Monday, February 9, 2009

Tabik hormat buat Arumugam Vengatarakoo


Arumugam Vengatarakoo menonjolkan sifat-sifat perwira muslim. Melawan penguasa yang zalim, tahan diugut, punyai kekuatan menolak tawaran rasuah yang lumayan, keluarga yang sanggup berkorban bersama perjuangan suami, pegawai yang setia, dan mempunyai sokongan yang kuat daripada rakyat marhain.


Arumugam Vengatarakoo mungkin tidak pernah membelek laman-laman suci AlQuran yang menceritakan sifat-sifat baik yang telah beliau amalkan, mungkin juga beliau tidak terpandang hadis-hadis nabi yang sejajar dengan sifat keperwiraan beliau dalam menentang pemerintah yang zalim. Namun sifat itu ada pada beliau.


Sebaliknya, dua bekas YB Perak yang sejak lahir ditiupkan azan dan iqamah di kiri-kanan telinga beliau, belajar al quran dan agama Islam sejak dari kecil, dan mengaku ummat Islam, dari segi amalnya kontradik dengan pelajaran dan lingkungan yang mereka berada.


Saya tabik hormat kepada Arumugam Vengatarakoo.

Sunday, February 8, 2009

Wow !KTM-Rugi RM300,000 satu hari


Akhir Januari saya mengambil kesempatan menaiki keretapi bersama keluarga, menggunakan PAS pegawai pengiring wakil rakyat, melayakkan saya naik di cabin kelas pertama. jika dibayar harganya RM96 bagi perjalanan KB-KL. Semasa urusan pembelian tiket, saya mengambil kesempatan berbual dengan kakitangan KTM, melihat uniform kakitangan KTM, tersemat di dada lencana RM1, satu penyataan korporat KTM bagi usaha mendapatkan keuntungan.


Semakan yang saya buat menjelaskan kerugian yang dialami oleh KTM:

1. Antara 2003-2007, kerugian yang dicatat adalah RM100 juta

2. Secara purata dalam satu hari KTM rugi RM300,000. Wow!


Sejauhmanakah kepekaan masyarakat terhadap kerugian tersebut? APakah punca kerugian tersebut?Apa hubungkait kita sebagai pembayar cukai dengan kerugian RM300,000 sehari yang dialami KTM?


Soalan-soalan ini, menambah minat dan tanggungjawab untuk saya menyempurnakan tanggungjawab saya sebagai pegawai khas ahli parlimen untuk menyediakan input-input yang tepat dan berguna bagi perbahasan sidang dewan rakyat.

Sandiwara buat Dr Asri Zainal Abidin



Saya banyak bersetuju dengan kebanyakan tulisan Dr Maza, kalau dibuat dalam peratus, mungkin mencapai 70%. Namun aspek 30% ketidaksetujuan saya terhadap tulisan Dr Maza adalah sangat sengit, sesuai dengan tulisannya yang sedikit menerjah fikiran dan dan diselaputi elemen kontroversi.




1. Komentar beliau berkenaan tulisan Shauki Majid berkenaan sambutan Muharram membuatkan para pembaca ditonjolkan dengan pembelaan terhadap Yazid, walaupun secara sepintas disebut kecintaan kepada Hussein cucunda rasulullah yang dikasihi, namun perenggan yang menonjolkan aspek pembelaan dibesar-besarkan manakala aspek pengorbanan Hussein ditinggalkan. Almarhum Fadzil Noor, seringkali mengkisahkan kisah seseorang yang mengembara jauh semata-mata untuk bertanyakan hukum darah nyamuk tatkala pembantaian Hussein baharu sahaja berlaku. Disinilah saya simpulkan tulisan Dr Maza, cerita darah nyamuk begitu diperhalusi dan dikarang sehingga menenggelamkan kisah pokok yang harus ditekuni oleh para pembaca.




2. Dr Maza sering mengkritik para politikus, yang terbaru, perangai loyar buruk orang-orang politik. Bahkan diawal perenggan tulisan beliau terbaru menyebut beliau tersenyum sinis melihat mereka (orang politik) bersandiwara. Sejak bila pula Dr Maza tidak pandai bersandiwara. Apakah tidak dinamakan sandiwara jika seseorang mufti itu hanya mendiamkan diri atas perbuatan zalim (individu-individu yang terlibat melantik beliau sebagai mufti) bagi menjaga kepentingan peribadi atau atas alasan maslahat politik. Adakah tidak dinamakan sandiwara jika Dr Maza tidak pernah mengkritik Utusan Malaysia yang menyediakan kolum khas buat beliau.
Itulah yang membezakan Dr Maza dengan almarhum Ustaz Fadhil Nor dan ahli politik PAS, yang pertama memilih berdakwah dibawah naungan penguasa, yang kedua memilih untuk berdepan dengan penguasa. Justeru adalah lebih baik saya dan Dr Maza menghormati peranan yang dimainkan oleh semua pihak.




Dan anggaplah ini sebagai sandiwara saya kepada Dr Maza, minda ahli politik wanita kg Senok, Bachok Kelantan

Saturday, February 7, 2009

PASTI yang PASTI


Anak bongsu saya, Amira Solehah, belajar di PASTI Fahada Gual Tinggi Rantau Panjang. Selain PASTI dan Tadika KEMAS, di bandar Rantau Panjang, terdapat beberapa tadika swasta yang lain, sesuai dengan yuran yang menjangkau 100-150 sebulan, berbanding PASTI RM25/bulan, kondisi dan perkhidmatan yang diberikan nampak lenih baik.


Bersama dengan YB Siti Zailah, saya melawat ke 17 PASTI terpilih dalam kawasan parlimen Rantau Panjang, dalam keadaan ketiadaan YB Zailah, saya mengganti beliau menyampaikan bantuan baju PASTI dan menyampaikan ucapan.


Melalui lawatan yang dibuat, juga melalui perbualan bersama guru-guru PASTI, dan perbincangan dengan penggerak PASTI negeri, saya menyusun ucapan saya dengan penekanan pengukuhan ekonomi PASTI. Guru-guru PASTI wajar diberi maklumat peluang menambahkan pendapatan dan menjadi penjana ekonomi PASTI. Struktur ekonomi PASTI kini tidak melepasi tahap yang baik. Tidak cukup guru PASTI memberi tumpuan kepada pengajaran disebelah pagi, bahkan masa terluang disebelah petang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.


Saya menyarankan guru PASTI menggerakkan unit Peladangnita di tempat masing-masing, dengan memberi harapan tunjuk ajar dan pengalaman yang telah saya buat di parlimen Bachok. Harapan saya dalam jangkamasa setahun dua, guru-guru PASTI ini menjadi tenaga penggerak utama kepada PASTI bagi mengangkat lagi mutu pendidikan kepada kanak-kanak. Guru-guru PASTI yang ada perlu digembeleng bagi mencapai agenda yang pasti.

Friday, February 6, 2009

Pelajaran daripada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu


Dikalangan jentera PAS Kelantan, sebaik sahaja mendengar khabar kekosongan kerusi di parlimen Terengganu, semangat membantu PAS Terengganu di sertai dengan langkah yang lebih cermat. Tidak sebagaimana pilihan raya kecil di Perlis atau Kedah, Terengganu mempunyai hubungan latar sejarah yang tersendiri.


Walaupun saya tidak suka membicarakan soal kenegerian secara terbuka, namun elok rasanya saya menyentuh secara santun hubungan kerja pilihan raya di Terengganu.


Bagi segelintir masyarakat Kelantan, bermenantukan orang Terengganu dan Negeri Sembilan adalah menjadi isu yang diperbahaskan, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada orang 2 negeri tersebut, yang lebih dipandang dari aspek negatif. Fahaman ini sangat menonjol dikalangan mereka di saluran 1 atau 60 tahun keatas.


Begitu juga menjadi contoh umum, bahawa jika ke Terengganu, orang Terengganu akan menyebut rumah mereka berada jauh, walaupun sebenarnya mungkin berada dekat, kerana sikap tidak mesra yang didakwa sebati dengan orang Terengganu.


Sejauhmana kebenaran perkara tersebut, saya cungkil pengalaman seminggu bertugas di Kg Losong sempena pilihan raya Kuala Terengganu, dalam konteks pilihan raya.


1. Sebuah bunglow yang besar disediakan oleh PAS Kelantan kepada kami sebagai markaz. Dan ianya sebuah tempat yang sangat sesuai dengan gerak kerja pilihan raya. Namun beberapa petugas muslimat Kelantan, enggan duduk disitu kerana tidak selesa. Soalan saya, isu disini perangai orang Terengganu atau perangai orang Kelantan?


2. Sepanjang saya bertugas di sana selama 9 hari - Setiap awal pagi saya akan memberi taklimat kepada petugas sokongan yang datang daripada Kelantan. Do and Don'ts. Masalah timbul bagi mereka yang entah apa sebab tidak hadir taklimat kerja, yang kemudiannya membuat aspek Don'ts meninggalkan pula aspek Do. sensitiviti masyarakat Terengganu tidak dihormati, bahkan dalam keadaan melampau diperlekeh. Soalan saya, isu disini perangai orang Terengganu atau perangai orang Kelantan?


Rumusan saya, jangan kita mudah menelan bulat persepsi yang dipegang oleh orang-orang tua kita begitu sahaja, sebut sahaja orang Terengganu, hmmmm. Zaman sudah berubah, wajar pemikiran kita juga patut berubah.