Sunday, February 26, 2012

Buat Baja Sendiri

Sekarang ini musim mesyuarat agung unit peladang di kawasan Bachok. Setiap kali saya turun bertemu dengan para petani di kampung kampung, sering saya mendengar keluhan mahalnya harga baja dan racun.

Alangkah baiknya jika para petani ini diajar ilmu mandiri, bahawa selain dari membeli baja dan racun yang mahal di pasaran, mereka boleh membuat baja dan kawalan serangga secara mudah,murah,selamat dan berkesan.

Gambar disebelah saya ambil untuk rujukan pembaca bagi membuat baja cecair organik. Ianya saya rakam saat menghadiri lawatan kerja exco pertanian Kelantan ke Pusat Kecemerlangan Organik Jabatan Pertanian di Melor Kelantan.

Terima kasih kepada guru organik saya puan Zainab yang telah menimba ilmu organik daripada gurunya di Korea Selatan. Guru Koreanya yang sudah berumur 80 tahun masih sihat kuat dan mampu makan durian bukan 10 ulas, tapi 10 biji durian sekaligus,tanpa sebarang masalah kesihatan.

Kursus Permaculture


Terima kasih kepada YB Dr Zulkifli Ahmad ahli parlimen Kuala Selangor dan juga YB Dato' Husam Musa Exco Kerajaan negeri Kelantan yang telah membantu saya hadir mengikuti Kursus Permaculture.

Ianya mengambil masa selama 2 minggu bertempat Kg Kuang,Kuala Selangor, melibatkan 15 peserta daripada Australia,Singapura,India,Bangladesh,Amerika,Pakistan dan juga Malaysia.
Kami diajar oleh teacher Mustafa Fatih Baqir daripada Turki.

Secara mudah Permaculture adalah kaedah mengoptimumkan sumber sedia ada. Sebagaimana gambar lakaran sebelah menunjukkan teknik permaculture yg menggunakan lapisan kertas, rumput,ranting dan juga batang pokok.

Ianya juga memperlihatkan teknik penjimatan air, kaedah memanfaatkan hidupan seni, serangga dan tumbuhan bagi menjayakan penghasilan sumber makanan yang baik atau toyyiban

Projek Organik Anak Angkat DO

Komitmen kerajaan negeri Kelantan terus konsisten dalam menjayakan pertanian adalah ibadah.

Baru baru ini, bertempat di kampung saya, Kg Wakaf Aik, Tawang Bachok, Dato' SUK dan ketua jajahan Bachok telah melancarkan projek anak angkat DO bagi menjayakan projek pertanian organik yang melestarikan alam dan meningkatkan jatidiri para petani.

Projek ini bakal mengubah kaedah pertanian sekarang yg terlalu bergantung kepada baja racun kimia yg membunuh, juga mengurangkan pergantungan petani kepada kerajaan dan syarikat.

seramai 11 peserta terlibat, moga moga mereka ini berjaya membebaskan para petani lain dari menjadi mangsa eksploitasi dan penindasan para penzalim.

Thursday, December 1, 2011

Kau Pergi Dulu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, buat teman ukhuwwah fillah Almarhum Kamaruzzaman.

Setiap perkara ditandai dengan nama. Maka ku kenal dirimu sebagai Kamal yang baik budinya.


Segala pujian bagi Allah tuhan sekalian alam, buat teman yang bersama memuji kegigihan para petani.


Masih ku ingat kata-katamu dalam setiap program memperkasa para petani miskin. Justeru aku memuji tuhan lewat pujian pada mu.

Yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani, buat teman yang bersama membantu dan mengasihi kaum petani. Moga-moga sifat pemurah juga kasihani pada kaum petani duafa menjadi bekal kehidupanmu di alam barzah.

Yang berkuasa pada hari kemudian, buat rakan yang diberi amanah menjayakan dasar pertanian adalah ibadah. Pastinya didalam sana kau dapat menyaksikan Yang Maha Kuasa di hari-hari kemudian yang kau lalui.

Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau yang kami minta pertolongan, buat rakan yang sering aku bertemu dan minta tolong.

Tunjuki aku jalan yang lurus benar, yakni jalan yang Engkau beri nikmat, bukan jalan org dimurkai dan jalan org kesesatan, buat sahabat seperjuangan dalam parti Islam Semalaysia. Moga-moga jalan yang kita lalui didunia ini adalah jalan dilalui oleh mereka yang diberi nikmat oleh tuhan berupa iman dan cinta.

Alfatihah buat Kamaruzaman.






Saturday, September 24, 2011

Itik Di Bendang


Sudah lama aku tidak melihat kawanan itik dibendang. Begitu lama aku merindui suara kuek kuek kuek. Sudah sekian lama aku tidak tersekat dengan barisam panjang itik melintas di jalanan.

Kerinduan lama itu diubati dengan itik-itik peliharaan Farid di bendang organik Tunjong. Itik-itik peliharaan Farid sangat istimewa.

Pertama, kerana ia itik merdeka. Ia merdeka dari sangkar atau pagar binaan manusia. Ia bebas meneroka alam persekitaran.

Kedua, ia itik yang sihat. Memakan makanan fitrah. Di bendang makanannya sangat banyak. Di bendang banyak tempat itik-itik ini boleh mandi manda dan main sorok-sorok.

Ketiga, ia jadi tarikan kepada para pengunjung. Mereka yang datang ke baruh organik Tunjong, pasti terpukau melihat lenggang lenggok itik-itik ini. Ia putih. Ia cantik. Ia hebat.

Itik satu keluarga dengan angsa. Melihat itik disini, mengingatkan aku pada peristiwa suboh saat kepala Ali r.a. ditetak musuh Islam. Saat beliau keluar rumah untuk menunaikan solat suboh berjemaah, sekawan angsa mengepung beliau, seolah-olah cuba menghalang beliau dari menuju tempat kematian beliau. Namun apa yg ditakdirkan tetap berlaku, kisah kasih sayang angsa itu kepada Ali r.a. menjadi satu dari ribuan kisah-kisah haiwan bersama lelaki surga.

Wednesday, July 20, 2011

Zaman Kanak-kanak ku


Minggu lepas, saya mengajak rakan sekelas anak-anak saya dari SK Sering Kota Bharu, belajar sambil bermain, di Baruh Organik Tunjung. 15 orang semuanya, campur lelaki perempuan.

Daripada mengutip siput hinggalah bermain dengan sikatak besar. seronok betul menjadi kanak-kanak. Riang ceria, bersih jiwanya.

Sudah terlalu jarang kanak-kanak sekarang punyai pengalaman menanam padi. Satu masa aku berdoa pada tuhan, paling kurang seorang daripada mereka ini akan menjadi penanam padi. Aku juga berdoa pada mereka semua, agar mereka bila besar nanti, memahami betapa derita jua mulianya kehidupan petani.

Saya menjemput para guru untuk mengadakan aktiviti sekolah di sini. Para pelajar akan diajar menanam padi, mandi tali air, memancing belut, mengutip siput. Juga dididik menyintai alam.

Tuesday, April 5, 2011

Surah Al Waqiah


Ketika aku berkunjung ke Taman Organik Tunjung, sering aku membayangkan cahaya Al Waqiah.


Profesor Dasteghib, dalam bukunya yang menakluk hati dan menumpahkan air mata, Tafsir Surah Al Waqiah, memperingatkan kepada para pembaca berkaitan hikmah surah Al Waqiah, ia dijadikan panduan bagi sesiapa yang mahu mengelakkan diri daripada papa kefakiran.


Sering kali para petani dinafikan baja atau subsidi oleh kerajaan kerana mainan politik, lantas Al Waqiah adalah senjata terkuat dalam menegakkan aqidah ekonomi.


Seringkali para petani menghadapi hasil tanaman yang tak menjadi. Serangan makhluq serangga dan haiwan keatas tanaman, tentu menguji keazaman dan kesabaran para petani. Lalu Al Waqiah adalah penawar paling mujarab.


Profesor Dasteghib mengajarku mengadap kiblat saat menabur benih, berselawat juga doa "Ya ALlah engkaulah yang menumbuhkan".


Amalan ini akan membuatkan kita lebih berakhlaq, lebih mengenal diri juga memahami hakikat kehidupan. Mana mungkin para petani yang mengadap kiblat saat menabur benih, boleh membelakangkan kiblat saat diuji mengaut keuntungan melalui jalan yang tidak diredaiNya.


Mana mungkin para petani yang mengucap sejahtera kepada Rasulullah dan keluarganya, disaat yang sama tidak meneladani perjuangan Rasulullah dan keluarga, dalam menentang penindasan pemerintah terhadap kaum dua'fa.


Mana mungkin para petani yang berdoa pada Tuhan Penumbuh Tanaman, tidak mempelajari sesempurna mungkin bagaimana proses pertumbuhan tanaman. Jika ia berdoa pada tuhan, maka ia juga perlu menghampiri sifat tuhan 'Kun Fayakun'.


Gambar diatas adalah pemandangan tapak padi SRI Organik di Tunjung. Bagiku ia adalah satu dari jutaan cahaya Al Waqiah.