membuat pilihan'. Ada yang selepas kampus masuk MSK ( markaz siswazah kelantan), ada pula yang cuba melalui usrah alumni, ada pula yang pergi dengar kuliah Tok Guru, ada pula yang pergi dengar ceramah, ada pula yang membantu PAS bila masa 'perang' pilihan raya. Ada pula yang tidak tahan dengan politiking dalam parti terus cabut.



Dulu saya pernah terpikir yang terbaik bagi seorang muslimah itu adalah bekerja langsung dengan jemaah Islam, kini saya tidak lagi berfikiran begitu. Fikiran saya dahulu terlalu sempit!Kini saya berfikiran, kenalilah potensi terbaik diri, pastikan apakah keutamaan perjuangan Islam, letakkan diri anda ditempat yang tepat, usahakan menjadi yang terbaik, tawakkal kepada Allah.



Dulu saya lebih menghormati kawan-kawan yang berkhidmat dan menyumbang langsung kepada parti. Kini saya tidak lagi berfikiran begitu. Kini saya berfikiran, saya lebih menghormati mereka yang taat kepada tuhan, walau dimana ia berada, jawatan apapun yang dipegang. Bukan ahli pas yang memelihara kambing menurut syariat, lebih saya hormati daripada pimpinan PAS yang menggunakan kuasa bagi memenuhi kepentingan diri, manakala tentulah saya lebih menghormati pimpinan PAS yang diuji dan melepasi ujian sebagai pimpinan.

Saturday, June 13, 2009

Kerajaan PR vs Kerajaan Perpaduan


Saya baru balik daripada bertugas dalam pilihanraya kecil Manek Urai. Mungkin saya akan menyambung tugas dalam tempoh 2-3 hari lagi. Kesan polemik idea kerajaan perpaduan dalam gerakerja pilihanraya manek urai ada kesannya, terutamanya dalam pendekatan berkempen dan jemputan penceramah-penceramah .


Kesan kepada pengundi pula, pengundi PAS di Manek Urai akan tetap terus menyokong padu kerajaan Pakatan Rakyat yang diputuskan dalam muktamar di Ipoh dan terus dipertegaskan oleh TGNA. Bagi pengundi atas pagar ( condong bulan dan ewek dacing ) sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh polemik ini.


Tulisan Dr Asri Zainal Abidin, "Kerajaan perpaduan:Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti" Utusan Malayia 14Jun09, pula tidak kena pada tempatnya. Beliau menukil hadith "Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan" Berpegang pada prinsip perjuangan kadang-kadang boleh ditafsir sebagai 'keras kepala dalam perbalahan'.


Beliau juga menyebut kisah perlawanan Muawiyyah dan Hassan serta pertempuran Ali dan Aisyah. Ya begitu mudah menyalahkan kepada tokoh fiktif Abdullah bin Saba, dan begitu sukar memahami latar perlawanan Muawiyah/Hassan dan Ali/Aisyah? Membaca tulisan Dr Asri, jika tidak berhati-hati boleh membuatkan para pembaca membuat kesimpulan yang mengelirukan, dalam konteks polemik Kerajaan PR vs Kerajaan Perpaduan. Pendokong kerajaan PR mempunyai latar perlawanan dengan UMNO hingga membolehkan kemenangan pada PRU2008, manakala pendokong kerajaan Perpaduan mempunyai latar perlawanan kalah dengan UMNO .



Dan Dr Asri berbangga dengan tahun perpaduan saat penyerahan jawatan khalifah daripada Hassan kepada Muawiyyah, ini kerana individu sebaik Hassan sudah tidak sanggup menghadapi kelicikan Muawiyyah dalam membuat apa sahaja asal kuasa berada ditangannya. Padahal siapakah Muawiyyah berbanding Hassan yang digelar oleh Rasulullah sebagai ketua pemuda syurga. Sejarah mencatitkan tahun perpaduan adalah tahun bermulanya pembunuhan besar-besaran ahli keluarga nabi dan para pendokongnya. Dan idea kerajaan perpaduan membuka bibit pertembungan terbuka antara kelompok parti!


Manakala pengerusi perhubungan negeri Kelantan, Dato' Mustapha pula mengkritik golongan yang menolak idea kerajaan perpaduan dan puak yang mahu mempertahankan dun Manek Urai hingga titisan darah terakhir.


Taktik ini juga digunapakai oleh pemimpin Thai yang kuat menyuarakan perdamaian. Antara kerja terawal Thaksin semasa menjadi Perdana Menteri adalah menggugurkan ratusan ribu burung merpati kertas dari udara ke Selatan Thai menyeru perdamaian. Begitu juga taktik Abhisit, mohon bantuan Malaysia untuk kerja-kerja keamanan.


Saya meyakini kerajaan PR (TGNA) dan kerajaan Perpaduan (TGHH) adalah pilihan dan ijtihad pimpinan. Ahli PAS juga boleh sahaja menyokong mana-mana daripada idea tersebut, berdasarkan kefahaman dan kebijaksanaan masing-masing.


Namun pandangan politik saya lebih cenderung menyokong kerajaan PR. Saya telah meneliti bagaimana kepimpinan di Terengganu yang hanya boleh bertahan sepenggal (1999-2004), kalah disaat negeri-negeri lain menang (PRU12) dan peristiwa-peristiwa yang membuatkan saya memikirkan adakah ini standard kepimpinan parti Islam? saya mengetahui anak siapakah yang dianggap hero kerana merampas kad pengenalan semasa PRU12, padahal kami di Kelantan, Kedah, Selangor memberi tumpuan kepada gerak kerja bantahan dan pendaftaran pemilih. Saya juga memandang sedih kejadian melempar batu kearah bas-bas pada hari mengundi di Terengganu. dan banyak lagi peristiwa pelik yang saya rasa ianya tidak sepatutnya dibuat oleh aktivis Islam.


Justeru saya meyakini kerajaan Pakatan Rakyat dari segi teori dan praktikal adalah jauh lebih baik daripada kerajaan perpaduan. Wallahualam.

Thursday, June 11, 2009

Teka Teki- 5 yang tidak berbapa?


Membaca buku Keluarga Rasulullah, menemukan saya satu teka-teki yang menarik. Teka-teki ini juga disebut riang oleh anak sulung saya , seusai membaca buku setebal 1.5 inci itu. Buku tersebut memperihalkan kisah keluarga dan cucu cicit nabi bermula daripada Ali, Hassan, Hussein, Ali Zainal Abidin, Muhammad Al Baqir, Jaafar As Shadiq, Musa Al Kadzim, Ali Ridha, Muhammad Al Jawad, Ali Alhadi, Hassan Askari dan Muhammad Al Mahdi.


Dalam kisah soal jawab pendeta kristian dangan Ali, beliau ditanya tentang apakah 5 yang tidak berbapa? Dijawap cemerlang oleh Ali :


1. Adam

2. Hawa

3. Isa

4. Ular Musa

5. Kambing Ibrahim

Saturday, May 23, 2009

Pendekatan Iran Mencegah Jenayah Syariah


Adalah sesuatu mengecewakan melihat perangkaan jenayah syariah di Malaysia. Untuk mendapat statistik terkini, pihak saya telah mengemukakan soalan ini bagi mendapat jawapan bertulis daripada pejabat Perdana Menteri.


Ada perbezaan besar antara permasalahan wanita di Malaysia dan Iran. Di Iran kes zina, kes buang anak, ibu mengandung luar nikah dan kes 'haruan makan anak' hampir tiada. Berbeza perangkaannya di Malaysia. Yang begitu membimbangkan.


1. Iran melaksanakan polisi perkahwinan yang mudah. Melalui hukum kahwin mut'ah, pasangan hanya perlu mendaftar di pusat pendaftaran pernikahan. Kad akan dikeluarkan kepada pasangan tersebut. Permasalah couple tidak timbul.


2. Di Iran tidak timbul soal zina, kerana proses perkahwinan yang mudah. Juga tidak timbul operasi cegah maksiat yang menyerbu hotel-hotel. Langkah-langkah pencegahan maksiat lebih diutamakan oleh kerajaan Iran.


3. Di Iran petugas-petugas moral banyak dikalangan wanita, begitu juga hakim-hakim wanita juga ramai. Di Malaysia, semua ini masih belum ada!


4. Di Iran sistem pengajian kebangsaan (sekolah rendah hingga menengah) menghasilkan pelajar standard pengajian agama di universiti tempatan. Mereka memahami bacaan solat, ayat al quran. Di Malaysia, semua ini masih jauh lagi.


Saya cenderung mengatakan pendekatan Iran lebih komprehensif, berbanding pendekatan kita lebih reaktif terhadap sesuatu masalah.


Saya cadangkan ahli-ahli parlimen wanita Islam membuat kajian undang-undang syariah keluarga Islam di Iran, membuat dialog dan lawatan sambil belajar di Iran, agar pengalaman mereka dapat dipelajari dan disesuaikan dengan fikh ahlussunah wal jamaah disini.

Pencegah Maksiat Pengamal Maksiat


Walaupun kita sering baca dalam metro berkenaan segelintir agensi pencegah maksiat yang turut tumpang sekaki dalam kegiatan maksiat, namun pengalaman saya mengendalikan kes-kes wanita di Kelantan, membuatkan saya mula mencium gejala-gejala penyalahgunaan kuasa oleh lelaki-lelaki yang bertugas sebagai pencegah maksiat, rupanya berlaku di sekeliling saya.


Kebanyakan mereka ini mempunyai akhlak yang buruk, tapi pandai menggunakan ayat-ayat yang memikat perempuan, sering berlindung dengan perkataan "tolong". Mereka juga punyai hubungan yang baik dengan golongan 'atasan'. Ada yang berselindung dengan kopiah dan ayat-ayat alquran yang selalu terpacul dari mulut.


Justeru saya ingin mengajak aktivis-aktivis wanita untuk tampil kehadapan. Kita perlu kehadapan dalam menyelesaikan masalah para wanita. Jangan lepas tangan, kaum lelaki membantu masalah kaum wanita, kerana ianya banyak mengundang masalah yang lain.

Bagaimana soalan parlimen dibuat


Apakah komen anda apabila melihat ahli parlimen berbahas. Mungkin anda rasa kagum, hormat atau mungkin juga anda merasa seseorang YB ni bodoh, berlagak, cakap tak serupa bikin, temberang dsb.


Setiap ahli parlimen dihadkan menyediakan 15 soalan bagi setiap sesi perbahasan. 10 untuk soalan jawapan lisan dan 5 untuk soalan jawapan bertulis. Untuk rujukan anda, kesemua soalan parlimen dipaparkan di laman web parlimen http://www.parlimen.gov.my/op.php dan rujukan soal jawab boleh disemak di http://www.parlimen.gov.my/hansard.php. Setiap soalan tidak boleh melebihi 40 patah perkataan.


Ahli parlimen yang bagus akan merancang penyediaan soalan secara teliti:

1. Latar politik, ekonomi dan sosial akan diperhalusi sebelum draf soalan dibuat.

2. Strategi dirangka dalam membuat soalan.

3. Input isu dikumpul melalui sumber penyelidikan

4. Draf soalan dibuat

5. Perbahasan draf soalan bersama tim penyelidik.

6. Memuktamadkan soalan untuk dihantar ke sekretariat parlimen.

7. Persediaan bahan-bahan semasa bagi soalan yang tersenarai dalam jadual perbahasan di parlimen.

8. Review prestasi perbahasan.


Dalam tulisan akan datang, saya akan perincikan pengalaman membuat soalan parlimen.